Total Pageviews

Anugerah Belia Negara 2010 Wilayah Persekutuan

20hb Jun 2010
Kompleks Sukan Kampung Pandan


Salam
20hb Jun 2010 merupakan sambutan Hari Bapa dan saya teruja menyambutnya kerana ketika saya pulang dari pasaraya di waktu pagi, anak sulung saya menyambut saya dengan satu kertas A4 yang tertulis "Happy Father's Day". Walaupun tiada sambutan khusus dibuat oleh kami sekeluarga namun ia sangat bermakna kerana hari itu juga merupakan hari penyampaian Anugerah Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan. Saya tercalon bagi kategori Kemahiran dan Inovasi kali ini. Saya tidak meletak apa - apa harapan memandangkan pencapaian saya tidaklah seberapa.

Beberapa hari sebelum ini, Kak Nurul - kakitangan Jabatan Belia & Sukan Bukit Bintang menghantar satu sms kepada saya yang tertulis 'Tahniah'. Saya membalas sms itu bertanya..'Tahniah apa kak?'. Dia membalas..'sori silap hantar'. Saya tidak berani memikirkan lebih jauh dari itu sebab nanti syok sendiri pula.

Ahli MBM membaca ikrar

Saya tiba di majlis yang dihadiri oleh Menteri Pemabngunan Wilayah iaitu YB Senator Raja Nong Chik ini lebih kurang jam 2.15 petang. Saya hanya berseluar jeans, berkemeja dan membawa kamera kerana bercadang untuk duduk di meja belakang dan hanya menyamar menjadi jurugambar. Helah saya berkesan kerana apabila tiba dikaunter pendaftaran, urusetia terus menyapa saya "Dari suratkhabar mana ya?" hahahaha BERJAYA!!! Kebetulan Kak Nurul ada di situ dan dia terus mencelah.."Eh..dia bukan wartawan la..dia dalam senarai penerima"

Antara persembahan semasa majlis

Gulllpppppp.."PENERIMA"?? Apa maksudnya ini? Saya terus bertanya pada Kak Nurul..balasnya "Naik ajelah tingkat satu"

Saya terus ke lif dan setiba di muka pintu dewan..saya disambut bagai VIP..saya jadi serba salah sebab berpakaian terlalu kasual. Saya di bawa kemeja calon - calon penerima anugerah sambil diucap tahniah oleh beberapa kakitangan JBS. Saya duduk di meja tepi sambil termanggu - manggu tak tahu nak buat apa kerana saya perhatikan keliling, tiada siapa yang saya kenal kerana kebanyakan mereka beruniform - Majlis Belia Malaysia.

Selang beberapa ketika, saya berbual - bual dengan calon dari MAYC dan En. Faizal  -orang kuat MBM Wilayah menghampiri saya dan berbisik "Ada bawak beg tak?" saya kata tiada..
"Kalau camtu pegi duduk meja depan..tu meja untuk penerima Anugerah"
Saya bingung lagi - adakah saya diminta duduk disitu untuk memenuhkan meja atau....

Piala yang diberikan kepada pemenang

"Diumumkan ketibaan Menteri...."
Saya hanya mampu memerhati sekeliling..kelihatan Pn Hatipah iaitu Pengarah JBSKL mengiringi menteri.
Ada sms masuk lagi - "Tahniah tuan!" - pengirim kali ini ialah En. Sazali - Pegawai KBS unit sukan.

Hati mula berbunga - bunga. Ketika diumumkan nama saya sebagai pemenang, tidak ramai yang bertepuk sorak kerana saya kurang dikenali dikalangan ahli MBM - ini kerana pemenang kategori lain semuanya ahli MBM Wilayah. Saya berjalan perlahan ke pentas mengambil hadiah. Sijil, wang, piala dan sebuah telefon bimbit menjadi milik saya.
Syukur....


Anugerah ini merupakan satu rangsangan besar untuk saya meningkatkan usaha merancang, melaksana dan membantu program - program belia dengan lebih baik lagi. Moga Allah memudahkan urusan saya dan rakan - rakan yang mengenali saya atau pembaca blog ini sudi menyertai saya dalam pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan pada masa akan datang InsyaAllah


Mohsen Amdan berkata: Terimakasih kepada isteri, keluarga dan sahabat handai yang menyokong usaha saya selama ini

Parenting @ Work - Keluarga @ Kerja

19 Jun 2010
Kompleks Penyayang
Bandar Indera Mahkota Pahang


Salam
Saya dijemput oleh MAPIM Negeri Pahang menerusi Kak Wan bagi mengendalikan program Parenting @ Work di sana. Saya dimaklumkan yang ini merupakan  kali pertama program ini diadakan dinegeri Pahang.
Seramai 80 orang dijangka hadir dan saya tiba di Kuantan sehari awal kerana kebetulan membawa keluarga saya bercuti di Bukit Gambang Water Park.

Kak Wan yang juga merupakan orang kuat Institut Latihan KEMAS Pahang

Hati saya agak berdebar kerana ini merupakan kali pertama saya mengendalikan program di bawah lesen LPPKN ini walaupun saya turut mengubah beberapa isi kandungan modul sedia ada bagi menyesuaikan dengan teknik penyampaian saya. Setiba di Kompleks Penyayang pada jam 8 pagi, saya mula perhatikan peserta tiba dan boleh dikatakan hanya separuh sahaja yang datang berpasangan - suami isteri.

Peserta yang terpilih sebagai model

Sesi awal dimulakan oleh Kak Wan dengan Modul Mengenal Fitrah. Saya mula mengambil alih selepas itu dengan modul 1 Badan Banyak Topi. Kak Wan mengambil alih kemudiannya dan sesi saya bermula semula pada jam 2.30 petang dengan modul Kebapaan dan Keibuan. Program tamat pada jam 5.30 petang dan majlis penutup dirasmikan oleh YDP MAPIM Pahang sendiri. Saya terpaksa bergegas pulang pada jam 6 kerana ada urusan pada malamnya di Kuala Lumpur. 

VIP bagi majlis penutup - YDP MAPIM Pahang ditengah

Secara keseluruhan, program ini berjalan seperti yang dirancangkan walal0upun kami sendiri perlu melalui kesemua modul dalam tempoh 2 hari setengah berbanding program ini yang hanya 1 hari sahaja. Peserta memberikan komitmen yang baik walaupun keadaan dewan yang sedikit berbahang. Terdapat juga beberapa peserta yang sudah agak tua tetapi masih memberikan fokus yang baik. 

Pakcik ini juga aktif sepanjang sesi

Mohsen Amdan berkata: Syabas kepada MAPIM Pahang yang berjaya menganjurkan program dengan begitu lancar sekali.

Lebih gambar di facebook saya

Anugerah Allah dan Anugerah Belia Negara

Bergambar di El-Arish Mesir ketika mewakili delegasi Malaysia yang di hantar oleh Kementerian Belia & Sukan satu ketika dahulu

Salam
Pertama - tamanya syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izinnya, isteri saya mengandung anak ketiga kami. Perkara ini baru disahkan 2 hari yang lalu oleh doktor dan sememangnya ia adalah berita gembira buat kami sekeluarga. Berita gembira ini ditambah lagi dengan pengesahan berita mengandung oleh biras saya yang baru melangsungkan perkahwinan sebulan yang lalu. Syukur..gembira ibu mertua saya menerima 2 berita ini. Mengandung dan kelahiran adalah satu Anugerah Ilahi yang sangat besar kerana ianya bukanlah sesuatu yang dapat dinikmati oleh semua orang.

Anak sulung saya - NurBatrisya Wafa ketika mendengar perkara ini seolah tidak percaya malah memberi respon sebegini kepada bondanya
"Ummi makan banyak sangat kot..sebab tu perut Ummi besar"

Ahad ini pula bertempat di Kompleks Sukan Kampung Pandan akan berlangsung majlis Anugerah Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan. Saya telah dihubungi tadi untuk menghantarkan beberapa keping gambar bagi tujuan slide show. Saya tidak pasti tujuan slide show itu untuk calon - calon atau pemenangnya. Saya tercalon kategori Kreativiti dan Inovasi.
Ini adalah Anugerah Manusia kepada Manusia - sesuatu yang amat kecil berbanding anugerah Ilahi. Namun, sebagai manusia kita juga perlu menghargai pemberian, hadiah, anugerah atau apa saja yang bermanfaat dari manusia yang lain. Ini membantu kita untuk menjadi insan yang lebih bersyukur dengan setiap kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kita.

Mohsen Amdan berkata: Kita selalu terlepas pandang anugerah Allah..Astagfirullahal Azim

Majlis Perkahwinan Pasangan Kurang Pendengaran

Akad Nikah yang dibantu oleh jurubahasa (bertudung biru)

Salam.
Ditakdirkan dalam keluarga saya, 2 orang dari anak buah saya mengalami masalah kurang pendengaran. Jamil yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya pada Sabtu yang lalu adalah anak buah saya yang ke - 3 dari hampir 30 anak buah yang saya miliki, merupakan anak kepada Allahyarhamah Kak Long saya merupakan salah seorang darinya. Jodohnya juga seorang yang juga mengalami masalah pendengaran yang berasal dari Tumpat Kelantan. Saya mengiringi pengantin ini ke majlis mereka dengan persoalan, bagaimana agaknya majlis akad nikah mereka. Bagaimana pula proses ijab dan kabul memandangkan Jamil juga bisu. 

Majlis berlangsung pada jam 11 pagi di mana mereka diijabkan di Masjid As-Salam Tumpat. Saya diminta menjadi wakil bagi pertunangan mereka sebelum akad nikah mereka berlangsung. Seorang penterjemah bahasa isyarat disediakan bagi memudahkan proses ini.

Jamil "membaca" lafaz Taklik dengan bahasa isyarat

Bermula dengan khutbah nikah, setiap baris bacaan jurunikah diterjemahkan oleh penterjemah untuk Jamil. Usai khutbah, jurunikah mula berjabat tangan dengan Jamil dan mula melafazkan bait - bait pernikahan. Selepas sahaja perkataan "Tunai", saya bertanggungjawab untuk menepuk peha Jamil sebagai isyarat jurunikah telah selesai dengan lafaznya dan Jamil perlu mengangguk tanda terima. Syukur begitu mudah sekali proses pernikahan orang seperti mereka. Seperti pasangan lain, mereka juga diraikan dalam majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan namun satu persoalan besar bermain dibenak saya - Bagaimana pula cabaran mereka apabila dikurniakan cahaya mata kelak? Bagaimana mereka mengetahui anaknya menangis ketika nyenyak tidur diwaktu malam? Bagaimana mengajar anak mereka berkomunikasi? 

Mohsen Amdan berkata: Nikmat yang dikurniakan Allah wajib disyukuri dan diguna sebaiknya

Kerja Berpasukan bersama PERWAJA Steel

Salam
25 - 27 Mei 2010
Rompin Beach Resort

Tarian Haka versi mereka meraikan jaringan

Dijemput oleh ZiqZul Corporation bagi membantu sahabat mereka En. Wan Arman dari De Marque Consultancy mengendalikan program teambuilding di Rompin sangat mengujakan saya. Kali terakhir saya ke Rompin ialah ketika mengendalikan program Keibubapaan dan Motivasi Pelajar pada tahun 2005 bersama ANSARA ketika itu. Kali ini, pelanggan ialah sebuah syarikat yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu PERWAJA Steel Sdn. Bhd. Subuh lagi Saifudin telah menjemput saya di rumah dan kami ke Rompin dengan Hilux ZiqZul dan tiba jam 12 tengahari.

Kumpulan ini menghasilkan terompah jenama baru..bukan Croc tapi Kerop

Kira - kira jam 3 petang, kami mula memasuki dewan dan kelihatan lelaki - lelaki yang berwajah serius serta lelaki - lelaki muda dan realitinya semua lelaki - tiada peserta wanita kali ini. Perkara pertama yang datang kepada saya ketika memerhati keadaan ini ialah - Yes..let's get physical!!!

Make - up sikit sebelum pergi perang!!!!

Sesi awal program ini dikendalikan sendiri oleh Training Manager PERWAJA - Haji Nazri yang pengalaman kerjanya di PERWAJA adalah seusia dengan PERWAJA itu sendiri. Walaupun agak berusia tetapi susuknya masih tegap dan sihat. Usai sesi ice - breaking mereka, saya mula mengambil alih mikrofon dan menjalankan program.

Ni apa punya stail serangan daaa??

Program ini lebih menjurus kepada pengukuhan kerja berpasukan di antara jurutera - jurutera muda yang baru berkhidmat dengan PERWAJA dan kakitangan senior dan juga berada di dalam kesatuan sekerja. Saya dibantu oleh Saifudin untuk aktiviti out-door dan segalanya berjalan lancar dengan hanya pada hari terakhir hujan lebat turun mengiringi majlis penutup.

Peserta perlu memasak sendiri untuk makan tengahari sebagai
salah satu aktiviti kerja berpasukan

Mohsen Amdan berkata: Akhirnya dapat juga dengar cerita mengenai Eric Chia dari orang PERWAJA sendiri

Lebih gambar di facebook saya