Apa yang menggerakkan kita untuk berusaha setiap hari? Jawapanya ialah HARAPAN
Anda terus bekerja dengan HARAPAN
- Dapat kumpul duit untuk itu dan ini
- Dapat naik pangkat itu dan ini
- Dapat berbakti untuk itu dan ini
- Dan macam - macam itu dan ini..
Anda berusaha memenangi hati pasangan dengan HARAPAN
- Dapat memilikinya untuk itu dan ini
- Dapat mencintainya dan dicintai itu dan ini
Anda berusaha ke sekolah dengan HARAPAN
- Dapat mencapai keputusan itu dan ini
- Dapat belajar itu dan ini
- Dapat mencari itu dan ini
Apa jua yang kita lalui saban hari, HARAPAN adalah perkara yang selalu menggerakkan anda untuk melakukan sesuatu. Kita melihat sesuatu hasil positif akan berlaku atas usaha yang dicurahkan dan anda akan terdorong melakukannya. HARAPAN memainkan peranan besar dalam hidup ini.
Wajar difahami bahawa meletakkan HARAPAN dan BERGANTUNG HARAP kepada Allah itu adalah jalan terbaik. Kita berusaha sebaik mungkin yang termampu dan kemudiannya menyerahkan kepada Allah untuk keputusannya. Atas kita sedar bahawa kita berHARAP Allah akan membantu kita mencapai apa yang dihajati maka Redha dengan keputusan yang kita usahakan akan lebih manis. Ia mampu mengurangkan perit menanggung kecewa.
Memberikan kata - kata semangat bagi meransang orang lain juga amalan yang baik. Ini mampu membuatkan mereka melihat sesuatu itu dengan lebih positif dan meletakkan harapan atas apa yang mereka usahakan.
Prasangka buruk sering menyebabkan manusia tidak berusaha. Kita jadi takut, bimbang, negatif dan suka untuk melihat perkara itu gagal, lingkup, dan tidak berjaya walhal kita tidak pun berusaha melakukannya.
"Kalau salah macamana?" 'Kalau tak boleh nanti siapa rugi?" "Kalau kalah siapa malu?"
Dialog di atas adalah sebahagian dari dialog Prasangka buruk yang kerap dituturkan oleh kita saban hari. Dengan terucapnya dialog sebegini, kita sudah pun mencuri lebih separuh dari harapan itu. Pemikiran adalah umpama biji benih. Apa yang kita fikirkan maka itulah hasil yang lebih mudah untuk muncul.
Semalam, saya sempat meluangkan masa dengan adik - adik pemain sepaktakraw Sekolah Menengah Agama MAIWP untuk sesi perlawanan persahabatan dan perkongsian ringkas sebelum mereka bertanding pagi ini. Melihat permainan mereka, pastinya terlalu banyak ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan. Melihat dari realiti atas kertas pula, bukan tugas mudah untuk mereka memenangi kejohanan kali ini tetapi keyakinan yang ditunjukkan itu membuatkan saya rasa sangat positif tentang pasukan mereka.
Sempat juga saya dan beberapa teman seperti Ust Ahmad Husni dan Ust Abdul Razak dari PPZKL berkongsi tips bagi mereka melalui kejohanan kali ini. Dengan didikan agama yang kuat, saya yakin mereka sangat positif dengan kemampuan diri mereka.
Yakinlah dengan apa yang anda usahakan. Sejauh mana ia berhasil, serahkan sahaja kepada Allah. Semakin kuat kita berusaha, semakin tinggilah kita meletakkan HARAPAN kepada Allah. Dengan Izin Allah jua...
1 comment:
Kita perlu terus menaruh harapan dan bergantung harap pada Yang Maha Kuasa.
Post a Comment