Total Pageviews

Mencari kekuatan diri

16 Mac 2014 yang lalu saya mengendalikan satu program bertajuk Program Keusahawanan BE YOUR OWN BOSS untuk pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idirs di kampus baru mereka. Hampir 100 orang pelajar yang menyertai program berkenaan dan ianya pengalaman baru buat saya kerana itu merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke UPSI. Namun saya agak terkilan kerana terlupa untuk berkongsi dengan mereka mengenai satu perkara penting iaitu - Bagaimana mencari kekuatan diri. 


Mencari kekuatan diri adalah satu perkara penting dalam menggerakkan anda ke satu destinasi baru. Melihat dari konteks program saya itu, seorang pelajar universiti pastinya perlu mengetahui apakah kekuatan mereka sebelum menceburkan diri dalam sesuatu bidang baru apabila bergelar graduan kelak dan bukan hanya hanyut di bawa pengaruh persekitaran.

Oleh yang demikian, entri kali ini saya tujukan buat anda yang masih tercari - cari apakah kecenderungan minat atau kebolehan atau juga kekuatan diri. Sekiranya anda masih belum jumpa, cubalah lakukan perkara ini:

Carilah 5 orang yang anda kenali dan mereka juga sangat mengenali anda dan tanyakan soalan berikut; Mintalah mereka menjawab dengan sejujur mungkin.

1. Apakah perkara pertama yang mereka fikirkan apabila terfikir mengenai anda?
2. Apakah perkara paling menarik dari pandangan mereka mengenai anda?
3. Pada pandangan mereka, apakah pencapaian terbaik yang pernah anda hasilkan?
4. Apakah yang paling mereka hargai dari diri anda?
5. Pada pandangan mereka, apakah kekuatan anda yang terhebat?

Anda boleh bertanyakan soalan di atas lebih dari 5 orang sekiranya anda mahu. Dengan soalan di atas, anda akan sedikit demi sedikit melihat dimensi baru dalam diri anda sekiranya anda masih belum cukup mengenali kekuatan atau kebolehan diri anda sendiri.

Anda mungkin segan atau malu untuk bertanyakan soalan di atas tetapi percayalah, anda akan berasa teruja betapa orang lain melihat anda dari sisi yang mungkin anda sendiri tidak pernah jangka. Percayalah setiap seorang dari kita adalah UNIK!

Selamat mencuba!

No comments: