Total Pageviews

Patah yang tiada gantinya



Keadaan arwah yang tenat pada petang sebelum meninggal
Salam.
Kekanda sulung saya Allahyarhamah Zaleha telah menghembuskan nafas terakhirnya subuh tadi dirumahnya. Beliau menderita penyakit kanser sejak sekian lama dan merebak dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain. Berkhidmat di Kolej Kediaman Ke - 4 Universiti Malaya sebagai ketua tukang masak, beliau meninggal dunia pada usia 50 tahun dengan meninggalkan suami, 3 orang anak dan 3 orang cucu.

Untuk yang tidak mengenali beliau, pasti akan menyangka yang beliau ini adalah ibu saya. Ini kerana jarak usia kami yang jauh dan rupa yang seiras. Malahan mesra kami juga bagai ibu dan anak.

Allahyarhamah (dua dari kiri) ketika perkahwinan anak keduanya

Satu kehilangan yang sangat besar buat kami adik beradik kerana dia merupakan tempat mengadu, bercerita dan tidak lokek dengan pelbagai bentuk bantuan. Jasanya tidak akan mungkin dapat kami bayar.

Sehingga saat saya menulis ini, wajahnya masing terbayang kerana saya yang bertanggungjawab mengkebumikan jenazah dan membuka ikatan kafan diwajahnya. Bagaimana mungkin saya melelapkan mata malam ini tanpa linangan air mata?

Entahlah..saya sebenarnya tidak merangka apa yang patut saya coretkan di sini. Semata - mata ingin melepaskan rasa sedih dan pilu ini. Terimakasih kepada rakan - rakan yang menelefon, menghantar sms atau facebook yang memberi kata - kata semangat buat saya.

Arwah ayah (kanan) dan arwah kak long (kiri) ketika usai majlis konvo saya pada 2002

Mohsen Amdan berkata : Help me see myself cause I can no longer tell
Looking out from the inside of the bottom of a well

Program Persediaan Ke Alam Baru - Politeknik Merlimau



17hb Oktober 2009
Tanjung Bidara Melaka

Salam
Saya telah diundang oleh Politeknik Merlimau bagi memberikan ceramah berkaitan persediaan pelajar tahun akhir jurusan akaun. Program ini berlangsung di sebuah resort di Tanjung Bidara Melaka yang membabitkan 40 pelajar. Pelajar - pelajar ini diberitakan yang terpilih sahaja berdasarkan pencapaian cemerlang mereka. Tahniah diucapkan kerana terpilih!

Sesi bengkel ekspresi wajah semasa temuduga - muka kena nampak yakin

Secara peribadi, program yang hanya berlangsung kira - kira 3 jam ini tidak mencukupi buat saya kerana rasanya banyak perkara yang perlu saya kongsikan dengan mereka. Maklumlah, mereka ini bakal menempuh alam baru maka banyak yang perlu dipelajari. Tambahan, orang meningkat usia macam saya ni memang suka bercerita (hheheh).

Nak masuk alam kerjaya tak boleh malu - malu dik...

Seronok dapat bersama mereka walaupun ruang kuliah agak kecil namun saya percaya sedikit sebanyak peserta program ini mendapat banyak input baru terutama dari sudut cabaran yang menanti diluar sana. Saya doakan mereka ini akan berjaya meredah gelombang besar yang bakal menanti darah muda ini. Adios!

Mohsen Amdan berkata : Untung pelajar kini kerana menerima pendedahan langsung sebelum tamat pengajian berbanding zaman saya yang segalanya redah saja!

Defisit?

KERAJAAN MUNGKIN TANGGUNG KOS KERUGIAN RM1.14 BILION PROJEK LANDASAN BERKEMBAR ELETERIK -bernama

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan besar kemungkinan terpaksa menanggung sebahagian RM1.14 bilion kos kerugian, dianggarkan bagi projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh, yang tidak diuruskan dengan baik.
Pengauditan yang dijalankan antara Ogos 2008 hingga Jan 2009 mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu seperti kelewatan projek disiapkan menyebabkan kos projek meningkat, peralatan dibeli melebihi keperluan serta perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur menyebabkan infrastruktur yang dibangunkan tidak dapat digunakan sepenuhnya sebaik sahaja ia disiapkan.

"Projek ini tidak diuruskan dengan baik menyebabkan objektif pelaksanaannya tidak dapat dicapai seperti mana yang dirancang," menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang diedarkan di sini.

Mohsen Amdan berkata: Susah sangatkah untuk rakyat memahami yang mereka ini diperkotak katik oleh pemimpin tamak haloba ini?

Managing Time & Multiple Priorities


Bincang - bincang
Salam
13 - 14 Oktober 2009
Tingkat 18 Bangunan MAS
Syarikat Perumahan Negara Berhad

Saya dijemput lagi oleh Interaktif Jasa untuk mengendalikan kursus bagi pihak mereka. Syukur Alhamdulliallah perkhidmatan yang saya berikan memuaskan hati mereka barangkali. Harap - harap berpanjangan hendaknya hubungan ini.

