Total Pageviews

Salam Aidilfitri dari Kulim Kedah

Orang ramai berpusu - pusu membeli belah di saat akhir di Pekan Kulim

Kesesakan yang berlaku setahun sekali di Pekan Kulim



Salam Aidilfitri dan Selamat Berhari Raya kepada semua...

Selesai sudah 30 hari kita berpuasa di Ramadhan ini. Pastinya Ramadhan kali ini meninggalkan kita dengan pelbagai pengalaman dan pengajaran. Tahun ini saya berhari raya di rumah ibu mentua di Kulim. Sememangnya berbeza suasananya maklum saja ayah mertua baru meninggal dunia. Semasa hayat beliau, suasana hari raya memang terasa sebab beliau suka membuat pelbagai persediaan - dari barang memasak hingga lemang.

Petang tadi sempat juga saya memandu sekita bandar Kulim untuk melihat kesibukan setahun sekali di sini. Memang jalanraya sesak dengan pelbagai kenderaan yang menuju ke destinasi masing - masing.

Kak Long Zaleha masih menanggung kesakitan selepas pembedahan di Hospital Universiti, perutnya masih sakit namun wayar yang berselirat di badan semakin kurang. Abang Omar pula baru dibenarkan keluar dari HKL kerana denggi. Siti Hajar anak sulung Alang Azman juga sudah dibenarkan keluar dari Hospital Selayang namun jari telunjuknya gagal disambung kembali. Hanya jari tengah saja yang berjaya disambung.

Apa pula khabar bonda Mariam yang kini berada di Tanah Suci menunaikan umrah? Moga sihat hendaknya.

Apa pun, hidup perlu diteruskan dan untuk kalian, Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir Batin

Berbuka di atas lebuhraya - Kemalangan ngeri

Tersenyum dalam kesesakan
Kenderaan seolah -olah ditempat parkir

Asap berkepul ditempat kemalangan berlaku


Salam...



28hb September 2008 menyaksikan kami sekeluarga berangkat pulang beraya ke Kulim Kedah. Dalam perjalanan ke plaza tol Ipoh, satu kemalangan ngeri yang melibatkan 3 buah kereta telah menghasilkan satu kebakaran serta kesesakan jalanraya yang membuatkan kenderaan terhenti kira - kira 45 minit. Tidak pasti akan nasib mangsa namun beberapa ambulan dan kereta bomba dolihat menuju ke tempat kejadian.



Kami pula terpaksa berbuka di atas lebuhraya dan Alhamdulillah kami sempat membeli makanan sebelum itu. Akhirnya kami tiba di Kulim dalam jam 10.30 malam.



Sekali songkok raya tertinggal daaa...

Dewangga Sakti di AmCorp Mall

Dewangga Sakti dalam pakaian seragam No.1 - Baju kurung potongan Tunku

Salam...

Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan bakal melabuhkan tirainya.

Hati semakin sedih mengenangkan dapatkah kita ketemu Ramadhan yang akan datang atau tidak.

Bonda tercinta pula bakal berlepas ke tanah suci esok (jumaat 26hb Sept) dan lebih hiba lagi apabila tidak dapat menghantarnya ke KLIA kerana esok Dewangga Sakti akan membuat persembahan di AmCorp Mall.

Hati ini juga gundah gulana kerana kekanda Zaleha masih di bilik pembedahan Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk membuang barah di ususnya.

Dewangga Sakti juga menerima berita buruk namun berhikmah di mana nama baik kami terjejas dek tindakan tidak bertanggungjawab seorang individu berpengaruh dalam industri muzik tanah air. (nantikan updatenya kemudian)

Tak cukup dengan itu, esok juga menyaksikan Syamsul Faiz tiada lagi bersama kami kerana berangkat ke Dubai selepas Aidifitri.

Allahu Akbar...pelbagai dugaan datang menjelam menguji keimanan kita sebagai manusia.

Ramadhan Karim...semoga kita ketemu di lain masa

Persembahan terakhir

Esok (20hb Sept) Dewangga Sakti akan membuat persembahan di main entrance AmCorp Mall Petaling Jaya.
Persembahan set pertama bermula jam 1 tengahari dan set ke 2 pada jam 4 ptg.
Persembahan esok juga menyaksikan bassist kami akan membuat penampilan terakhirnya bersama kami kerana akan berpindah ke Dubai selepas Aidilfitri.
Berangkatnya saudara Syamsul ke Dubai merupakan satu kehilangan besar buat kami. Beliau merupakan salah seorang kawan saya yang sangat unik. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Civil sekaligus, serta Sarjana dalam undang - undang dari UIAM juga. Mahir dalam perihal perundangan kewangan Islam, dalam usia sebegini pastinya beliau akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi nanti InsyaAllah.
Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan CD Mabok Kepayang juga boleh berbuat demikian esok.
Buat Syamsul...Selamat menjadi Pak Arab!!!!

