Total Pageviews

E - Temubual saya bersama Malaysia.my berkaitan sepaktakraw

Terimakasih kepada salah seorang penasihat ICT saya iaitu Maestro Rusdy Ahmad kerana menghalakan temubual secara online ini kepada saya di mana temubual Malaysia.my ini sepatutnya dijawab oleh beliau. Saya perlu menjawab soalan - soalan ini dalam jumlah 100 hingga 150 perkataan sahaja. Saya titipkan jawapan dalam Bahasa Melayu meskipun yang akan muncul nanti dalam Bahasa Inggeris.



1. Tell us about your connection with the sport. How did it all start, how did u get into it... 


Saya bermula ketika berusia 14 tahun. Hanya kerana ingin mengelak waktu prep pagi di asrama, saya mencuba nasib untuk pemilihan pemain mewakili Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Walaupun saya tidak tahu bermain sepaktakraw saya gagahi juga. Akibatnya, saya dimarahi guru yang memilih pemain kerana hanya membuang masanya. Saya jadi geram dan mula berhenti bermain bolasepak dan berazam mempelajari sepaktakraw dan hasilnya, saya berjaya mewakili sekolah pada tahun berikutnya dan berjaya muncul naib juara di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat dengan bermain diposisi Tekong. Selepas itu saya mula dibimbing oleh En. Hanafiah di Muar sebagai apit kanan dan bermulalah kegilaan saya kepada sepaktakraw. Bolarotan.com bermula hampir 3 tahun lalu adalah satu projek mempopularkan sepaktakraw selepas saya menyaksikan merudumnya prestasi pasukan negara dan kegagalan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika itu dalam membangunkan sukan ini.

2. How was Sepak Takraw then and how is it now? What has time brought to it? 

Dahulunya sepaktakraw merupakan sukan popular di mana orang sanggup berasak – asak menonton kejohanan ini walaupun terpaksa membayar tiket. Kejohanan pelbagai peringkat dan Malaysia adalah nama gah dan pertembungan dengan seteru utama ketika itu – Thailand adalah satu perkara yang amat dinantikan. Sepaktakraw dimainkan di mana – mana saja. Malah kategori Bukan Melayu juga wujud dalam kejohanan peringkat sekolah. Ia sukan yang diminati kerana kemahiran, seni, adab dan juga ketangkasannya. Rally panjang berbalas libasan adalah penarik utama. Hampir 15 tahun lalu, ia merudum kerana corak permainan sudah berubah. Servis Kuda membunuh seni sukan ini. Tiada lagi rally panjang, yang ada hanyalah kelajuan saja.

3. How is the younger generation reacting to Sepak Takraw?


Sejak kebelakangan ini ia kembali popular. Sejak adanya ledakan internet, sepaktakraw bagai bernyawa semula. Buktinya ramai bakat baru dikesan diperingkat sekolah rendah lagi. Kejohanan diperingkat Kementerian Pelajaran juga membantu dalam hal ini. Usaha oleh pelbagai pihak termasuk Bolarotan.com dalam menganjurkan pelbagai klinik dan program Outreach nampaknya semakin membuahkan hasil. Guru – guru pula semakin mendekati kami untuk berkongsi maklumat pelajar mereka dan semakin ramai pemain muda berbakat berani menyertai kejohanan peringkat tinggi.

4. What challenges does the sport face to be more globally recognised?


Sukan baru dan lebih ‘hype’ seperti Futsal, Dodgeball , permotoran dan sebagainya muncul dengan pakej komersil yang lebih baik. Ini sangat mudah menarik penaja besar dalam mempromosikan sukan ini. Sukan ini juga didominasi oleh Thailand dalam segenap segi menyebabkan negara lain mula berasa ia satu pelaburan yang agak kurang menguntungkan. Pulangannya (ROI) agak lambat kerana proses membentuk pemain kelas tingginya memakan masa yang panjang. Menggabungkan beberapa elemen berlainan dalam mempromosi sukan ini adalah perlu sebagai contoh makanan popular, syarikat penerbangan terkenal ataupun TELCO akan mempercepatkan proses ini. Sentimen budaya perlu dikecilkan seperti mana bolasepak moden bukan lagi milik orang Inggeris.

5. Your thoughts on the future of Sepak Takraw as a sport and cultural significance to Malaysians.



Sepaktakraw adalah sukan yang sangat berpotensi untuk diketengahkan. Gabungan elemen yang pelbagai sebenarnya satu bentuk USP (Unique Selling Proposition) yang boleh dikembangkan. Usaha pelbagai pihak perlu dalam mempopularkan lagi sukan ini. Malaysia masih boleh terus berharap sepaktakraw sebagai penyumbang pingat bagi Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya malah ia mampu menjulang nama Malaysia di mata dunia kerana sukan ini semakin diminati. Dalam bentuk budaya pula, agensi yang terlibat perlu lebih proaktif dalam mengangkat sejarah sukan ini kerana secara sejarahnya sukan ini bermula dengan sepakraga dan dimainkan di mana – mana sahaja. Malah secara tidak langsung mampu membantu industri  kraf khususnya rotan kerana bola yang asal diperbuat dari rotan. Demonstrasi pembuatan bola rotan, jualan produk berkaitan, demonstrasi dan perlawanan pertunjukan mampu menjadi tarikan pelancong. Saya sendiri pernah bermain sepakraga di dalam KL Hilton Hotel untuk menghiburkan tetamu di Grand Ballroom mereka yang mana tetamu asing begitu teruja dengannya. Siapa kata orang asing tidak minat dengan budaya kita kan?

Selfies (Bahagian 2) - Bukan sekadar potret diri

Salam
Bersambung lagi dalam siri artikel psikologi yang mengupas isu Selfie atau merakam foto diri sendiri. Pada artikel yang lalu saya menyentuh ciri Narcissism yang wujud dalam proses Selfies sama ada ia berkaitan atau tidak. Kali ini saya akan mengupas perkaitan tingkahlaku Selfie ini dengan konsep potret dan garis masa (Timeline).

Potret Monalisa karya Leonardo Da Vinci adalah merupakan potret yang paling popular didunia sehinggakan ia difilem, dilagukan, ditiru dan pelbagai lagi bentuk penghayatan keatasnya dibuat oleh pelbagai pihak. Malah ia dikaji dengan penuh mendalam kerana Leonardo adalah seorang yang genius dalam penghasilan apa juga karyanya dan ini menimbulkan banyak tanda tanya.


Potret diri dengan tiadanya kecanggihan kamera pada zaman dahulu pastinya memerlukan proses yang remeh dan memakan masa. Anda mungkin perlu berposisi statik untuk satu tempoh panjang supaya pelukis dapat menyiapkan lakarannya. Ini dipermudahkan dengan terhasilnya teknologi kamera digital dan apabila kamera bersatu dengan telefon...ia mempermudahkan lagi proses ini.

Kenapa orang melukis potret? Kerana ia satu bentuk rakaman  bersifat sentimen masa dan keadaan. Ia menjadi maklumat penting kepada masa akan datangnya dalam menggambarkan keadaan yang sedang dilalui merentasi usia ketika potret itu disiapkan dan ia juga satu bentuk luahan rasa.

Berbalik kepada Selfie, adakah yang dirakamkan dan disiarkan itu bersifat potret? Nampaknya tidak semua Selfie bersifat potret. Ini boleh dilihat dari beberapa sudut.

1. Masa rakaman dan muatnaik foto itu dilakukan - Ia biasanya berlaku dengan bersifat menunjukkan garis masa. Apa yang sedang berlaku disekeliling individu berkenaan, dengan siapa dia berada dan jam atau waktu yang bagaimana. Ada orang yang memuatnaik Selfie di setiap kali dia mengenakan pakain baru atau ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan atau mahupun setiap kali tiba disatu lokasi yang dirasakan signifikan untuk dimuat naik ke laman sosial. Signifikan di sini perlu dibaca sebagai ia memberi rasa 'Cool', hebat, menarik atau lain dari lain berdasarkan persepsi si pelaku, bukannya pembaca. Sebab itu, setiap Selfie mendapat reaksi yang berbeza dari pembaca. Pelaku selalunya mengharapkan respon dari pembaca dalam bentuk KOMEN STATUS atau LIKE pada foto atau status berkenaan. Masa rakaman dan muatnaik ini telah menjadi begitu penting kerana media sosial seperti Instagram, Facebook atau Twitter bersifat 'Real-Time' dan proses update berlaku begitu kerap kerana ia boleh diakses menerusi Smart Phone. Kelajuan internet menjadi begitu penting dalam hal ini kerana si pelaku mahukan foto Selfie ini dimuatnaik pada ketika itu juga untuk memberitahu orang lain apa yang sedang berlaku dalam hidupnya.

2. Ekspresi perasaan - Manusia secara dominannya memiliki 8 emosi yang paling menonjol, Marah, Gembira, Sedih dan kecewa adalah diantaranya dan menunjukkan emosi ini menjadi begitu penting dalam dunia hari ini kerana kecenderungan untuk menarik perhatian orang disekeliling (baca - manusia dalam jaringan digital) dan mendapatkan respon yang setimpal. Emosi yang lain dari lain akan mengundang jumlah respon yang tinggi dari pembaca. Ia bagaikan papan iklan perasaan dan foto gembira lebih menarik perhatian kerana ia adalah emosi yang mudah ditunjukkan dan mudah di fahami orang.

Bersambung...

Merakam foto sendiri - Narcissism? Apa itu Selfies?



Narcissism adalah perkataan yang muncul dari mitos Greek mengenai Narcissus, seorang jejaka tampan yang akhirnya jatuh cinta dengan wajahnya sendiri apabila menghabiskan masa yang lama merenung refleksi wajahnya di kolam air. Narcissism adalah satu bentuk masalah psikologi personaliti yang mana ia melibatkan hampir 1% populasi dunia. Antara kesan masalah ini ialah ia membawa kepada perkara berikut
1. Terlalu yakin kepada kemampuan / kebolehan diri sendiri sehingga menolak pertolongan / usaha orang lain sehingga di lihat sangat mementingkan diri sendiri
2. Terpesona dengan diri sendiri sehingga terlalu memuji / mengangkat diri sendiri dan mengakibatkan orang lain menjadi jengkel dengan kenyataan yang keluar dari mulutnya.
Apa yang ingin saya kupas di sini adalah perkembangan dari Narcissism iaitu Selfies iaitu merakam foto diri sendiri dan memuatnaik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Adakah ini juga merupakan sebahagian dari Narcissism? Adakah ini salah satu bentuk masalah psikologi personaliti?

