Total Pageviews

Isu pendidikan, apa masalah yang lebih rumit?

Sudah beberapa ‘take’ saya buat untuk rakaman video saya mengenai isu pendidikan yang sedang hangat diperkatakan..
Tapi setiap kali rakaman, masuk minit ke 3 saya padamkan.. sebab saya rasa tak padu..

Saya rasa panjang sangat...
Dan saya tak rasa ramai yang nak menonton video pandangan saya mengenai isu ini melebihi 3 minit.

Pada hemat saya... perbalahan mengenai hal ini ialah banyak menjurus kepada sejauh mana seseorang itu terlibat dalam hal pendidikan ini.

Seorang guru, ada sisi tersendiri... ia berkaitan pula dengan pelajar yang bagaimana dia kendalikan.

Seorang ahli PIBG aktif pula ada sudut pandang berbeza... adalah ahli PIBG juga semua mahir dalam pelajaran dan pembelajaran? Itu juga perlu dirungkaikan.

Pembuat dasar dan pelaksana juga ada KPI, ada kerangka dan arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan. Mereka dibayar gaji dan berusaha kuat ke arah yang telah disusun oleh kepimpinan mereka.

Ibu bapa , kelompok ini yang paling tercabar. Bagi ibu bapa yang cakna, maka banyaklah input yang mereka miliki. Bagi ibubapa yang kurang ruang dan tak berapa ambil tahu maka biasanya akan ikut saja apa yang disarankan. Namun mudah saja kelompok ini tertekan jika mereka tidak punya banyak pilihan dan ia pula sering berkait dengan kemampuan ekonomi membiayai pendidikan anak - anak.

Apa yang membimbangkan ibu bapa sebenarnya?
Bagi saya - isu paling besar yang secara sedar atau tidak ibu bapa hadapi ialah KEBIMBANGAN.
Bimbang apa?
BIMBANG AKAN TERCICIR...

Mereka bimbang jika anak - anak mereka tercicir dari apa juga pelan yang dirangka.
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari jalan - jalan kejayaan..
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari kelompok terbaik.

Maka perebutan ke sekolah hebat - hebat menjadi amat dasyat!
Asrama bukan lagi mengenai kelompok yang kekurangan kemudahan untuk dibantu.. tapi tentang siapa kelompok terbaik dan siapa kenal siapa.

Sahabat...

Barangkali, masalah kita dalam pendidikan bukan lagi mengenai ‘streaming’ atau tidak...

Mungkin saja yang kita sedang hadapi ini ialah masalah memperbaiki persepsi...

Apakah masuk sekolah biasa itu satu bentuk kegagalan dan sekolah asrama penuh itu tiket - tiket kejayaan hidup?

Belajar di universiti menyebabkan seseorang lebih elit dari pelajar kolej komuniti?

Adakah tidak boleh membaca pada usia 7 tahun akan menyebabkan rakan sekelasnya juga terpalit dan mempelahankan pembelajaran di dalam kelas?

Benarkah dengan membezakan kelas menyebabkan bangsa semakin maju?

Lupakah kita, kapasiti otak manusia lebih besar digunakan untuk ketangkasan, bukannya untuk ruang memori.
Sedangkan tangkas membaca itu cumalah salah satu dari berpuluh jenis ketangkasan lain.

Emotional Quotient adalah lebih besar pengaruhnya berbanding Intelligent Quotient... adalah kita sedar tentang hal ini?

Pelajar - pelajar cemerlang universiti, di manakah mereka sekarang?
Siapa yang memacu ekonomi negara? Adakah kelompok ini?
Yang korup dipenjara, adakah mereka yang dulunya kelas paling belakang dalam darjahnya?

Dan macam - macam lagi....

Silakan berbeda pandangan terhadap tulisan saya ini.
Cumanya, bila anda berbeza pandangan.. mohon lakukan ini dulu sebelum menulis komen...

1. Tarik nafas dalam - dalam
2. Istigfar dengan nada perlahan
3. Baca tulisan saya ini secara perlahan - lahan, perenggan demi perenggan
4. Fahami dan renung sejenak apa yang saya tulis.
5. Berlapang dada dulu... kerana komen anda kemudiannya pasti mengundang pula komen yang lain.

*Foto yang saya titipkan ialah sebuah meriam berbentuk naga.
Kita belajar bahawa naga ialah sejenis mitos dan tiada siapa ‘benar - benar’ pernah bersemuka dengan naga.
Tetapi, kenapa bentuk naga tidak kira dalam apa juga bentuk penghasilan - lukisan atau objek adalah sama seperti yang digambarkan dan mudah saja kita tahu bahawa itu adalah naga...?
Sahabat semua; itu adalah satu contoh hasil PENDIDIKAN.

5 ELEMEN TARIKAN SEBAGAI PEMIMPIN

           


Pemimpin perlulah menjadi orang yang menarik kumpulan yang ingin diterajuinya. Ini adalah kerana daya tarikan yang beliau miliki akan membolehkan dia menjadi berpengaruh dan memudahkan proses komunikasi di antara mereka. 5 ciri yang membuat seseorang itu sebagai pemimpin yang menarik ialah:
1. Kebijaksanaan
Kebijaksanaan tidaklah merujuk kepada tahap pendidikan formal seseorang.
Dilihat bijaksana adalah amat penting untuk mempengaruhi kumpulan sasar. Orang yang dilihat bijak mudah menjadi orang rujukan oleh ramai orang. Orang yang bijak tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, topik perbualan dan perbincangan malah mudah memberi respon yang bersesuaian. Oleh kerana kumpulan yang dikendalikan memiliki kecenderungan terhadap perkara yang berbeza – beza, maka pemimpin yang dilihat bijak tahu pelbagai disiplin ilmu dan mempunyai sudut pandang yang luas.
Sebagai contoh, Tun Mahathir disegani oleh pengikut mahupun musuhnya kerana dilhat bijak menangani isu, menjawab pelbagai persoalan dan mempunyai rancangan serta gerak kerja yang dilihat amat bijak. Proton , Putrajaya dan KLCC adalah antara perkara yang boleh dikaitkan dengan ciri kebijaksanaan ini.

2. Kemahiran
Pemimpin dengan kemahiran yang tinggi khususnya yang berkaitan dengan melibatkan kumpulan sasarnya adalah individu yang amat menarik perhatian. Kemahiran ini boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sama ada berkait secara langsung atau tidak. Ketua pasukan bolasepak sebagai contoh selalunya dikaitkan dengan kemahiran bermain yang tinggi. Pemimpin dengan pelbagai disiplin kemahiran sememangnya mudah membezakan diri mereka dengan individu yang lain.
Kemahiran membolehkan pemimpin menguasai gerak kerja, ruang perbincangan dan penyelesaian masalah. Hanya orang yang mahir tahu menggunakan apa saja yang ada disekelilingnya untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
Pemimpin yang mahir dengan sesuatu perkara akan selalu menjadi pakar rujuk kumpulan yang dipimpinnya. Ini memudahkan proses mempengaruhi kumpulan sasar kerana apa yang dikatakan atau ditunjukkan olehnya akan menjadi model ikutan semua.
Sebagai contoh, ketua pasukan silat selalunya ialah orang yang paling hebat kemahiran bersilatnya.

3. Penampilan
Pemimpin yang menarik mempunyai penampilan yang istimewa dan menyebabkan orang lain mudah meletakkan pemimpinnya dalam kelompoknya yang tersendiri. Imej yang terbentuk dari penampilan amat memainkan peranan untuk menjadi daya tarikan kepada kumpulan sasar.
Pakaian, aksesori, solekan, penyesuaian tatacara berpakaian adalah antara komponen yang menjadi tarikan dari aspek penampilan ini. Penampilan yang bersesuaian dengan masa dan tempat akan memberikan kesan yang besar kepada kumpulan sasar. Sebagai contoh, pemimpin yang berpakaian seperti orang kebanyakan di tempat yang betul akan membuatkan mereka dikagumi rakyat dan ini telah dibuktikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad 2.
Kereta mewah antara aksesori yang sering digunakan untuk menunjukkan kehebatan seorang pemimpin. Hal ini telah diguna dengan sangat meluas sehinggakan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan pelbagai skim cepat kaya.

4. Jawatan
Jawatan dan gelaran adalah komponen yang menyebabkan ramai tertarik dengan seorang pemimpin. Pemimpin dilihat perlu memiliki gelaran dan jawatan yang hebat bagi menunjukkan pencapaian mereka. Ini adalah kerana sifat manusia yang suka mengaitkan diri mereka dengan orang yang berpengaruh. Jalan pintas untuk mendapatkan pengaruh ialah dengan jawatan dan gelaran yang hebat.
Pengerusi , Yang Di Pertua , Presiden , Datuk, Datin dan sebagainya meletakkan seseorang di hirarki yang mana mudah menunjukkan kemampuan seseorang pemimpin itu membuat atau mempengaruhi proses sesuatu keputusan. Jawatan juga memberikan autoriti terhadap sesuatu proses kerja. Ini akan memberikan kelebihan kepada sesiapa yang rapat dengan punca kuasa ini.
Jawatan berdasarkan profesion turut mempengaruhi proses kepimpinan. Doktor, Profesor, Chef, IGP dan sebagainya juga terbabit dalam hal ini. Ini mampu merujuk kepada tahap kemahiran seseorang dengan nama jawatannya, sekaligus membuatkan orang yang memiliki jawatan sebegini amat bernilai di mata mereka.

