Total Pageviews

Program Kepimpinan SK Saujana Impian 2011

Teks oleh Mohd Harmizi

Pada 28 April 2011 yang lalu, Mohsen Amdan Consultancy (M.A.C) Sdn Bhd telah diberi mandat untuk mengendalikan Program Pembimbing Rakan Sebaya dan Kepimpinan Pengawas. Program selama sehari itu telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang. Buat julung kalinya, M.A.C berhadapan dengan peserta Pembimbing Rakan Sebaya yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah. Walaubagaimanapun, perkara tersebut bukan halangan bagi M.A.C, malah cabaran membentuk sahsiah anak-anak kecil ini turut menjadi penanda aras kepada kebolehan dan kematangan M.A.C dalam menghadapi variasi peringkat umur.

Bergambar bersama barisan pengawas

Pembimbing Rakan Sebaya berwarna ungu

Program bermula pada jam 9.00 pagi. Ketua perunding, En. Mohsen Amdan memulakan slot pertama iaitu ‘Ice-breaking’. Para pelajar dikehendaki menulis 3 huruf yang mewakili diri mereka dari pelbagai aspek kehidupan sendiri. Seterusnya para pelajar harus memperkenalkan diri masing-masing diantara semua peserta. Pelbagai gelagat dan situasi yang timbul sewaktu slot ini dijalankan. Paling menarik perhatian pada slot tersebut apabila para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikehendaki mempersembahkan ‘Hakka’. Jelas sekali mereka sangat kreatif dan menunjukan sifat kepimpinan yang terbaik bilamana tugasan tersebut di akhiri dengan pantas dan persembahan yang amat bermutu.



Usai slot pertama, program berehat untuk makan tengahari dan solat Zuhur. Slot ke-2 yang mengambil tempat pada sesi petang adalah ‘Kopitiam SKSI’. Menerusi slot ini, para pelajar di dalam kumpulan masing-masing dikehendaki membincang kan isu dan permasalahan yang timbul di dalam badan Pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya. Mereka harus mengambil pendekatan terbuka dalam menerima dan member kritikan terhadap kekurangan yang timbul dan mengkaji punca segala permasalahan. Impak kepada slot ‘Kopitiam SKSI’ ini adalah keputusan yang dihasilkan selepas segala perbincangan diantara pelajar tersebut. Beberapa penyelesaian yang merupakan kunci kepada permasalahan telah dibuka oleh pelajar itu sendiri. Kini, mereka cuma perlu menerapkan nilai-nilai penyelesaian tersebut untuk meningkatkan kredibiliti Kepimpinan Pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya.




Seterusnya, slot ‘Time-Challenge’ yang sangat mengujakan para pelajar. Slot ini menguji kecekapan dan kepantasan individu untuk merealisasikanya. Walaubagaimanapun, persefahaman dan permuafakatan adalah ramuan kejayaan mereka. Menerusi slot ini, para pelajar dikehendaki mengakhiri cabaran mengira nombor mengikut turutan dalam masa yang paling pantas. Disini, para pelajar harus peka dengan keadaan sekeliling dan menumpukan sepenuh perhatian. Sebarang kesilapan, walau sedikit akan mengakibatkan kegagalan. Akhir sekali, slot ‘Explorace’ mengambil tempat. Melalui explorace, pelajar dibahagikan kepada beberapa checkpoint. Para pelajar harus menamatkan cabaran di satu-satu checkpoint dahulu sebelum bergerak ke checkpoint yang lain. Kumpulan yang mengakhiri cabaran paling pantas dikira sebagai pemenang.


Program Kepimpinan Pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Kebangsaan Saujana Impian ini berakhir pada jam 5.30 petang. Program ini dianggap Berjaya berdasarkan maklum balas pelajar yang sebahagian besarnya amat merasa impak program ini dan respon organisasi sekolah yang berpuas hati dengan kelancaran program yang diketuai En. Mohsen Amdan selaku Ketua Perunding. Terima kasih kepada para pelajar dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Saujana Impian yang terlibat yang menjayakan program ini dan semoga ada kelangsungan program akan datang.  


Jualan kereta sebagai penanda aras ekonomi?

Sejak kebelakangan ini saya kerap membeli majalah iklan yang memberikan tumpuan kepada jualan kenderaan - Motor  Trader dan On The Road. 2 majalah ini sangat menarik minat saya kerana mereka meraih keuntungan dari dua pihak - pengiklan dan pembaca.


Namun, saya mula melihat perubahan majalah  - majalah ini berbanding tahun - tahun yang sebelumnya. Kelihatan iklan menjual kenderaan mewah - Bentley, Ferrari, Lamborghini dan sebagainya sehinggalah ke MPV seperti Vellfire dan SUV seperti Hummer memenuhi lebih separuh dari keseluruhan helaian majalah itu. Segmen kereta '2nd Hand' atau terpakai nampaknya hanya mengambil suku sahaja dan selebihnya di isi ruangan aksesori kereta.

