Total Pageviews

Pelajar perempuan lebih menonjol sebagai pemimpin?

Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd. (M.A.C) adalah syarikat saya yang terkini dan ditubuhkan atas perkembangan operasi Lilcent Total Solutions yang sudah pun menjangkau usia 6 tahun. M.A.C pada awal operasinya telah dipertanggungjawabkan mengendali 3 program diperingkat sekolah menengah, satu Kolej Komuniti dan satu Politeknik Premier. Apa yang mengejutkan saya dalam hal ini ialah di semua lokasi program berkenaan, pelajar perempuan / wanita dilihat lebih menonjol dalam aspek kepimpinan.

Pelajar perempuan berbangsa India yang bersama dengan saya ini ialah seorang Penolong Ketua Pengawas, tetapi dia lebih berperanan dan berpengaruh berbanding Ketua Pengawasnya yang merupakan seorang pelajar Melayu lelaki. Pelajar India di sekolah ini merupakan golongan minoriti. Tetapi itu tidak menghalang pelajar ini menonjolkan kelebihan dirinya

Dari 3 buah sekolah menengah, 2 dari nya menyaksikan Ketua Pelajar mereka ialah seorang pelajar perempuan. Satu senario yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Pada zaman persekolahan saya, lazimnya Ketua Pelajar mestilah pelajar lelaki. Malah saya sendiri pernah menjawat jawatan itu pada 1990.

Kedua - dua pelajar yang saya ceritakan di atas menunjukkan ciri kepimpinan yang sangat baik, malah seolah - olah kematangan mereka bukan seperti pelajar sekolah. Berani berbicara dengan terbuka, menegur kesalahan tepat pada waktunya, boleh memberi arahan dengan jelas malah mampu membuat keputusan dengan baik tanpa arahan dari guru.

Sebaliknya, saya perhatikan pelajar - pelajar lelaki pula yang seperti kurang tegas pendirian, lemah dalam komunikasi, sambil lewa dan tidak menonjol ciri - ciri kepimpinannya.

Begitu juga di Kolej Komuniti dan Politeknik Premier itu. Pelajar perempuan memainkan peranan cukup besar dalam kelangsungan program. Selain dari menguruskan makan minum, mereka turut menguruskan perjalanan program dan menjadi pengerusi majlis. Sangat sedikit sumbangan pelajar lelaki saya perhatikan.

Apakah yang sedang berlaku hari ini? Kenapa senario sebegini boleh berlaku? Saya faham sekiranya kemampuan pelajar perempuan meningkat tetapi tidak seharusnya pencapaian dan kemampuan pelajar lelaki pula merosot. 

Apa pandangan anda?

Program Kepimpinan Pengawas - Sekolah Menengah Desa Tun Hussein Onn

Disediakan oleh FIkri;

Pada 9 Mac 2011 hari Sabtu bertempat di Sekolah Menengah Desa Tun Hussein Onn, Lilcent Total Solution telah dijemput untuk mengendalikan Program Kepimpinan Pengawas anjuran Lembaga Pengawas SMKDTHO. Seramai 95 orang peserta yang terdiri dari pengawas tingkatan 1 hingga 5 telah terlibat dalam program kepimpinan ini.


Bermula pada 9.00 pagi pelajar-pelajar telah diberi taklimat oleh Ketua Perunding Lilcent Total Solution mengenai objektif program yang bertumpu kepada konsep kepimpinan, pengenalan kepada aspek kepimpinan dan juga cara membina keyakinan diri sebagai pemimpin di sekolah.

Pada sesi pagi ini juga seorang ketua dikalangan pelajar telah dipilih oleh semua pengawas yang terlibat. Program pagi dimulakan dengan sesi ice-breaking di dalam kumpulan. Peserta memilih ketua masing-masing dalam kumpulan. Seterusnya peserta di dedahkan dengan aspek kepimpinan generasi “Baby Boomers”, Generasi X dan generasi sekarang iaitu generasi Y. Dengan pendedahan konsep-konsep ini pemimpin disekolah lebih berfokus kepada pendekatan-pendekatan baru bagi konsep kepimpinan di sekolah. 


Program ini turut melibatka aspek penjenamaan semula kepimpinan pengawas di SMK DTHO. Peserta diberi gambaran berkenaan Pengawas vs Pengawal. Dalam perbincangan ini mereka perlu melihat aspek yang mereka lalui sepanjang menjadi pengawas dan persamaan dengan tugas-tugas pengawal. Disini pemikiran kritis di bentuk agar mereka lebih berketrampilan sebagai pemimpin dan bukannya sebagai pengawal. Aspek-aspek keyakinan dan fungsi mereka sebagai pemimpin telah digambarkan sepanjang sesi pagi ini. Seterusnya mereka juga telah menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang dinamakan “Menaiki rakit”. 


Dalam aktiviti ini dewan berada dalam keadaan riuh kerana mereka berusaha dan saling berkomunikasi dalam melontarkan rancangan untuk ahli kumpulan berjaya dalam aktiviti ini disamping mereka dapat membentuk semangat kerjasama, berperanan dalam memimpin pasukan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka juga telah membentuk tarian ‘Hakka’ bagi setiap kumpulan masing-masing bagi melihat keberanian dalam kumpulan dan memberi ekspresi kepada kumpulan yang lain sepanjang program.


Selesai solat Zohor dan makan tengah hari program diteruskan dengan aktiviti "Dimana Pendirian Anda”. Dalam aktiviti ini peserta telah diberi beberapa soalan untuk melihat bagaimana mereka membuat keputusan dan juga hujah-hujah yang mereka keluarkan.  Hasilnya mereka lebih berani untuk memberi hujah dalam membuat keputusan walaupun disini keputusan yang mana betul tidak ditentukan. Aspek-aspek sebegini penting bagi melahirkan pemimpin yang berani membuat keputusan dan mempunyai pendirian yang kukuh bila melaksanakan sesuatu tindakan.


Pada sesi seterusnya mereka telah mempelajari teknik-teknik membina personaliti dan bagaimana cara penyampaian dengan betul disamping mengetahui cara senyuman. Pelbagai mimik muka diambil dan ditayangkan bagi memberi impak kepada reaksi tersebut. Disini mereka akan lebih memahami cara untuk mempengaruhi orang lain. Asas senyuman dengan baik adalah penting dan bagaimana mereka perlu berinteraksi dengan orang lain sebagai pemimpin. Kesannya amat penting untuk membentuk pemimpin yang berkualiti sejak dari sekolah lagi.

Pelajar juga telah membincangkan masalah-masalah utama pengawas dan cara mengatasi nya bagi meningkatkan kredebiliti badan pengawas di Sekolah. Sesi ini berlangsung dengan percambahan idea yang begitu hebat dan mereka mengemukakan pelan tindakan yang mereka akan laksanakan sepanjang tahun ini. Peluang mereka memimpin semakin terbuka luas dan bukan sahaja dari aspek tugas-tugas kawalan seperti yang mereka laksanakan sebelum ini. Ini memberi kesan baru supaya penjenamaan semula peranan pengawas di sekolah dapat dilaksanakan dan prestasi mereka sebagai pemimpin dapat ditonjolkan sepanjang menjawat jawatan sebagai pengawas.

Explore Race merupakan aktiviti terakhir buat peserta kursus pada hari itu. Semasa aktiviti ini berjalan dapat dilihat bagaimana mereka membuat keputusan dan menggunakan daya kreativiti dalam menyelesaikan beberapa tugasan. Berbagai aksi dan kebolehan telah mereka tonjolkan dalam kumpulan masing-masing. 


Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh wakil guru kepada peserta dan juga kumpulan yang terbaik. Program ini diharapkan dapat membentuk satu generasi pemimpin yang baru dari peringkat sekolah dengan kebolehan yang perlu ada sebagai seorang pemimpin.