Institut Pengajian Tinggi – Pusat Penyediaan Pekerja atau Kilang Ahli Intelektual?

Majlis Konvokesyen di UIAM Pada 2002

Institut Pengajian Tinggi – Pusat Penyediaan Pekerja atau Kilang Ahli Intelektual?

“Dah habis belajar nanti, kau kerja apa?”. , “Kalau keputusan peperiksaan kau tak bagus, susah kau nak dapat kerja nanti”. Inilah soalan dan pernyataan yang sering dilemparkan kepada mahasiswa sejak dulu. Bagi mereka yang memang merancang masa depannya dengan bijak akan memberikan pelbagai jawapan manakala yang sebaliknya akan memberi jawapan yang biasa didengar” – “Tak tahu lagi”.
Sehingga artikel ini di tulis, masyarakat Malaysia masih lagi di momokkan dengan lambakan graduan mengganggur – yang di katakan tidak memiliki kecekapan – gabungan kemahiran dan ilmu serta kurang kemahiran berkomunikasi dan berbahasa Inggeris. Saban hari, media menyiarkan pelbagai laporan dan kenyataan dari pelbagai pihak mengenai isu ini namun sehingga kini, tiada perkembangan yang positif yang mampu membuatkan semua orang bernafas lega.
Berbalik kepada persoalan artikel ini, apakah peranan IPT hanya untuk menyediakan pekerja? Apakah setiap orang yang melanjutkan pelajaran IPT mesti mempunyai matlamat yang sama – mendapat pekerjaan selepas tamat pelajaran bagi membayar balik pinjaman pelajaran serta untuk kelangsungan hidup? Apakah tujuan menuntut ilmu? Adakah semata – mata untuk mendapat pekerjaan? Apakah semestinya seorang mahasiswa yang mengambil jurusan kejuruteraan bekerja sebagai seorang jurutera apabila tamat pengajian kelak? Sedarkah kita bahawa sekarang ini ramai graduan kejuruteraan juga bekerja sebagai jurujual? (tetapi di beri nama yang lebih sedap; “Sales Engineer”.
Keadaan seperti ini boleh di sebut sebagai Penghambaan Intelektual, di mana manusia yang dikurniakan dengan akal fikiran gagal menggunakannya sebaik mungkin dalam membuat keputusan dan alasan. Walaupun di kepalanya sarat dengan ilmu, tetapi ia lebih cenderung kjepada mengikuti aliran semasa tanpa menilai hakikat sebenar. Contohnya, lambakan IPTS yang menyediakan kursus – kursus yang tidak di iktiraf terutamanya yang melibatkan teknologi maklumat. Beribu graduan yang di lahirkan saban hari dalam bidang ini, namun yang dapat memanfaatkannya terlalu kecil jumlahnya.
Pandanglah ke Romania, negara yang tidak sehebat bumi kita, namun melahirkan berduyun – duyun graduan yang di buru oleh syarikat gergasi dalam bidang teknologi makulumat untuk di eksploitasi kemahiran mereka dengan kos yang murah. Dengan berbekalkan monitor buruk, mereka mampu mencipta perisian yang hebat. Di Malaysia juga ada, namun bilangannya terlalu sedikit.

Memahami proses pembelajaran manusia menerusi Surah Al-Asr


Surah Al – Asr – Mengelakkan diri menjadi rugi

Pelbagai seminar, ceramah atau bengkel yang disertai oleh kebanyakan kita saban hari dan satu perkara yang pastinya dapat diperhatikan ialah apabila sesi itu dikendalikan oleh penceramah Muslim, dia akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al – Asr.

Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.
Pernahkah anda terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain?

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.“
Surah Al – Asr ; Ayat 1 - 3

Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu
Allah swt bersumpah dengan masa
Allah swt menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah swt meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.

Allah Taala memberi pengecualian rugi kepada keadaan berikut

Orang yang beriman
Orang yang beramal soleh
Orang yang berpesan – pesan
Orang yang sabar

Dalam konteks ini kita dapat perhatikan bahawa ciri – ciri orang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang dari menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid kepada Allah semata – mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.
a. Orang yang beriman
Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa dengan memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya anda membeli ubat itu semata – mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada anda?

b. Orang yang beramal soleh
Amal atau melakukan sesuatu bermaksud anda melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat anda sekiranya anda percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi anda tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, anda tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi disebalik kepercayaan anda kepada perkara fardhu itu, anda tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang anda pelajari dalam hidup seperti penggunaan talipinggang keledar. Anda percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi apabila anda tidak menggunakannya walaupun anda percaya kesan penggunnanya, maka anda akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan anda mendapat musibah kerana tidak mengenakan talipinggang keledar.

