Total Pageviews

Analogi Kepimpinan - Kapcai vs Superbike

Melihat kepada pelbagai krisis kepimpinan mutakhir ini di Malaysia yang melibatkan kesemua parti politik dalam pelbagai bentuk, antaranya;

1. UMNO - Tun Mahathir semakin lantang mempersoalkan kewibawaan Najib
2. Tuan Guru Haji Hadi yang dibelasah teruk oleh pelbagai pihak dan lapisan ahli PAS
3. MIC yang bercakaran pucuk pimpinannya
4. Gerakan pemimpin muda yang semakin agresif dalam MCA dan membawa haluan baru
5. DAP yang dilihat tidak tetap pendirian di dalam Pakatan Rakyat
6. PKR yang masih terperangkap dengan bentuk kepimpinan DSAI dan semakin kurang menyengat apabila DSAI ke Sungai Buloh dan hanya Rafizi di lihat kedepan.

Dan macam - macam lagi....

Analogi yang ingin saya bawakan di sini ialah berkisar dengan salah satu perkara kegemaran saya iaitu motorsikal.

Perasan atau tidak, banyak kemalangan melibatkan motorsikal berkuasa tinggi atau superbike berlaku di selekoh? Jika berlaku di laluan tegak biasanya ia adalah perkara diluar kawalan penunggang sendiri seperti kenderaan lain tiba - tiba berhenti atau ada kenderaan lain melintas secara tiba - tiba. Tetapi kemalangan di selekoh adalah selalunya atas kelemahan penunggang sendiri kecuali - jalan berminyak dan mereka tidak menyedarinya. Kemalangan di selekoh selalunya berlaku dalam keadaan superbike ini tidak berjaya melepasi selekoh itu dengan baik dan kadang - kadang terus tegak menghentam tembok! Mengapa begini sedangkan mereka adalah penunggang kapcai yang baik?

Begini..

Kuasa motorsikal kapcai yang kecil (maksimum 150cc) adalah lebih mudah dikawal dan ini dibantu dengan saiz kapcai yang kecil. Maka untuk mencelah, mencilok dan mengambil selekoh adalah mudah kerana handle kapcai yang lebih luas sudut pusingannya (lebih kurang sama macam basikal) membolehkan penunggang menyesuaikan keadaan dengan mudah. Maka untuk segera cekap dengan kapcai tidaklah memakan masa yang lama terutama buat mereka yang sudah cekap dengan basikal. 
Jelas sekali asas pengendalian kapcai ialah basikal.

Berbanding superbike, daya kekuatan yang jauh lebih besar, saiz dan berat yang berganda dan sudut handle yang lebih kecil memerlukan bentuk latihan yang berbeza. Kedudukan badan yang betul membantu mengurangkan kelenguhan malah daya agakan perlu lebih sensitif. Untuk melayan 'corner' dengan baik penunggang perlu tahu bagaimana menggunakan berat badan untuk membolehkan badan superbike turut turun bersama meleper di jalanraya.

Nah..mari bandingkan kedua - duanya : Motorsikal dan Kuasa kepimpinan


Kuasa motorsikal umpama kuasa kepimpinan. Makin besar kuasa motorsikal maka makin berpengaruhlah seseorang pemimpin. Penunggang superbike lebih diperhati orang berbanding penunggang kapcai kan? Makin kecil kuasa kapcai makin selalu tertinggal di belakang. Makin kecil kuasanya makin kurang menarik perhatian. Maka cara kapcai menarik perhatian antaranya ialah dengan memasang ekzos yang lebih bising. Meski tidaklah meningkatkan kelajuan sangat tetapi bisingnya menarik perhatian! Faham sekarang kenapa ada sesetengah pemimpin kecil cuba menonjolkan diri dengan berbuat 'bising' meski yang dibisingkan itu tidak relevan?



Dengan kuasa yang kecil, lebih mudah mengawal motorsikalnya. Nak 'brake' pun mudah atau nak mengimbangkan pada laluan sempit pun mudah. Begitulah dengan kuasa, semakin besar kuasa semakin sukar mengendalikannya. Kalau orang berkuasa besar tersilap langkah maka kesannya juga lebih buruk. Mengimbangi kuasa yang besar tidak mudah kerana lebih besar kelompok yang perlu dijaga maka kemahuan mereka juga lebih bervariasi.

Untuk melayan 'corner' dengan kapcai lebih senang, tanpa perlu merendahkan badan motor sudah boleh meleper. Superbike perlu merendahkan badan untuk motor turut sama meleper. Pemimpin tinggi perlu membawa diri lebih rendah untuk dihormati; semakin merendah diri makin disayangi rakyat bukan?

Penunggang superbike mestilah bermula perlahan, Kuasa yang besar pada motor itu perlu dikuasai sedikit demi sedikit. Jika tidak alamatnya ke temboklah mereka. Begitulah pemimpin, fahami kuasa yang dimiliki dan gunakannya sedikit demi sedikit. Jangan main belasah sahaja.

Nah...perhatikan setiap motorsikal yang lalu di mata anda dan buat sendiri perbandingan antara motorsikal dan kuasa! Pastinya ada banyak lagi yang boleh dipelajari dari itu.