Apakah yang dimaksudkan dengan Selfies? Berikut ialah petikan dari UrbanDictionary.com
1. Pictures taken of oneself while holding the camera at arms length. also known as being camera raped, where one person takes many pictures of them self on another camera
"Dude, Margaret raped my camera last night she took so many selfies!"
2. An act usually carried out by girls aged 12-21, the act involves taking photos of ones self while posing. If the act is carried out by a man, he is usally seen as being gay.
"Yo man, I seen you put selfies up on Facebook... You gay cunt!"
Anda pernah merakam foto sendiri? dengan beberapa snap anda pun melihat kembali semua rakaman itu di Phot Album telefon / kamera anda dan mula memilih untuk yang mana satu perlu dimuat naik? Mula terdetik - "Haa..yang ini aku nampak hensem / cun / cantik"
Atau
"Ala..tak best..tak best..sekali lagi la.."
Dari dua penjelasan Urban Dictionary di atas, ia kedengaran seperti agak negatif. Seolah - olah selfies adalah satu tingkahlaku yang agak janggal. Namun, beleklah akaun sosial anda sendiri hari ini, berapa banyakkah foto selfies yang dapat anda saksikan? 
Bagaimana pula dengan mereka yang langsung tidak pernah merakam gambar sendiri? Adakah mereka mengalami 'Low Self-Esteem' atau kurang keyakinan diri?
Adakah jumlah tertentu yang boleh dikira ok untuk merakam selfies dan memuat naik dalam sehari? Bagaimana pula dengan aksi remaja yang merakam pelbagai sudut wajah dengan mimik muka pelbagai ragam. Adakah ia di kira abnormal?
Perkembangan dunia skrin ke 4 iaitu telefon pintar telah mengubah lanskap psikologi manusia terhadap diri sendiri. Pada awal era Facebook, ramai yang janggal dengan tingkahlaku 'update status', merakam foto sendiri di setiap lokasi malah merakam foto makanan setiap kali ingin makan. Namun oleh kerana tingkahlaku sebegini telahpun melepasi jumlah 9 kali di mata dan minda kita, maka ia dilihat sebagai satu perkara yang boleh diterima, boleh ditiru dan ia dilihat 'cool'. Generasi Y memulakan perkara dengan agresif dan kini, Baby Boomers juga berasa OK dan tidak janggal untuk berbuat demikian.
Ini merupakan satu perkembangan psikologi yang menarik dan tidak ada ramai pakar lagi dalam segmen ini!
Saya akan cuba menulis mengenai Selfies ini dalam bentuk yang lebih mudah difahami dalam entri akan datang. Nantikan update dari saya OK..Jom rakam foto sendiri!

Ihya Ramadhan - Iftar di Masjid


Assalamualaikum wbt. Ramadhan mula memasuki hari kedua untuk edisi 2013 ini dan rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan kepada pembaca semua Ramadhan Kareem dan Selamat menjalani ibadah Puasa.

Tahun lalu, saya dan keluarga berjaya belajar mendisplinkan diri kami dengan 1/3 Ramadhan kami gunakan untuk mendekati Masjid , secara spesifiknya Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya di mana kami cuba hadir awal untuk bertahlil, Iftar, Maghrib dan Isya' dan seterusnya solat sunat Tarawikh dan Witir. Benar, tiada apa yang ingin dibanggakan di sini cuma sekadar ingin berkongsi pengalaman dan usaha kami memperbaiki diri dengan harapan ada dikalangan pembaca yang mungkin mendapat inspirasi dari tulisan ini. Untuk makluman, jarak rumah kami dan Masjid Besi bukanlah dekat sangat di mana saya tinggal di Kajang. Namun, bagai digerakkan hati ini untuk mendekati rumah Allah membuatkan jarak bukan lagi isunya. Kesan dari usaha kecil kami tahun lalu, membolehkan setiap hari Khamis, kami akan ke sana untuk berjemaah dan bacaan Yaasin sekiranya saya tidak berada diluar kawasan.

Maka tahun ini kami sekeluarga berazam untuk memperbaiki lagi usaha kami tahun lalu dengan cuba menghadirkan diri ke Masjid sepanjang Ramadhan ini. Moga Allah memudahkan urusan kami.

Tujuan saya menulis artikel ini adalah sebagai cuba menjawab beberapa pertanyaan mengenai apa yang saya dan kebanyakan orang lain lakukan iaitu, apa rasanya berbuka atau Iftar di Masjid ketika Ramadhan? Jawapan yang bakal saya tuliskan ini bukanlah dari mana - mana guru agama tetapi semata - mata dari pemerhatian insan kerdil seperti saya sahaja.

Pada pengamatan saya, Iftar di Masjid khususnya di bulan Ramadhan ini memiliki terlalu banyak kelebihan yang mana satu ketika dulu, saya juga tidak ambil pusing. Barangkali kerana kematangan fikiran bertambah dan Allah memberi ruang fikir yang baik, maka saya semakin jelas mengenai kelebihan - kelebihan ini.

