Total Pageviews

APA YANG DINILAI OLEH BAKAL MAJIKAN DALAM SESI TEMUDUGA?



Assalamualaikum wbt.
Dalam 3 tahun kebelakangan ini saya lebih kerap menyebut perihal kesesuaian profil dalam pemilihan kakitangan untuk sesebuah organisasi. Malah dalam kajian dari pelbagai pihak membuktikan bahawa organisasi bakal menanggung kerugian yang amat teruk sekiranya mereka menggajikan orang yang salah. Dalam satu kajian dari Harvard Business School pada 2013 menunjukkan sesebuah organisasi bakal kerugian sehingga 38 kali ganda dari gaji seseorang yang mereka tersilap pilih. Kalau gajinya RM1000, maka kerugian bakal mencecah RM38000, itu kalau gajinya RM1000. Bagaimana pula kalau tersilap pilih menteri?

Baiklah, memandangkan kita sudahpun memasuki Disember 2015, saya menjangkakan ramai dikalangan kita mula berkira  -kira untuk mencari peluang kerja ditempat lain menjelang 2016. Tidak salah bertukar kerja, asalkan ianya HALAL, BAIK, BAHAGIA dan SERONOK, Oleh itu saya kongsikan beberapa perkara yang anda perlu mabil tahu mengenai:
APA YANG DINILAI OLEH BAKAL MAJIKAN DALAM SESI TEMUDUGA

1. Perawakan
Apakah perawakan? Perawakan ialah maklumat yang dizahirkan oleh diri seseorang berdasarkan rupa paras, penampilan, bahasa tubuh dan sebagainya. Secara mudahnya, berdasarkan perawakan ini, bakal majikan akan menilai
a. Susuk tubuh anda - Besar, kecil, sederhana, tinggi, rendah dan sebagainya
b. Kesesuaian profil - Ketokohan memimpin (sekiranya jawatan berkaitan kepimpinan), rupa paras (jika kerja berkaitan rupa seperti model, pramugara/i , khdimat pelanggan, penjaga keselamatan dan sebagainya) dan aspek lain yang sudah pun berada dalam senarai penemuduga.
c. Bahasa badan (posture dan gesture). Bagaimana anda bergerak sepanjang sesi temuduga amatlah diperhatikan oleh penemuduga. Mata mereka menjadi sangat sensitif dengan setiap pergerakan anda.

2. Kelayakan - Akademik dan Pengalaman
Dalam dunia maklumat dihujung jari ini, anda akan di'siasat' oleh mereka dengan pelbagai kaedah. Selain sijil - sijil kelayakan yang anda miliki dan maklumat di dalam 'resume' yang anda berikan, butiran 'timeline' anda di media sosial juga adalah sumber mudah buat mereka memahami anda. Oleh itu, muatnaik perkara yang relevan saja ke akaun media sosial anda jika anda ingin menjadi calon yang memiliki nilai kebolehpasaran tinggi dalam dunia hari ini.

3. Kemampuan komunikasi yang baik
Penemuduga hari ini juga sedar keperluan memberikan calon rasa selesa semasa sesi temuduga berlangsung. Ini adalah kerana calon yang tenang saja mampu memberikan maklumat yang baik semasa sesi temuduga. Jika calon dalam keadaan tertekan, kebolehan calon yang sebenar tidak akan berjaya dicungkil. Ketahanan mental calon ketika temuduga bukanlah ukuran kebolehan calon melaksanakan tugasannya nanti.

4. Kesesuaian calon
Kesesuaian calon di sini merujuk kepada kemampuan calon 'DI LIHAT' sesuai dengan budaya kerja sedia ada di dalam organisasi berkenaan. Ingat! Manusia akan lebih mudah tertarik kepada orang yang memiliki ciri hampir sama dengan mereka. Contohnya, jika budaya syarikat itu mementingkan ciri agama yang tinggi, maka calon yang turut memiliki ciri sama pasti akan diberi perhatian lebih.

Secara amnya, ini adalah tiga sudut besar yang akan dinilai oleh penemuduga. Meskipun senarainya hanya empat, tetapi pecahan setiap satu ini besar. Penemuduga juga akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengenalpasti calon yang sesuai. Apa juga kaedahnya, ia akan membawa kepada 4 perkara di atas.

Moga bermanfaat. Wallahu A'lam
 


No comments: