Total Pageviews

Penggunaan Tenaga Nuklear - Dilema Malaysia

Dengan kejadian bencana terkini yang menimpa Jepun, saya percaya tahap kesedaran rakyat mengenai nuklear semakin meningkat. Sebelum ini barangkali ramai yang tidak sedar akan kewujudan MINT, tetapi nampaknya MINT semakin terkenal. - Malaysia Institute of Nuclear Technology di Bangi merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengenai nuklear di negara kita.


Apabila saya bertanyakan kepada ramai orang mengenai nuklear bagi menguji persepsi mereka, sangat sedikit sekali yang memberi maklumbalas dengan mengaitkan nuklear memberi kebaikan kepada kita. Malah ramai saja yang dengan pantas menolak tenaga ini dengan pelbagai alasan yang mengaitkan nuklear dengan bencana, radiasi, senjata dan macam - macam lagi.

Khabarnya Malaysia bakal melaksanakan usaha menghasil dan menggunakan tenaga nuklear ini bermula 2015 - kira - kira 4 tahun dari sekarang. Arang batu yang digunapakai bagi menjana eletrik selama ini selain kaedah hidro tidak mampu menjanjikan kita dengan bekalan yang mencukupi lagi. Australia yang merupakan antara pembekal utama arang batu ke negara kita sudah pun hampir tamat kontrak bekalannya. Malah isu Bakun yang tak kunjung selesai juga menambah buruk masalah bekalan tenaga di negara ini.


Adakah saya tidak bersetuju dengan penggunaan nuklear sebagai penjana tenaga? Saya terpaksa bersetuju atas dasar memahami bahan api fosil yang semakin merosot jumlahnya. Namun, saya sangat merasakan yang Malaysia masih tidak bersedia. Kenapa saya berkata demikian? 

1. Sindrom projek Gajah Putih di negara ini bukan perkara baru. Kelemahan urustadbir yang sangat ketara dalam pelbagai peringkat pengurusan sangat menakutkan saya untuk membiarkan risiko nuklear diuruskan oleh mereka yang sudah terkenal dengan kelemahan urustadbir

2. Kekurangan tenaga pakar, tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam bidang ini mestilah diakui. Ini kerana hanya MINT sahaja yang diketahui menguasai perkara ini. Tiada mana - mana universiti di negara ini yang kelihatan menonjol dalam ilmu nuklear. Malah, dengan tiada satu pun universiti di Malaysia tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia lebih memburukkan keadaan.

3. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, di mana tenaga kerja yang saya nyatakan di atas akan dilatih? TNB yang mengepalai projek ini juga pun baru sahaja menghantar kakitangan mereka berkursus mengenai perkara ini. Malah, kredibiliti TNB juga tidaklah begitu membanggakan.

4. Francis Yeoh - pemilik YTL iaitu salah satu konglomerat negara yang menjadi pemain industri tenaga ini sendiri pun menolak penggunaan nuklear ini atas alasan yang sama dengan apa yang saya fikirkan iaitu - Sisa buangan toksik nuklear ini, kemana akan dibuang? Siapa yang mengendalikannya? Sedangkan sistem sungai yang ada di negara ini pun tak dapat ditangani, inikan pula mahu menguruskan sisa nuklear?

Bukan saya tidak percaya kepada kemampuan negara kita. Saya tahu kita hebat, Malaysia Boleh! (huuhuhhu) Tetapi saya sangat yakin yang perkara di atas masih belum memiliki jawapan yang meyakinkan buat kita semua.

Apa pandangan anda?

Tsunami di Jepun - Kesan kepada Malaysia dan dunia

Ketika saya masih aktif dalam dunia muzik Underground satu ketika dulu, band saya iaitu Silent Majority pernah sepentas dengan sebuah band Grindcore yang agak terkenal dari Jepun - Damage Digital. Kumpulan ini sering mengadakan persembahan di gig - gig serata Asia dan mereka memiliki ramai peminat. Sepentas dengan mereka sangat mengujakan pada ketika itu kerana jumlah penonton yang ramai bersesak di bawah Dataran Merdeka. Itu merupakan bentuk perhubungan pertama saya dengan rakyat Jepun selain menggunakan pelbagai produk buatan Jepun ; Toyota, Honda, Nissan dan sebagainya.