c. Orang yang berpesan – pesan
Berpesan – pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian talipinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan talipinggang keledar, adalah penting untuk anda sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta anda untuk turut sama menggunakan talipinggang. Adalah rugi sekiranya hanya anda yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya anda seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya anda rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka anda akan menjadi orang yang rugi kerana anda juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan.

d. Orang yang sabar
Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas anda beriman, mengamalkan dan menyebarkannya sesuatu, barulah anda bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Ini adalah kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut masa, pengorbanan dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar di atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; anda percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, anda mengamalkannya dengan ke masjid dan anda menyebarkan dengan mengajak anak – anak anda ke masjid. Anda telah pun melengkapkan ketiga – tiga tertib di atas. Namun anak anda menolak dan tidak mahu mengikut anda ke masjid. Anda menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak – anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi anda dan menyukarkan anda mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak – anak menolak, anda menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.
Benar, ia mungkin tidak semudah itu namun disinilah cantiknya Islam kerana konsep berdoa dan bertawakkal dalam usaha ke arah kebaikan digalakkan. Siapa tahu Allah Taal menggerakkan hati mereka setelah melihat ketulusan hati anda dalam mengajak kepada kebaikan.

Adalah rugi bagi seseorang melakukan sesuatu sehingga selesai pekerjaannya tanpa dia percaya bahawa apa yang dikerjakan itu memberi manfaat kepadanya. Adalah sia – sia kepada mereka yang percaya tentang kepentingan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya. Rugi bagi seseorang andainya satu perkara yang baik dipercayainya, diamalkan tetapi tidak disampaikan kepada orang lain. Begitu juga buat mereka yang percaya, mengamalkannya, menyampaikan kepada orang lain namun tidak pula bersabar dengan keputusan atau maklumbalas dari orang lain.
Berbalik kepada pembacaan Surah Al-Asr pada penghujung majlis ilmu, ia memberi isyarat kepada anda bahawa adalah penting kepada anda untuk mempercayai apa yang disampaikan, bertekad untuk mengamalkannya serta menyampaikan ilmu itu kepada sesiapa yang tidak berada dimajlis yang sama. Kemudian anda perlu bersabar dengan respon yang bakal diterima kerana tidak semua orang suka menerima apa yang disampaikan oleh anda.
Begitulah proses peningkatan kebolehan manusia boleh berlaku. Setiap perkara yang dikerjakan harus mengikuti tertib di atas bagi membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran dan ilmu. Ini bermaksud, selesainya majlis ilmu tersebut, anda mula memikul satu tanggungjawab. Bukan lagi pulang dengan tidak perlu memikirkan apa – apa.
Setiap individu mempunyai kapasiti untuk berubah dan melakukan peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan adalah dalam bentuk proses dan sememangnya proses menuntut masa. Oleh itu Allah telah bersumpah dengan masa kerana ianya terlalu penting buat semua makhluk. Hanya mereka yang bijak mengurus dan mentadbir masa serta memahami proses peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain akan berjaya.

Klinik Gamelan - Tahniah WahYun!!!

Sesi bergambar selepas pemberian sijil penyertaan

Syabas!!! Inilah pemuda harapan bangsa - Wah Yun

Menghiburkan hadirin dengan medley lagu melayu


Yakin Boleh Gemilang

Alhamdullillah...akhirnya tamat sesi Klinik Gamelan Rakan Muda yang dianjurkan oleh Rakan Muda Bukit Bintang di bawah kelolaan saya untuk tahun keempat. Namun tahun ini ada sedikit kelainan, iaitu saya tidak lagi mengendalikan sesi latihan bersama adik - adik Asrama Toh Puan NorAsyikin Yayasan Selangor ini. Sebaliknya rakan saya dari Dewangga Sakti iaitu saudara Wah Yun telah mengajar mereka dengan cemerlang sekali. Tahniah Wah Yun!!!!

Juga kelainan pada kali ini turut diadakan majlis penutup yang dihadiri sendiri oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Puan Hatipah. Diakhir majlis, peserta program telah membuat persembahan di bawah pimpinan saudara Wah Yun. Sangat Bagus!!! itu yang saya boleh katakan dengan usaha selama 3 bulan belajar dari bawah akhirnya mereka berjaya. Oleh itu saya menjemput mereka untuk membuat persembahan di AmCorp Mall pada bulan ini iaitu pada 21 dan 27 September 2008. Saksikan mereka di sana pada jam 1 tghari dan 4 petang!