Total Pageviews

Maal Hijrah 1434



Pantas sungguh masa berlalu..kini tahun Hijrah sudah pun memasuki 1434. Dunia semakin tua atas perbandingan peristiwa Isra' Mikraj Rasulullah yang melihat insan tua bongkok tiga yang menjadi perbandingan usia dunia ini. Dalam masa yang semakin pantas berlalu ini cabaran manusia semakin besar saban hari.

Untuk Maal Hijrah 1434 ini, saya ingin kongsikan sedikit pandangan saya mengenai keadaan insan seperti saya dan anda pembaca budiman yang kadang - kadang bingung dengan apa yang dicari di dunia ini. Ini kerap terjadi apabila kita tidak memiliki matlamat ukhrawi yang jelas.

Saya pernah di datangi seseorang yang mengadu mengenai kekosongan jiwa walaupun memiliki segala bagai benda yang mampu dibeli dengan wang ringgit. Antara tuturnya yang agak memberi kesan kepada saya ialah
"Saya menetapkan matlamat dalam hidup dan saya mencapainya. Contohnya saya ingin membeli kereta mewah dengan perasaan kalau dapat memandu kereta itu pastinya hidup saya jadi lebih hebat. Tetapi setelah membeli kereta idaman itu saya rasa biasa sahaja..hanya teruja pada minggu - minggu awal pembelian itu. Sudahnya ia hanyalah perasaan biasa sahaja"

Saya sendiri pernah merasai pengalaman itu. Menetapkan matlamat dan berusaha ke arahnya. Bila sudah berjaya mencapainya saya hanya akan rasa seperti yang dirasai oleh si pengadu tadi. Maka apakah yang kita cari sebenarnya dalam hidup?

Seorang pengamal Vastu iaitu Sukhabodhananda pernah berkata - "Success has never given fulfillment". Ia dikatakan oleh  seorang yang berpengaruh dalam bidang perundingan korporat yang menggunakan pendekatan spiritual dalam ilmu pengurusan korporat. Pandangannya ini pada mulanya agak memeningkan saya. Tetapi setelah saya perhalusi saya lihat ada kebenarannya.

Menurut beliau, sebagai manusia kita terperangkap dengan perkara material yang pada pandangan kita sebagai manusia biasa mampu memberikan kita perasaan "Lebih Baik" atau "Better". Kita melihat orang kaya memandu kereta besar dan mewah maka kita mula membisikkan ke hati sendiri dialog beracun "Kalaulah aku dapat memiliki kereta itu juga pasti aku juga akan lebih hebat / baik". Persoalannya adakah benar kita akan jadi lebih baik / hebat / cool dengan memiliki kereta mewah itu?

Persepsi bahawa material bakal menjadikan hidup kita lebih baik perlu difikirkan semula. Ada orang menghantar anaknya ke sekolah terbaik di bandar, tetapi apa yang diperolehi menjadi sebaliknya. Begitu juga anak luar bandar yang hanya bersekolah kampung tetapi mampu menjadi hebat melebihi mereka yang mendapat pendidikan 'SEMPURNA'. Mana mungkin ada pendidikan sempurna kerana manusia itu sendiri tidak sempurna bukan? Bill Gates dan Mark Zuckerberg adalah antara ribuan bukti nyata untuk kita!

Berusaha ke arah yang lebih baik adalah satu tuntutan Islam. Malah dalam kalimah azan juga disebut Haiya alal Falah - Marilah menuju kejayaan. Namun ia mestilah meletakkan Ukhrawi sebagai sandarannya..bukan duniawi semata - mata. Berusaha sebaik mungkin dengan menjadikan 'Kaya' dengan sandaran dapat membantu lebih ramai orang susah adalah wajar diutamakan..bukan untuk memiliki harta sebanyak mungkin dan bermegah.

Kesedaran ini sekali lagi hadir kepada saya ketika mengendalikan satu program dengan kakitangan bergred paling rendah dalam sektor awam. Dengan gaji mereka yang kecil , saya dapati beberapa orang dari mereka menjalani kehidupan yang sangat bermakna berbanding sesetengah orang yang kaya raya yang sentiasa akan menceritakan kepada anda masalah itu dan ini.

Moga tahun baru Hijrah ini membuka lembaran baru buat kita semua. Selamat menyambut Maal Hijrah 1413. Tetapkan matlamat tahun baru ini dengan sandaran Ukhrawi dan bukan hanya duniawi. Letakkan matlamat yang jelas dan spesifik - Ingin mula solat Dhuha 3 kali seminggu sebagai contoh, Bukannya "Ingin menjadi Mukmin sejati"..kerana ia kurang jelas. 

Ya Allah..ampunilah segala kesilapan dan dosa kami yang telah kami lakukan pada 1433 Hijrah dan tunjukkan kami ke jalan yang benar pada tahun 1434 ini. 

No comments: