Total Pageviews

Program Persediaan Kerjaya Politeknik Sultan Idris Shah - Potential Profiling Test

Saya dijemput oleh En. Khir Salimin - pegawai Hal Ehwal Pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam yang mana beliau sendiri pernah menghadiri satu program bersama saya di Kuala Lumpur tidak lama dahulu. Program kali ini memberi tumpuan kepada pelajar semester 1 dan 2 PSIS dan ketika En. Khir membuat pengesahan program saya agak terkejut dengan jumlahnya mencecah 1490 orang. 

Ini baru dari kedudukan separuh dewan

Satu cabaran untuk saya walaupun saya biasa dengan jumlah sebegini ramai namun kali ini saya perlu membuatkan mereka terus kekal memberi tumpuan kepada saya dengan kandungan program yang agak berat serta tempoh masanya seharian. 

Antara pensyarah yang turut serta dalam program ini

Melangkah masuk ke dewan besar PSIS membuatkan saya terfikir sejenak dengan susunan kerusi yang cukup banyak dan memanjang kebelakang membuatkan saya bakal kelihatan bersaiz kotak mancis saja di atas pentas.

Komunikasi Interpersonal turut di sentuh dalam program kali ini

Dibantu oleh dua fasilitator - Muhammad dan Mohd Hanif, program berjalan lancar sehingga ke petang. Dalam jumlah seramai ini saya menggunakan 2 kaedah Profiling mudah iaitu teknik soal kecenderungan diri 4 soalan dengan 2 pilihan jawapan setiap satu serta kaedah Pembacaan dan Pemahaman Tandatangan.

Modul memahami diri menerusi tandatangan

Alhamdulillah sesi dapat berlangsung dengan baik sekali dan berjaya membuatkan kebanyakan peserta celik dengan realiti sebenar hari ini. Usia 18 - 25 tahun adalah usia yang seharusnya di manfaatkan oleh orang muda dalam membentuk masa depan yang gemilang.

Apabila Hudud menjadi modal politik...


Sudah lebih seminggu isu Hudud dimainkan di dada akhbar dan blog - blog politik. Isu lama ini dinyanyikan semula disamping isu Ketua Menteri Pulau Pinang - Lim Guan Eng dilaporkan memburuk - burukkan Johor Darul Takzim dalam satu majlis. Lim Guan Eng telah memohon maaf secara terbuka dan bukan itu saja terus meyatakan hasrat mengambil tindakan undang - undang ke atas media yang melaporkan isu ini kerana menurut beliau ia bersifat fitnah semata - mata.

Anwar Ibrahim pula yang masih belum selesai dengan perbicaraan kes Liwat 2 terus dibebani dengan pendedahan gambar yang menunjukkan beliau dan Eskay bersama - sama menuju lif dan secara tidak langsung menafikan dakwaan DSAI yang beliau tidak bertemu Eskay sebelum ini. Pendedahan blog  - blog politik pula dilihat kali ini lebih mengancam kredibiliti DSAI. Itu sebahagian dari skrip serangan ke atas PKR selain isu JAIS dan pelbagai lagi di Selangor khususnya.

PAS pula terus dilanyak dengan isu hudud - sambil Karpal dan Tuan Guru Nik Aziz dilaga - lagakan seperti biasa. Tun Mahathir pula dilihat konsisten dengan pernyataan Hudud tidak relevan dan disokong oleh pelbagai pihak lagi termasuk Sister In Islam dan Perdana Menteri sendiri. 

Kebanyakan orang Melayu yang sifatnya mudah sangat dimomokkan dengan perkara kecil pula mudah gusar dengan rasional penolakan hukum Allah ini. Potong tangan sebagai hukuman kepada pencuri hanya dilihat tidak relevan dan menyusahkan sahaja. Dr. Masitah yang dulunya begitu dihormati pandangannya mengenai Islam juga mengeluarkan kata - kata yang sangat menyakitkan hati - memperlekeh hukum Allah. Ustaz Azhar Idrus pula menjawabnya semula dengan cara yang cukup mudah difahami dan dicerna. Mujur ada insan seperti beliau.

Tapi, kuasa digunakan bagi menyekat keselesaan beliau berkongsi ilmu. Terbaru di UIAM apabila Ustaz Azhar Idrus dijemput menyampaikan ceramah telah ditekan dengan menukar lokasi ceramah dari kawasan selesa Masjid UIAM kepada Experimental Hall yang kecil. Saya sendiri pernah berkuliah di Experimental Hall itu - sangat tidak sesuai untuk ceramah yang disampaikan oleh Ustaz yang meningkat naik polularitinya itu.

Adakah potong tangan sahaja yang berkait dengan Hudud ini? Anda suka barangan anda di curi? Kalau anda dapat menangkap pencuri itu sendiri agaknya bagaimana anda melayan mereka? Beri mereka kerja? 

Semalam, kawasan sekitar taman perumahan saya mengalami gangguan bekalan air dek kerana kabel kolam takungan utama di curi. Maka apakah cara mendidik pencuri ini dan bakal pencuri yang lain? Tawarkan mereka dengan peluang pekerjaan? 

Pencuri - pencuri berbangsa Melayu dan Islam selalunya berhati kecil - mereka tertangkap dengan hanya kes - kes tidak seberapa. Ini mungkin kerana di hari kecil mereka masih tersisa Iman. Namun harus diingat cara belajar manusia yang paling mudah dan cepat ialah dengan MENIRU. Maka apabila beberapa pencuri terlepas hukuman bakal pencuri lain berasa teruja dan ingin melakukan perkara yang sama. 

Ingat lagi peristiwa beras bertaburan di atas jalan, duit syiling bertaburan ketika kemalangan di jalanraya? Apabila seorang memulakan acara mengutip taburan beras dan duit syiling ini maka ramai pula yang lain menurut langkah sama kerana dirasakan ia bukan satu kesalahan.

Atas dasar senario sebegini, wajib difahami Hudud bukan bertujuan menghukum semata - mata, tetapi mendidik. Apabila seorang dihukum dengan jalan Allah atas kesalahannya, ia mampu memberi kesan mendalam kepada orang lain yang melihatnya! 

Pencen - Tiada lagi pertunjukan selepas ini!

Akhirnya saya nekad! Keputusan telah saya buat. Walaupun berat hati ini mengiyakan pilihan saya ini namun saya rasa ini lah yang terbaik buat saya. Setelah mula terlibat dengan pertunjukan pentas secara serius dari 1998, selepas hampir 12 tahun akhirnya saya mencapai noktah. Tiada lagi pertunjukan pentas dari saya.


Sejak 1998 saya terlibat dalam dunia pertunjukan pentas dalam pelbagai skala dan fungsi. Dari arena Underground bersama kumpulan Punk Rock  - Silent Majority. Saya sebagaii pemain dram bersama Amir - gitar, Azil - Bass dan Azlim - Vokal, bergerak dari gig ke gig. Dari yang percuma sehingga berbayar. Dari Terengganu ke Kuala Lumpur. Bermula dengan rakaman Split Release bersama 3 band lain - Seven Collar T-Shirt dan Love Me Butch yang telah pun sangat berjaya hari ini dan sebuah lagi band iaitu Jaywalkers - band yang mulanya meletakkan Allahyarham Afrizal Ramlan sebagai pemain gitar dan penyanyi sehingga saya sendiri mengambil alih tempat beliau.

Diikuti dengan persembahan Gamelan - dari majlis konvokesyen sehingga kenduri kahwin. Jamuan hari raya mahupun pelancaran ubat gigi! Saya sudah melaluinya. Hasil dari pendedahan persembahan Gamelan terbit pula Dewangga Sakti - saya bersama Zulkifli Ramli; yang juga mengalami evolusi dari gitar eletrik Jackson kepada Gambus, kami bertukar - tukar ahli sehingga saya sendiri mengambil keputusan keluar dari Dewangga Sakti beberapa tahun lalu.

Saya bersama Dewangga Sakti - Azmi berbaju merah memegangTabla - 
Zulkifli memeluk Gambus

Melalui Azmi bekas pemain perkusi Dewangga Sakti, saya membentuk kumpulan muzik baru iaitu Kuintet Teranchang. Bersama 4 pemuzik hebat, Aznor - Gitar, Azmi - perkusi , Rozek - Bass dan Ijam - Keyboard saya cukup puas bersama mereka walaupun untuk tempoh 3 tahun sahaja. Tahap kemampuan permainan mereka cukup hebat sehinggakan saya tidak perlu risau mengenai jadual latihan - datang dan jalan saja!

Kuintet Teranchang

Ya...kenangan - kenangan ini memang tersemat di hati. Ramadhan lalu saya mengenepikan semua permintaan pelanggan untuk menempah persembahan dari saya. Begitu juga dengan persembahan Syawal. Saya cuma tewas sekali di tangan Lifestyles Sdn Bhd kerana mereka adalah pelanggan tetap saya. Itu pun saya hanya melakukan persembahan solo sahaja.

Persembahan pentas mengajar saya banyak perkara - profesionalisme, sistem bunyi, persediaan, pengurusan acara dan masa serta pengendalian penonton dengan berkesan. Persembahan pentas banyak mengukuhkan kemampuan saya dalam penyampaian ceramah dan program latihan. Bezanya ialah program latihan menggunakan kudrat saya untuk tempoh lebih dari 4 jam.

Saya bersyukur dengan peluang yang dikurniakan Allah peluang mengalami sendiri perkara - perkara di atas. Walaupun tidak sebagai artis popular tanahair, sekurang - kurangnya saya merasa menghiburkan mereka yang  hadir ke majlis atau acara yang mana saya terlibat.

Saya juga nekad ingin menjual peralatan sistem  bunyi yang saya miliki. Ini bermakna tiada lagi perkhidmatan sewaan sistem bunyi dari saya walau untuk acara apa sekali pun. Kepada sesiapa yang berminat untuk membelinya, sila hubungi saya di 013 - 3889214.

Selamat jalan dunia hiburan, selamat tinggal dunia persembahan pentas!