Sekali lagi SPNB menjadi pelanggan saya. Program 2 hari ini merupakan program latihan pertama saya dan mereka selepas sambutan Aidilfitri. Maka, mood hari raya masih ada kerana ada beberapa peserta yang terpaksa meninggalkan program seketika untuk jamuan hari raya.

Syukur kerana program berjalan lancar, penyertaan aktif peserta turut membantu kelancaran program ini. Cuma Microsoft Office 2008 nampaknya agak lembap pada IBook saya.

Salah seorang peserta program ini merupakan junior saya di UIA dulu. Saya tak cam beliau pada mulanya namun selepas sembang - sembang rupanya beliau merupakan bekas pemain bolasepak UIA dan rakan kepada kebanyakan kenalan saya. Hebat Shahril dijawatan eksekutif jualan SPNB. Tahniah juga kerana isteri beliau telah pun diluluskan pertukaran ke JB.

Aik..kerusi pun ada?

Dipaparkan beberapa gambar dari program berkenaan

Pembentangan dari wakil kumpulan

Apa pulak yang dicarinya?

Mohsen Amdan berkata: Masa tidak boleh ditadbir, tetapi hanya boleh diurus

Bengkel Psikologi Cemburu & Iri Hati

Salam.
Prof Madya Mohd Makzan Muza merupak orang yang bertanggungjawab membawa saya ke bidang psikologi. Kenalan rapat arwah abang saya ini banyak memberi inspirasi kepada saya sejak saya di alam remaja. Kini beliau mengorak langkah membawa revolusi psikologi dengan menganjurkan Bengkel Psikologi Cemburu & Irihati pada 27 dan 28 Oktober ini. Berikut adalah maklumat program berkenaan
Kerap kali kita mendengar malah ada yang pernah berdepan dengan isu cemburu dan irihati dalam kehidupan seharian khususnya dalam kehidupan berumahtangga dan berkeluarga. Kedua-dua isu cemburu dan irihati dalam realiti kehidupan mempengaruhi kesejahteraan diri.

Disebabkan cemburu muncul tindakan-tindakan di luar pertimbangan kewarasan akal dalam perhubungan suami isteri atau di kalangan pasangan bercinta dalam bentuk penderaan lisan, fizikal dan mental. Jika cemburu tidak dikendalikan, diurus hingga berlarutan dalam suatu jangkamasa ia boleh menjadikan kehidupan berumahtangga dan berkeluarga tidak tenteram jauh sekali harmoni dan di tahap yang melampau boleh berakhir dengan tragedi.

Dan dalam interaksi sosial, perhubungan sosial menjadi tengang hingga terjejas silaturahim gara-gara isu irihati yang tidak dapat dibendung. Akibat irihati, ramai yang tidak tenteram jauh sekali aman damai. Irihati membelenggu, menghadkan diri untuk melangkah ke hadapan dalam usaha untuk mempertingkatkan ketrampilan, kebolehan, kelebihan malah kekuatan diri dalam kehidupan peribadi mahupun profesional.

Memandangkan isu cemburu dan irihati merupakan antara permasalahan psikologikal kehidupan wajar sekali kedua-kedua isu cemburu dan irihati diketengahkan dalam suasana pertukaran dan perkongsian maklumat. Menerusi bengkel cemburu dan irihati yang julung-julung kali diadakan di Malaysia ini, ia dapat membantu mengenal, memahami aspek-aspek psikologikal cemburu dan irihati yang kerap membelenggu diri. Oleh itu Psychology Learning Training menjemput anda untuk menghadiri satu-satunya bengkel unik ini.

OBJEKTIF BENGKEL

1. Mengupas isu psikologi cemburu dan irihati dalam konteks perhubungan interpersonal.
2. Memahami pengaruh-pengaruh psikologikal cemburu dan irihati.
3. Memberi kefahaman bahawa cemburu dan irihati adalah dua isu yang berbeza.
4. Teknik mengurus dan mengendalikan cemburu dan irihati bagi kesejahteraan kehidupan

FASILITATOR BENGKEL

Psychology Learning Training menjemput Prof. Madya Mohd Makzan Musa dari Jabatan Psikologi & Kaunseling, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia sebagai fasilitator bengkel ini. Beliau mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Psikologi) dengan kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Masters of Arts (Psychology) dari Universiti of San Diego, California, Amerika Syarikat. Fasilitator jemputan mempunyai pengalaman 20 tahun mengajar, melakukan penyelidikan dan penyeliaan penyelidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi dan Psikologi Sosial. Beliau ada menerbitkan buku PSIKOLOGI SOSIAL terbitan Utusan Publications & Distributions di samping menulis artikel-artikel psikologi untuk beberapa majalah tempatan, perunding, penulis modul serta fasilitator Program PERMATA KASIH, KEIBUBAPAN ANAK REMAJA dan PARENTING @ WORK anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga. Topik cemburu dan irihati dalam bidang Psikologi Sosial adalah tumpuan penelitian beliau diperingkat pengajian Doktor Falsafah di samping penulisan dan perbentangan kertas kerja dalam dan luar negara. Sebelum berkhidmat dengan Universiti Utara Malaysia beliau pernah berkhidmat di Bahagian Rawatan & Pemulihan Dadah (kini Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dan Pegawai Bimbingan dan Nasihat ITM (kini UiTM) di kampus Segamat Johor
Yuran Penyertaan - RM400 (tidak termasuk penginapan)
Sila hubungi saya untuk maklumat lanjut
013-3889214