Siri Motivasi - Teori Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow (Bahagian 1)

Antara teori berkaitan motivasi yang sering disebut dalam pelbagai program motivasi oleh beribu - ribu motivator ialah Theory Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow. Teori yang sangat dominan ini sering menjadi rujukan dan tak kurang juga menerima kritikan. 


Untuk berkongsi dengan anda, saya akan bawakan pencerahan mengenai teori ini dalam format video dan juga tulisan di blog ini. Setiap video akan saya rakamkan dalam durasi kurang dari 3 minit setengah bagi mengelakkan anda bosan menontonnya. Tapi kenapa pula perlu maklumat sebegini?

Pertamanya kerana dunia semakin mencabar. Dengan perlaksanaan GST sebagai contoh ramai yang mengalami tekanan dan kesannya. Ramai sekali bercerita mengenai apa yang mereka alami tetapi sedikit saja yang memikirkan apa yang perlu mereka lakukan bagi menangani hal ini. Dalam kata lain - kita perlu mencari rangsangan untuk bangkit dan memperkemaskan gerak kerja agar lebih berhasil.

Keduanya, ramai orang yang ingin berusaha, tetapi tidak pasti di mana dia harus bermula. Dengan dorongan yang betul, pelaburannya akan berbaloi. Tetapi bila terjumpa orang yang salah, graf MOTIVASI nya pasti akan menurun. Ada rezeki ia akan melambung semula, kalau tidak..dia akan hanyut.

MOTIVASI adalah perkataan yang besar : ada yang sudah bosan, ada pula yang tercari - cari.

Memahami teori Maslow setidaknya akan memberikan kefahaman yang lebih dengan apa yang sepatutnya mendorong kita. Saksikan edisi sulung ini.


Kemahiran? Kemahiran apa?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, dengan pelbagai berita mengenai ketidakstabilan syarikat besar, mata wang menyusut dan GST yang memeningkan ramai orang, ramai yang cuba mencari jalan keluar dari belenggu kewangan yang mencengkam. Senario ini turut menggalakan pelbagai skim ponzi sama ada dalam atau luar negara berleluasa. Tidak kurang juga pelbagai jenis perniagaan atas talian dari ubat seks sampailah ke emas semakin kerap muncul bersilih ganti.

Ada juga rakan - rakan yang bertanya, apa yang dibuat sekarang? Syarikat yang dulunya stabil sudah mula desas - desus ingin mengecilkan saiz operasi malah tak kurang juga mula mengambil langkah penjimatan dan malangnya ia termasuklah kebajikan kakitangan.

Ketika ini, orang yang berkemahiran dilihat / dikatakan akan mempunyai kelebihan untuk terus kekal berjuang melawan arus cabaran ekonomi. Ini boleh difahami dengan secara tiba - tiba graduan universiti semakin teruk bersaing dengan pelajar Politeknik yang dilihat lebih berkemahiran. 

Rakan - rakan yang bekerja juga sering menanyakan soalan yang sama - apa yang perlu dibuat? Maka bila ditanyakan kembali mengenai kemahiran mereka, jawapan yang sama sering diberikan kepada saya iaitu : "Kemahiran? Kemahiran apa?"

Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran? Atau lebih berat lagi adakah dengan kemahiran kita boleh kekal bersaing?

Sebelum menjawab apa itu kemahiran, mari saya beratkan lagi fikiran saudara semua dengan perkataan ini : KECEKAPAN

Bayangkan anda ialah majikan. Anda mahu kakitangan yang cekap bukan? Maka apakah yang dimaksudkan dengan KECEKAPAN itu?

Memahami KECEKAPAN tidaklah susah. Formulanya begini;
KECEKAPAN = KEMAHIRAN + ILMU

Anda faham ILMU? Jika faham maka anda hanya perlu faham apakah KEMAHIRAN bagi melengkapkan formula KECEKAPAN.

Apakah KEMAHIRAN? Saya definisikan KEMAHIRAN sebagai berikut ;
Kebolehan melakukan sesuatu dengan tepat dan jitu secara berulang - ulang bila dan di mana saja ia diperlukan.


Kemahiran bukan seperti berjudi : ikut nasib. Kemahiran memerlukan proses pembelajaran dan pengulangan secara praktikal bagi menajamkan agar tepat tindakannya serta membolehkan penyesuaian berlaku walau apapun keadaannya. Orang yang mahir menjual barangan akan mudah saja mengendalikan apa juga jenis produk dan profil pelanggan yang berbeza. Pemain bolasepak berkemahiran tinggi bisa saja menyesuaikan diri dengan mana - mana pasukan dan bermain menentang siapa saja, stadium berbeza atau cuaca berbeza sekalipun.

Nah...duduk sebentar, tenangkan fikiran dan tarik nafas dalam - dalam.
Fahami diri sendiri, renungkan apakah bentuk kemahiran yang anda miliki dan bagaimana kemahiran itu boleh ditukar dengan wang. 
Anda mahir membuat kertas kerja, bertukang, menjahit, mengacarakan majlis atau apa saja yang boleh dimuatkan dengan definisi KEMAHIRAN itu tadi...maka ia pasti boleh ditukarkan dengan wang. Apabila sudah dikenalpasti, langkah seterusnya ialah BAGAIMANA MEMASARKAN DAN MENJUAL KEMAHIRAN ITU?