Damage Digital


Ketika di universiti saya juga ada seorang kenalan warga Jepun ; Usman Takuro Kobayashi kalau betul tulisan saya mengenainya. Lucu orangnya dan sering menjadi rujukan kami kiranya bercerita mengenai Jepun.

Kini, Jepun menghadapi bencana yang amat dasyat dan diluar persediaan mereka menghadapi bencana. Seringkali kita menonton persediaan pasukan penyelamat Jepun melakukan latihan menghadapi gempa bumi dan taufan. Malah mereka juga mempunyai sistem amaran, perlindungan dan segala macam lagi yang membolehkan mereka meminimumkan kesan bencana. Namun Allah SWT lebih berkuasa.

Selepas perang dunia kedua, Jepun merupakan pelabur terbesar di Malaysia sehingga hari ini. Walaupun saban tahun kita disajikan dengan pelbagai filem mengenai 'Kejayaan' menghalau tentera Jepun, kita sebenarnya masih sangat bergantung kepada mereka. Buktinya, Proton baru sahaja menandatangani perjanjian dengan Nissan. Maka, apakah natijah bencana ini kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada Jepun?

Bank Negara Jepun sudah pun mengumumkan bahawa mereka akan menyuntik sejumlah wang yang sangat besar dalam sejarahnya - 15 trilion Yen bagi membantu ekonomi, pemulihan selepas bencana dan pembinaan semula negara itu. 

Selain Malaysia, negara - negara lain turut menerima tempiasnya. Mujur banyak kilang - kilang milik Jepun yang membekalkan pelbagai benda berada di negara lain seperti Thailand, Vietnam, Laos dan sebagainya. Namun, kejatuhan lebih 5 mata pasaran saham Jepun memerlukan kekuatan besar bagi mengimbangi senario global.

Saya tidak mahu menyentuh isu Fizz Fairuz atau Zoy yang melukis karikatur mengenai bencana yang menimpa ini. Saya tahu bukan Fizz Fairuz seorang sahaja yang menyebut mengenai Ultraman tidak membantu Jepun tetapi, ini adalah kesan apabila kita kurang sensitif dengan apa yang berlaku. Sekiranya rakyat sedar yang kita sangat bergantung pada Jepun sebenarnya, saya rasa kita tak mungkin tergamak mengeluarkan apa - apa pernyataan sedemkian.

Reaktor nuklear yang meletup pula memburukkan keadaan. Negara maju dan sangat berdisplin dalam perkara berkaitan penyelenggaraan pun menghadapi kesan nuklear, inikan pula Malaysia yang sangat terkenal dengan kelemahan penyelenggaraannya. Sedangkan tandas pun kita gagal selenggara, inikan pula loji nuklear?

Sekiranya saya seorang pemuzik sepenuh masa...

Semua orang pastinya memiliki impian untuk menjadi seseorang yang lain; sama ada mencapai kejayaan yang pernah dikecapi oleh seseorang tokoh itu, memiliki keazaman dan semangat seperti orang itu dan juga sebagainya. Sebagai muslim pastinya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W menjadi rujukan, idola, contoh terbaik dan model terhebat yang paling kita cintai.

Saya ingin berkongsi rasa mengenai andainya saya menjadi pemuzik sepenuh masa, saya mahu jadi seperti siapa ya? Ada 2 nama yang sejak dahulu melekat dihati - Eddie Vedder dari Pearl Jam dan Chris Cornell dari Soundgarden. Kenapa ya?

Masing - masing memiliki citarasa sendiri dalam muzik. Saya sendiri semasa terlalu fokus dengan muzik Underground menolak tepi hampir semua genre kerana proses sosialisasi. Cukup saya benci ketika itu ialah dangdut. Malangnya - saya dan Zoy (Dewangga Sakti) pernah menulis satu lagu dangdut ketika kami di Taiwan dan pernah mempersembahkannya di UIAM satu ketika dahulu.

