Total Pageviews

Kerja, Kerja Berpasukan ; Team, Teambuilding

2012 ini melihatkan saya lebih banyak terlibat dengan program atau kursus bertemakan Kerja Berpasukan atau Teambuilding. Walaupun ia bukanlah niche saya tetapi nampaknya rezeki tahun ini membawa saya bertemu dengan pelbagai agensi yang memiliki pelbagai isu dan perkara berkaitan pengukuhan kerja berpasukan.




Pasukan yang mantap akan membolehkan sesebuah agensi itu berfungsi dengan lebih berkesan. Namun perkara ini tidak hanya akan terbentuk dalam masa 3 hari 2 malam. Terkadang saya juga bingung dengan kehendak pelanggan yang mahu saya dan krew MENYELESAIKAN masalah berkaitan pasukan mereka yang bertahun - tahun lamanya dalam masa 3 hari 2 malam. 


Program Kerja Berpasukan atau Teambuilding adalah salah satu pengisian pembelajaran sepanjang hayat. Ini harus difahami. Ia bukanlah ubat ajaib yang boleh menyelesaikan masalah pasukan anda dalam masa singkat. Apa juga yang dipelajari dalam program harus dipraktikkan sebaik - baiknya di dalam urusan harian ditempat kerja. Ia memerlukan pemantauan dari pihak pengurusan sendiri. Malah, pihak pengurusan sendiri juga perlu hadir ke program bagi mengambil peluang memahami kakitangan bawahan kerana konflik atau permasalahan yang timbul sebelum ini barangkal berpunca dari sesuatu yang kita terlepas pandang. 


Program sebegini sebenarnya membantu kita memahami pasukan dengan lebih mendalam. Ini kerana anda melalui semua pengisian bersama - sama, makan bersama, tidur sebilik, menggunakan tandas yang sama serta meraikan kemenangan atau kekalahan dalam setiap permainan bersama - sama. Di sinilah sebenarnya titik puncak pembelajaran dalam kerja berpasukan. Sebab itu, dalam setiap aktiviti yang dilalui harus dibuat secara bersungguh - sungguh bagi membolehkan kita menyerap isinya secara maksimum.


Antara punca masalah dalam kerja berpasukan yang ketara ialah komunikasi. Aspek ini sering saya tekankan dalam sebarang program yang saya kendalikan. Maka di setiap program kendalian saya, Facebook program akan diwujudkan bagi meluaskan lagi saluran komunikasi.

Kepada yang pernah ke program kerja berpasukan atau Teambuilding sebelum ini, sekiranya anda ditawarkan lagi program yang sama di masa akan datang..sertailah ia. Bukan jenis permainan yang digunakan oleh Trainer menentukan ilmu apa yang anda perolehi..tetapi apa yang anda faham dari permainan itu lebih utama.

Roda kehidupan

Assalamualaikum wbt


Kali terakhir saya menulis di blog ini ialah pada 7 Mac 2012 yang lalu. Sehingga saat ini , lebih dari sebulan saya tidak mengemaskini apa - apa di sini kerana saya melalui fasa kehidupan pusingan roda di bawah. 11 Mac 2012 sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan kami sekeluarga tetapi berakhir dengan tragedi di mana kami terlibat dalam satu kemalangan maut yang disiarkan di semua suratkhabar Malaysia dan Singapura juga di RTM dan TV3.

Dalam kejadian yang mengerikan itu, saya sehingga hari ini masih trauma dan imbasan - imbasan kejadian masih menghantui saya. Sukar digambarkan apa yang saya alami ini tetapi pastinya ia antara pengalaman buruk hidup saya.

Tidak sampai sebulan, saya sekali lagi di timpa kemalangan teruk berhampiran laluan ke Pelabuhan Kuantan di mana kereta pengurus saya, Lukman Mohd Yusop hancur apabila bertembung dengan Perodua Viva. Saya kali ini di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kesakitan yang teruk dibahagian dada. Trauma yang pertama masih belum reda di tambah pula dengan yang baru.

Ada beberapa lagi insiden dan perkara yang membuatkan saya agak lemah semangat dalam Mac serta April ini. Kadangkala terasa seperti begitu lemah dan kecewa. Namun, saya pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ini adalah penghapus dosa - dosa lampau saya.

Sekiranya kitaran roda kehidupan saya kini di bawah, saya berdoa agar Allah membantu saya dalam mengharungi semua ini dengan tabah. Moga roda saya akan mula bergerak ke atas dalam sedikit masa lagi..segalanya dengan keizinanNYA jua..Allah Maha Besar