Kes Kematian Pegawai Kastam di Bangunan SPRM

Semasa kejadian ini berlaku, saya mendapat satu kiriman sms yang memberitahu ada perkara besar sedang berlaku melibatkan SPRM. Saya disarankan untuk ke lokasi kejadian untuk mengetahui apa yang berlaku tetapi kerana sedang sibuk dengan tugasan saya tidak dapat ke Jalan Cochrane walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh.

Saya cuba melihat di blog - blog utama mengenai perkara tersebut tetapi tidak muncul juga. Semakin tertanya - tanya dan saya terpandang satu update di facebook mengenai kejadian ini. Saya yang kebetulan berada di Jalan Tun Razak ketika itu mengambil peluang melalui Jalan Cochrane bagi melihat sendiri apa yang berlaku. Dalam hati saya - "Adakah ini berlaku seperti apa yang berlaku dengan Teoh Beng Hock"?

Berita - berita mula menyiarkan perkara ini. Saya mula mengutip setiap satu dan mula melakukan analisa - kali ini dengan bantuan 3 pelajar praktikal dalam bidang psikologi yang sedang berkhidmat dengan saya. Saya juga cuba mendapatkan maklumat dalaman dan mula membandingkannya.

Apabila mendapat fakta yang mangsa adalah lelaki Melayu yang sudah hampir pencen dan menjawat jawatan yang agak selesa, kami mula ragu dengan pernyataan yang kemungkinan mangsa membunuh diri. Ini adalah bersandarkan statistik kejadian bunuh diri melibatkan lelaki pada usia sebegini adalah rendah di negara kita. Malah, status penjawat awam dan lelaki Muslim pula, menyukarkan kami menelan bahawa mangsa membunuh diri dengan terjun dari tingkat 3. Andainya benar beliau bersalah, kami percaya bahawa nilai tuduhan yang dipikulnya membolehkan beliau berfikir panjang dengan laluan kehakiman negara ini.

Tidak cukup dengan itu, kejadian ini adalah seakan ulangan kes Teoh Beng Hock. Bezanya Teoh adalah saksi, dalam kes ini mangsa di katakan sebagai tertuduh.

Menurut maklumat yang diperolehi, mangsa telah memberi keterangan pada hari sebelumnya. Pada hari kejadian, mangsa datang ke bangunan SPRM ini dengan rela hati tanpa dipanggil oleh SPRM. Tujuan mangsa ke sana adalah untuk menarik balik atau mengubah keterangan yang telah pun diberikan. Kesilapan besar dalam kejadian ini ialah, mangsa tidak sepatutnya di bawa ke tingkat 3 kerana siasatan dikatakan hanya berjalan di tingkat bawah.

Melihat pula dari saiz tingkap, adalah mustahil mangsa membunuh diri dengan cara terjun kerana tidak konsisten dengan kaedah bunuh diri melalui tempat tinggi yang sering digunakan. Biasanya mereka yang membunuh diri dari tempat tinggi memerlukan masa untuk menenangkan diri, meratapi apa yang berlaku dan membuat keputusan.

Adakah mangsa dianiaya seperti yang dikatakan? Adakah mangsa mempunyai banyak maklumat mengenai kes berprofil tinggi dan dibunuh kerana untuk menutup rahsia besar yang melibatkan mereka yang berprofil tinggi?

Pada hemat kami, kejadian ini mungkin salah satu dari agenda menjatuhkan imej SPRM dan kredibilitinya. Apabila badan sebegini rosak kredibilitinya, pastinya banyak kes berprofil tinggi terlepas.

Adakah ini hasil perlaksanaan pembunuh upahan? Khabarnya ada CCTV..dapatkah sebarang bentuk rakaman untuk dinilai?

Saya cuma berharap Pakatan Rakyat tidak menjadikan perkara ini sebagai modal politik kerana ia melibatkan skop yang besar. Pada mereka yang cuba mengaitkan hal ini dengan sentimen perkauman, saya sarankan berhentilah kerana ia tidak akan kemana - mana.

Program Customer Service Excellence Politeknik Ungku Omar

Teks oleh Mizie




Bertarikh 2 April 2010 yg lalu, Lilcent Total Solution telah mengendalikan seminar mengenai ‘Cutomer Service Excellent Course’ di Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak. Seminar yang berlangsung selama sehari itu telah di hadiri seramai 220 orang pelajar dari Jabatan Perdagangan. Slot 1 pada jam 9.00pagi dimulakan oleh pakar runding LilcentTotal Solution, En.Mohsen Amdan dengan ‘Pengenalan Kepada Konsep Khidmat Pelanggan’ dan ‘Komunikasi Interpersonal’. Melalui kajian kes yang dikembangkan, para pelajar dikehendaki melalui proses berfikir dengan amat kritis dimana memerlukan para pelajar menyelesaikan persoalan situasi yabg diutarakan oleh En. Mohsen.


Setelah berhenti rehat dan solat Zuhur, Slot 2 mengambil tempat pada jam 2.00 petang dimana En. Mohsen Amdan membentangkan tajuk ‘Pengendalian Pelanggan Bermasalah’ dan ‘ Skrip & Dialog’. Melalui segmen ini, para pelajar dikehendaki merangka skrip dan dialog sendiri tatacara menghadapi pelanggan bermasalah.



Tepat jam 3.30 petang, kelancaran seminar terganggu seketika apabila berlaku litar pintas dimana auditorium bertukar gelap. Walaubagaimanapun, keadaan tersebut tidak sedikit pun menjejaskan perjalanan seminar apabila En. Mohsen tetap meneruskan programnya. Amat memeranjatkan, apabila para pelajar tetap memberikan sepenuh perhatian dan masih bertenaga dalam memberikan maklumbalas.


Kaedah seminar yang dijalankan adalah secara interaktif, kajian kes dan simulasi.      

Program Persediaan Ke Dunia Kerjaya Kolej Komuniti Selayang

Teks disediakan oleh Mizie


Pada 30 dan 31 Mac 2011, Lilcent Total Solution telah dijemput untuk menjayakan seminar ‘Persediaan Ke Dunia Kerjaya’ yang bertempat di Kolej Komuniti Selayang (KKSY). Tepat pada jam 9.00 pagi, majlis dirasmikan oleh Ketua Jabatan Kemahiran dan Kejuruteraan KKSY, Puan Norhayati bt Osman. Seramai 200 orang pelajar semester akhir dari pelbagai kursus telah mengambil bahagian. Seterusnya seminar bermula di bawah kendalian Pakar Runding Lilcent Total Solution, En. Mohsen Amdan.


Seminar pada sesi pagi yang dibahagikan kepada beberapa segmen seperti ‘Ice-Breaking’, ‘Mind Setting’, ‘Kopitiam’ dan ‘Pengenalan Kepada Dunia Kerjaya’ sangat menarik perhatian dan tumpuan peserta. Usai sesi pagi, En.Afrizal b Ramlan mengambil tempat untuk sesi petang selepas solat zuhur. En.Afrizal mengendalikan segmen yang bertajuk ‘Perkhidmatan Awam, Tatacara Permohonandan Masa Hadapan dlm Sektor Kerajaan.’

Afrizal masih segak seperti dahulu




Pada hari ke-2 seminar, En. Mohsen Amdan memulakan sesi pagi dengan segmen ‘Dana dan Bantuan Kerajaan’. Para pelajar dari pelbagai kursus berbeza diberikan taklimat dan kaedah bagaiman mendapatkan bantuan dan geran dari sektor awam seperti Mara, Mosti dan sebagainya. Pada sesi petang, En. Mohsen menunjukkan teknik membuat resume yang efektif kepada para pelajar. Hal yang demikian penting untuk para pelajar mempelajari format yang terbaik untuk membuat resume. Seminar di akhiri dengan segmen ‘Simulasi Temuduga’ dimana para pelajar diasah teknik menjalani temuduga sebelum ke dunia kerjaya yang sebenar.  


Apa yang lucu agaknya ya?