Berbalik kepada dua tokoh ini. Kedua - dua mereka datang dari Seattle, yang mana pada usia muda saya Seattle Sound merupakan satu cap dagang muzik COOL ketika itu. Walaupun persaingan dari dunia Metal juga hebat ketika itu tetapi wabak ALTERNATIVE ketika itu cukup kuat. Dan walaupun tumpuan ketika itu lebih terarah kepda Kurt Cobain dan Nirvana - terutamanya setelah dia mati, saya lebih tertarik dengan dua susuk ini.

Eddie Vedder memiliki lontaran vokal yang cukup jujur pada hemat saya. Suaranya yang asli dan tidak dibuat - buat. Cukup terasa kesan vokalnya terutama lagu - lagu mellow dengan diiringi lirik tulisannya sendiri yang cukup halus. Malah, ketika Allahyarham kakak saya meninggal, bait - bait lagu tulisan Eddie Vedder bermain difikiran selain bacaan ayat suci Al - quran pastinya.

Eddie Vedder dengan mandolinnya

Chris Cornell juga memiliki ciri yang hampir sama dengan Eddie pada hemat saya. Dari segi vokal, Chris Cornell memiliki tone yang lunak dalam nada rendah dan apabila dia mula menjerit atau menggunakan tone yang lebih tinggi, ia cukup mengesankan bagi saya. Chris Cornell juga dianugerahkan dengan kebolehan menulis lirik yang baik. Berbeza dengan Eddie, Chris lebih bersifat metaforik dan berkias.

Chris Cornell - saya ada sebuah gitar yang rupanya hampir sama seperti di atas.

Kenapa saya ingin menjadi seperti mereka? Pertama kebolehan menulis lagu yang mengesankan jiwa seta penulisan lirik yang indah dan mendalam. Saya suka perkara - perkara ini malah pernah mencuba pun. Malangnya saya belum mampu menjadi seperti mereka...

Sukaneka bersama warga emas di Seksyen 24 Shah Alam

5 Mac 2011
Saya bersama Luqman, Zamzuri dan pelajar - pelajar UITM Shah Alam sekali lagi bersama warga emas di Seksyen 24 Shah Alam dalam program Gaya Hidup Sihat. Program kali ini lebih bersifat sukaneka dan pelajar UITM diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ini sepenuhnya. Saya lebih banyak bertindak sebagai pengacara dan penghibur nampaknya kali ini. Luqman pula lebih banyak memainkan peranan sebagai tukang catat. Saya tidak mahu mengulas panjang...saya mahu anda saksikan sendiri video gelagat warga emas yang sangat cool dan sporting ini.







Isu semasa; Kemelesetan ekonomi, kenaikan harga dan situasi politik.

Satu persatu kenyataan dari ahli politik negara mengenai keadaan ekonomi Malaysia, kenaikan harga barang dan inflasi memeningkan kepala kita. Dalam dunia pembaca dan pendengar semakin terbuka kepada pelbagai sumber, pemimpin - pemimpin politik seolah - olah menyangka yang rakyat begitu mudah menelan apa saja yang diluahkan. 



Kemenangan di PRK Kerdau dan Merlimau oleh BN bagi saya bukanlah satu terjemahan bahawa segalanya dalam keadaan baik dan dalam kawalan, tetapi lebih kepada rakyat yang tidak mempunyai pilihan serta keliru dengan apa yang sepatutnya dilakukan.

Dengan situasi di Asia Barat yang lebih kepada revolusi dari reformasi, rakyat Malaysia juga pada hemat saya menginginkan perubahan. Lihat saja komen dan kritikan rakyat mengenai pembayaran saman baru - baru ini. Tiada seorang pun yang setakat ini saya jumpa dan berbual mengenainya berfikiran bahawa pembayaran saman dan saman ekor ini perkara baik. Ya..saya setuju bahawa siapa yang bersalah harus dihukum. Tetapi adakah saman ekor jalannya?



