Akhirnya saya nekad! Keputusan telah saya buat. Walaupun berat hati ini mengiyakan pilihan saya ini namun saya rasa ini lah yang terbaik buat saya. Setelah mula terlibat dengan pertunjukan pentas secara serius dari 1998, selepas hampir 12 tahun akhirnya saya mencapai noktah. Tiada lagi pertunjukan pentas dari saya.
Sejak 1998 saya terlibat dalam dunia pertunjukan pentas dalam pelbagai skala dan fungsi. Dari arena Underground bersama kumpulan Punk Rock - Silent Majority. Saya sebagaii pemain dram bersama Amir - gitar, Azil - Bass dan Azlim - Vokal, bergerak dari gig ke gig. Dari yang percuma sehingga berbayar. Dari Terengganu ke Kuala Lumpur. Bermula dengan rakaman Split Release bersama 3 band lain - Seven Collar T-Shirt dan Love Me Butch yang telah pun sangat berjaya hari ini dan sebuah lagi band iaitu Jaywalkers - band yang mulanya meletakkan Allahyarham Afrizal Ramlan sebagai pemain gitar dan penyanyi sehingga saya sendiri mengambil alih tempat beliau.
Diikuti dengan persembahan Gamelan - dari majlis konvokesyen sehingga kenduri kahwin. Jamuan hari raya mahupun pelancaran ubat gigi! Saya sudah melaluinya. Hasil dari pendedahan persembahan Gamelan terbit pula Dewangga Sakti - saya bersama Zulkifli Ramli; yang juga mengalami evolusi dari gitar eletrik Jackson kepada Gambus, kami bertukar - tukar ahli sehingga saya sendiri mengambil keputusan keluar dari Dewangga Sakti beberapa tahun lalu.
Saya bersama Dewangga Sakti - Azmi berbaju merah memegangTabla -
Zulkifli memeluk Gambus
Melalui Azmi bekas pemain perkusi Dewangga Sakti, saya membentuk kumpulan muzik baru iaitu Kuintet Teranchang. Bersama 4 pemuzik hebat, Aznor - Gitar, Azmi - perkusi , Rozek - Bass dan Ijam - Keyboard saya cukup puas bersama mereka walaupun untuk tempoh 3 tahun sahaja. Tahap kemampuan permainan mereka cukup hebat sehinggakan saya tidak perlu risau mengenai jadual latihan - datang dan jalan saja!
Kuintet Teranchang
Ya...kenangan - kenangan ini memang tersemat di hati. Ramadhan lalu saya mengenepikan semua permintaan pelanggan untuk menempah persembahan dari saya. Begitu juga dengan persembahan Syawal. Saya cuma tewas sekali di tangan Lifestyles Sdn Bhd kerana mereka adalah pelanggan tetap saya. Itu pun saya hanya melakukan persembahan solo sahaja.
Persembahan pentas mengajar saya banyak perkara - profesionalisme, sistem bunyi, persediaan, pengurusan acara dan masa serta pengendalian penonton dengan berkesan. Persembahan pentas banyak mengukuhkan kemampuan saya dalam penyampaian ceramah dan program latihan. Bezanya ialah program latihan menggunakan kudrat saya untuk tempoh lebih dari 4 jam.
Saya bersyukur dengan peluang yang dikurniakan Allah peluang mengalami sendiri perkara - perkara di atas. Walaupun tidak sebagai artis popular tanahair, sekurang - kurangnya saya merasa menghiburkan mereka yang hadir ke majlis atau acara yang mana saya terlibat.
Saya juga nekad ingin menjual peralatan sistem bunyi yang saya miliki. Ini bermakna tiada lagi perkhidmatan sewaan sistem bunyi dari saya walau untuk acara apa sekali pun. Kepada sesiapa yang berminat untuk membelinya, sila hubungi saya di 013 - 3889214.
Selamat jalan dunia hiburan, selamat tinggal dunia persembahan pentas!
No comments:
Post a Comment