Persembahan Sepanjang Hari Raya


Mohsen & Kuartet Terancang
Salam
Lama saya tidak update blog ini..pelbagai perkara yang berlaku di antara waktu ini.
Seperti yang saya janjikan, saya akan menulis mengenai Mohsen & Kuartet Terancang.
Gabungan ini wujud apabila pelanggan saya, Dewina Group of Companies dan Lifestyle Sdn Bhd meminta saya menyediakan persembahan bagi jamuan hari raya mereka. Oleh kerana pada tahun yang lalu saya dan Dewangga Sakti telah membuat persembahan, makan tahun ini mereka mahukan kelainan. Sukar bagi saya menyediakan persembahan selain Dewangga Sakti kerana untuk 9 tahun, itulah satu - satunya kumpulan yang saya anggotai sehinggalah saya mengambil keputusan keluar dari kumpulan itu kerana sebab - sebab tersendiri.

Penat beb...

Pada mulanya saya mencadangkan kumpulan lama saya itu namun pelanggan mahukan sesuatu yang lain - tetapi saya mesti kekal sebagai pengacara. Saya cuba mendapatkan rakan - rakan dari kumpulan Hablur - band rock saya dahulu selepas Silent Majority namun tidak mendapat respon yang baik. Maka, saya terfikir untuk membentuk satu kumpulan baru bagi tujuan show; maka saya hubungi rakan - rakan lama dan takdir Ilahi - terbentuklah lineup yang sangat mengujakan saya ini.

Saya akan tulis mengenai band ini di http://lilcentevents.blogspot.com kemudian kerana saya agak kepenatan malam ini.

Saksikan beberapa gambar sekitar majlis yang telah berlangsung

Menyampaikan pelbagai lagu dengan line-up ad-hoc yang super duper mantap

Aksi sporting tetamu ketika game minum dari botol susu

Pertandingan makan biskut kering terpantas

Mohsen Amdan berkata: Jiwa Kacau

Aidilfitri 2009

Salam..
Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri pada semua..maklumlah di Malaysia ni raya sebulan..
Namun seolah - olah agak lambat saya menulis dalam blog ini kerana saya mengalami pelbagai perkara yang mengakibatkan tiada inspirasi unuk menulis..
Ketika saya menaip ini bukan kerana inspirasi itu datang tetapi lebih kepada terapi minda dan jiwa sendiri.
Mengulas pengalaman berhari raya yang lalu, pengalaman baru untuk saya nampaknya telah saya lalui. Saya beraya di Kulim, tidak Kampung Cheras Baru seperti yang dirancang. Raya ke - 2 saya membawa keluarga termasuk ibu mertua dan adik beradik ke Batu Feringgi. Kami menginap di sana semalaman. Seronok rasanya sekali sekala dapat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Pulang dari Penang, dinding mulut saya pecah dan bertukar keputihan. Doktor mengesahkan saya terkena jangkitan dan menyebabkan lemang dan ketupat hanya sekadar tatapan mata sahaja. Untuk menelan air liur sahaja sudah cukup memeritkan. Anak kecil saya juga diserang demam campak dan masih dalam kuarantin dirumah sehingga kini.
Kami pulang ke kota pada Ahad lalu, syukur jalan raya lancar. Sempat singgah ke rumah kakak saya di Tambun. Tak sangka anak - anak buah saya dah besar panjang..
Kini saya sedang sibuk menguruskan beberapa acara sempena sambutan Aidilfitri dan majlsi perkahwinan. Atas permintaan pelanggan, saya kini kembali semula menggenggam mikrofon dan menghiburkan mereka, Tetapi kali ini saya hadir dengan kumpulan baru - Mohsen dan Kuartet Terancang. Ahli muzik ini merupakan yang terbaik pernah saya bekerjasama selama saya menceburi dalam bidang ini. Sangat berbakat dan profesional. Nantikan update saya mengenai projek ini.
Semalam saya dikejutkan dengan kakak sulung saya kini kembali ke wad. Dia pernah di bedah beberapa kali sebelum ini, bermula dengan kanser rahim beberapa tahun dahulu, ia merebak ke perut dan kini dia sudah tidak memiliki rahim dan perut. Namun ia tidak berhenti setakat itu, kansernya mula merebak ke pankreas dan kini di peringkat ke 4. Saya sangat sedih melihat keadaannya yang sangat sakit dan mendoakan agar Allah melindungi nya.

Mohsen Amdan berkata: Allah menguji manusia berdasarkan tahap imannya. Semakin beriman seseorang semakin besar dugaannya. Sebab itu ramai orang yang kuat agama sering diuji dengan perkara berkaitan keluarga seperti anak - anaknya yang mempunyai masalah akhlak, perceraian dan sebagainya