Harga barang semakin mahal dan justifikasi pemimpin ianya bersifat global - ya..sekali lagi saya setuju. Tetapi kenaikan bukan berita yang ingin rakyat dengari ketika ini. Bukan juga pengumuman pembelian senjata baru oleh Angkatan Tentera Malaysia dan mempamerkannya pula. Apa yang ingin rakyat tahu ialah, apa langkah menyelesaikan masalah ini.

Pembaca sekalian, sedarkah kita bahawa harga makanan yang kita bayar hari ini sebenarnya lebih kepada kos pengangkutan makanan itu sampai kepada kita? Sepinggan makanan memerlukan pelbagai perbelanjaan pengangkutan sebelum tiba di meja kita. Dari kebun sayur ke pasaraya. Kos ini dipengaruhi oleh harga minyak dunia. Maka apakah penyelesaiannya? Apa khabar polisi pertanian dan tanaman kita? Khabarnya gaji pekerja ladang akan diselaraskan. Persoalannya, mahukah anak tempatan bekerja di ladang? Adakah dengan pengambilan buruh asing penyelesaiannya? Mengapa negara seperti Taiwan, Jepun mahupun Korea Selatan hanya menggunakan tenaga tempatan untuk mengendalikan tanaman? Bagaimana mereka lakukan ini?


Subsidi di lihat sebagai jalan kerajaan mengimbangi perkara ini. Pada hemat saya ia harus diperhatikan dalam pelbagai sudut. Antaranya ialah subsidi sebagai mekanisme kawalan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Atas dasar ini, perhatikan kelompok yang bagaimana masih menyokong BN hari ini? Golongan mana pula yang lebih banyak menentang? Fikirkan bersama...





Kursus Komunikasi Berkesan - Bersama kakitangan Universiti Malaya

28 Februari 2011 dan 1 Mac 2011 saya telah diundang oleh HPI Consultants untuk mengendalikan kursus Komunikasi Berkesan untuk kakitangan sokongan Universiti Malaya. Sememangnya saya sangat teruja kerana kebanyakan peserta ini mengenali Allahyarhamah kakak saya iaitu Zaleha Amdan yang juga bekas kakitangan UM dan abang ipar saya yang baru sahaja menamatkan kontrak dengan UM. Lebih menceriakan kali ini ialah Man - kenalan dari Kampung Cheras Baru tempat asal saya juga menjadi peserta kali ini. Setelah tidak bertemu berbelas tahun akhirnya jumpa di dalam kursus. Man lebih kerap bertemu dengan bonda saya kerana isterinya mendapatkan khidmat urut selepas bersalin dengan bonda saya.

Membina reputasi dibawah 60 saat

Kursus yang dijalankan di UMMCED ini berjalan lancar walaupun perancangan saya terpaksa diubah. Ini kerana bilik seminar yanag agak kecil dan ruang aktiviti yang agak terbatas. Selain itu hasrat awal saya ialah ingin membawa peserta berkomunikasi dengan orang awam di sekitar lokasi tetapi kedudukan UMMCED ini yang agak terasing membuatkan cadangan saya terbantut.

Non - verbal vs persepsi

Manipulasi gesture dan posture

Hampir 40 orang peserta yang majoritinya kakitangan yang cukup berpengalaman bekerja di UM termasuk beberapa dikalangan mereka yang turut memiliki perniagaan sampingan. Sangat sporting dan menumpukan perhatian pada pembelajaran memudahkan saya mengendali program ini. 

Ni gambar siapa ni..cu cite..cu cite..

Kebanyakan elemen yang saya sentuh dalam program ini melibatkan Komunikasi Interpersonal. Maka role - play, perbincangan, pemerhatian serta kupasan dari video menjadi kaedah pembelajaran kami kali ini. Secara keseluruhan, saya berpuashati dengan perjalanan program yang turut dibantu oleh 2 pelajar praktikal dari UITM iaitu Imran dan Syed.

Merakam mimik muka peserta