Pertama, sebagaimana yang kita tahu bahawa Ramadhan ialah bulan pendidikan. Maka salah satu kelebihan besar yang saya perolehi ketika Ramadhan ini ialah DISIPLIN DIRI. Oleh kerana jarak rumah yang agak jauh dari Masjid, kami sekeluarga perlu bersiap awal dan hadir awal ke Masjid. Ini bermaksud persediaan pakaian, perjalanan dan tugasan berlaku lebih teratur.


Kedua, Iftar di Masjid mendidik kami sekeluarga dengan rasa SYUKUR dan MERENDAH DIRI. Walau sehebat atau kaya bagaimana sekalipun seseorang itu, di Masjid makanan yang terhidang adalah sama untuk semua orang. Sedap atau tidak bukan lagi isunya. Kita redha sahaja dengan rezeki yang diberikan Allah pada hari itu. Banyak atau sikit bukan lagi perkara pokok. Malah beberapa biji kurma dan air segelas sudah pun memadai untuk bingkas bangkit menunaikan Solat Maghrib. Usai Maghrib, kita berbaris beramai - ramai mendapatkan makanan yang lebih berat untuk mengalas perut. Ia mendidik rasa SABAR dan MENYERAH DIRI kepada Allah kerana kita juga tidak tahu masihkah ada makanan untuk kita walaupun kita berbaris panjang.

Ketiga, Iftar di Masjid juga mendidik kita untuk lebih menjadi SENSITIF dengan sekeliling. Ada yang membawa juadah sendiri dari rumah atau dari belian di Bazaar Ramadhan. Ketika duduk beramai - ramai untuk Iftar, ada yang mengeluarkan juadah yang agak mahal atau lebih lazat dari orang lain yang akibatnya mereka sendiri jadi serba salah untuk makan kerana orang disekeliling hanya menjamah makanan biasa sahaja. Ini lebih jelas bila makanan yang dibawa dalam kuantiti sedikit dan sukar untuk dikongsikan dengan orang lain. Kesannya ialah esok orang sebegini akan mula menjamah apa yang ada saja sama seperti orang lain.

Keempat ialah mengenai MENYEGERAKAN SOLAT. Sejak kecil, berbuka dirumah pastinya menyeronokkan dengan juadah yang terhidang. Air pelbagai rasa yang sejuk dan sedap pastinya mengundang beberapa gelas ke mulut dan selalunya akan membuatkan perut penuh dan mula timbul rasa kurang selesa. Maka sedikit masa di ambil untuk meredakan keadaan sebelum boleh bingkas bangun untuk solat. Itu belum lagi mengambil kira jumlah makanan yang masuk ke perut. Tersandar kekenyangan selalunya membuatkan kita tidak terus bangun bersolat. 

Kelima ialah TIMBUL KEINGINAN BERIBADAT DENGAN LEBIH - Mereka yang pernah hadir ke program kendalian saya biasanya tahu mengenai MODEL KULIT BAWANG. Tingkahlaku kita di Masjid lebih mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Apabila orang lain bangkit menunaikan solat sunat, kita juga biasanya tergerak untuk bangkit sama meskipun bukan kebiasaan kita. Ini selalunya timbul atas rasa malu - apabila orang lain buat maka kita juga buat atau atas rasa mengisi kekosongan diantara Azan dan Iqamah.
Berbanding dirumah, godaan lebih banyak kerana ada pelbagai perkara menarik perhatian kita, mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, menonton televisyen dan macam - macam lagi.

Ini adalah sebahagian saja dari kebaikan yang saya lihat dan banyak lagi yang saya rasa pembaca juga dapat perhatikan. Sila kongsikan pandangan anda mengenai hal ini di ruangan komen. Semoga Ramadhan kali ini dapat kita penuhi dengan amalan baik dan meningkatkan mutu ibadat kita serta dapat diteruskan di bulan - bulan akan datang Insya Allah.