5. Jantina
Setiap jantina mempunyai kekuatan dan kelemahan yang unik. Ini adalah kerana setiap jantina mempunyai peranan yang spesifik. Dalam dunia kepimpinan, jantina turut memiliki tarikannya yang tersendiri.
Pemimpin lelaki dilihat dominan terhadap perkara – perkara melibatkan politik dan perniagaan. Pemimpin wanita pula dilihat menguasai pergerakan berlandaskan kepentingan kumpulan yang diwakilinya terutama berkaitan perjuangan hak, kelestarian sesuatu dan yang tidak melibatkan perebutan sumber.
Pemimpin lelaki sesuai kepada perkara yang berkaitan konflik, penetapan dasar dan polisi. Pemimpin lelaki dilihat sesuai mempengaruhi kumpulan sasar yang terdiri dari pelbagai jantina. Pemimpin wanita pula lebih mudah berada di dalam kelompok bercampur sekiranya ia berasaskan lantikan jawatan kerja.

Pemimpin lelaki lebih cekap dalam penggunaan istilah, kata – kata teknikal dan frasa yang rumit berbanding pemimpin wanita yang lebih hebat dalam menyampaikan rasa melalui mesej – mesej mereka. Mesej perasaan ini mudah meresap masuk kepada kumpulan yang meletakkan perjuangan hak, kumpulan minat dan sebagainya.

Kepimpinan - Diwarisi atau dibentuk?


Adakah pemimpin wujud kerana dilahirkan dari keluarga pemimpin atau pemimpin boleh dibentuk? Ini sering saja mengundang perdebatan. Saya mempunyai pandangan sebegini...
Banyak bentuk kepimpinan boleh dikaji melalui aktiviti sukan

Kepimpinan adalah satu set kemahiran - ia bukanlah DNA yang diwarisi seperti ciri keturunan. Kepimpinan boleh dibangunkan menerusi pelbagai kaedah. Terdapat banyak perbezaan daam ciri kepimpinan di antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain.

Pemimpin wujud tanpa mengira dari mana sumbernya.
Pemimpin hadir dalam pelbagai situasi dan konteks.
Tidak semestinya dari keluarga berdarah pemimpin atau pun bukan semestinya pemimpin perlu dibentuk dengan acuan tertentu.

Pemimpin yang dilihat datang dari keturunan pemimpin boleh dibahagikan kepada 2 bentuk
1. Jawatan keturunan – mewarisi jawatan dari ahli keluarga contohnya sebagai Raja, Sultan, Ketua Masyarakat, Pemilikan syarikat , pemegang saham dan sebagainya
2. Dibangunkan potensinya sejak muda – Ibu bapanya sering membawa anaknya melihat proses berkaitan kepimpinan, ditugaskan dengan peranan kepimpinan sejak kecil , dicalonkan sejak kecil dan segala usaha pembangunan potensi diberikan kepadanya

Pemimpin juga boleh dibentuk. Calon – calon ini dilihat berpotensi apabila mereka mempunyai beberapa ciri berikut:
a.       Kebolehan berkomunikasi yang baik
b.      Keyakinan diri yang tinggi
c.       Kemampuan membuat keputusan
d.      Boleh mendengar pendapat orang lain
e.      Memiliki pandangan yang jauh dan jelas

Pemimpin boleh dibentuk dalam pelbagai keadaan. Antaranya ialah:
1. Jawatan dalam pekerjaan. Pemimpin dipilih berdasarkan tahap kelayakan yang ditetapkan oleh organisasi. Setelah tapisan dibuat, pemimpin diberikan ruang dan peluang untuk dimajukan potensinya. Pemimpin sebegini dinaikkan ke jawatan lebih tinggi bukan kerana kemampuannya memimpin tetapi kerana keberkesanan dalam perlaksanaan tugasan yang terdahulu. Contohnya, seorang pekerja dinaikkan pangkat sebagai Penyelia kerana keberkesanan kerja yang ditunjukkan semasa dia di jawatan kerani. Maka dia diangkat bukanlah kerana dia hebat sebagai penyelia tetapi sebaliknya hebat sebagai kerani.

    2. Peranan dalam pasukan – Pemimpin di dalam sesebuah pasukan mempunyai lapisan yang banyak. Setiap peringkat memerlukan pemimpinnya yang tersendiri. Pemimpin memainkan spesifik bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Sebagai contoh, pemimpin pasukan sukan, biasanya dilantik berdasarkan ciri kebolehan beraksi dengan baik dan dilantik sebagai ketua dan seterusnya diberikan ruang untuk bereksperimen dengan tugasan itu. Maka terhasillah ketua pasukan yang hebat atau sebaliknya bergantung kepada sejauh mana dia diberikan input berkaitan dan ruang mengaplikasikannya.


Perbezaan antara kedua – duanya ialah proses pembikinan pemimpin itu sendiri. Pemimpin yang dilihat hadir dari keturunan pemimpin dibangunkan atas kapasiti fungsi yang berkaitan legasi keturunannya. Maka pencapaian pemimpinan terdahulu akan menjadi kayu pengukur untuk melihat sejauhmana pemimpin baru ini berjaya meneroka potensinya. Manakala pemimpin yanag dibangunkan pula sangat memerlukan beberapa pencapaian awal untuk dinilai potensinya sekaligus melayakkan dirinya terpilih bagi proses pembangunan oleh pihak yang berkepentingan.