Satu persoalan besar bermain di fikiran saya - adakah kebanjiran kereta 'Reconditioned' ini menunjukkan permintaan tinggi dari pembeli? Sekiranya benar ini bermakna semakin ramai yang mampu membeli kereta yang rata - ratanya memiliki tanda harga melebihi RM130,000.00 Dengan kadar bunga pinjaman pembelian kenderaan kini, pembeli perlu membayar sekurang - kurangnya RM1,200.00 sebulan untuk kenderaan seperti harga di atas untuk pinjaman selama 108 bulan atau 9 tahun.

Jika kadar itu di ambil kira, adakah ini bermaksud kadar pendapatan rakyat kini sudah meningkat? Saban hari kita terdengar orang mengeluh kerana pendapatan yang semakin tidak mencukupi berbadning kos sara hidup. Namun dengan kebanjiran kenderaan mewah ini seolah - olah menunjukkan sebaliknya? Siapakah yang semakin kembung koceknya? Kakitangan kerajaan? Swasta? Ramai sangatkah peniaga atau usahawan yang stabil dan berjaya sehingga mampu membeli kereta mewah? Adakah ini sekadar senario 'Biar papa asal bergaya'?

Dengan kadar harga petrol dan diesel yang terus - terusan diselaras dan di rasionalisasi, kelihatan semakin banyak kenderaan berprestasi tinggi di jalan - jalan raya. Barangkali benar kata PM kita - keadaan ekonomi kita semakin pulih.

Mohsen Amdan Berkata : Khabarnya ada sebuah Bugatti Veyron baru dibeli oleh seorang tokoh perniagaan tersohor di negara ini - dan beliau adalah seorang Melayu!

Program Kecemerlangan Akademik - SMK Damansara Damai

Teks disediakan oleh Lukman Yusop
Bertarikh 6 Mei 2011 yang lalu, M.A.C Sdn Bhd sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan ‘Program Kecemerlangan” bertempat di Sekolah MenengahKebangsaan Damansara Damai 1. Program anjuran Yayasan Pelajaran Mara Realties (YPMR) ini dimulakandengan majlis perasmian oleh wakil YPMR iaitu En. Mohd Isa bin Che’ pada jam 10 pagi.
Majlis Perasmian oleh wakil YPMR, En Mohd Isa bin Che’

Seusai majlis perasmian, ketua perunding, En Mohsen memulakan slot pertama iaitu program ‘Ice-Breaking”. Dapat dilihat pelbagai kerenah dan situasi yang ditonjolkan oleh para pelajar sewaktu mereka diminta untuk bertegur sapa dan mengenalkan diri masing-masing.
Antara aksi para pelajar semasa sesi ‘Ice-Breaking’

Kemudiannya, para pelajar didedahkan dengan teknik komunikasi yang betul dan juga konsep kecemerlangan. Bukan berniat memesong pemahaman para pelajar, tetapi En Mohsen telah mencerapkan maksud yang lebih ‘afdal’ bagi konsep komunikasi dan kecemerlangan bagi seseorang pelajar. Para pelajar dibawa berfikir mengenai hala tuju dan matlamat yang lebih realistic untuk dicapai dengan bantuan cara berkomunikasi yang lebih baik. Mereka diajar tentang kepentingan dinamiknya sesebuah pemikiran dan sifat komunikasi untuk lebih berjaya.

Slot kedua ini nampaknya telah banyak memberi kesan kepada para pelajar di mana sepanjang program berlangsung, mereka mula mengikut rentak yang kami harapkan. Para pelajar mula melihat kepentingan kecemerlangan dan merancang hala tuju yang ingin digapai dalam kehidupan mereka. Ada antara mereka yang mula faham konsep perubahan yang M.A.C Sdn Bhd bawa iaitu 3M; Mulakan dengan diri sendiri, Mulakan sedikit-sedikit dan Mulakan sekarang.

Berebut limau nipis yang perlu diambil pada ‘checkpoint’ pertama

Slot terakhir mengambil tempat iaitu ‘Explorace Kecemerlangan’. Explorace ini dijana melalui beberapa cabaran yang harus diselesaikan oleh setiap pelajar. Melalui ‘Explorace’ ini, nilai kreativiti dan kerjasama para peserta dapat dilihat apabila mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan harus bersaing antara satu sama lain untuk merebut takhta ‘kumpulan cemerlang’.

Antara kumpulan yang berjaya menghabiskan cabaran dengan pantas

Sayangnya, program ini terpaksa kami akhiri pada jam 1 petang kerana tuntutan solat Jumaat dan juga jadual program yang direncanakan cuma sehingga jam 1 petang. Andai punya waktu yang lebih, kami berharap program ini dapat dilaksanakan sehingga ke waktu sore. Semangat untuk melihat anak bangsa berjaya begitu kuat namun kami terpaksa akur. Begitu jua para pelajar yang dari maklum balas yang kami perolehi, meminta seandainya boeh program ini dilaksanakan sehingga petang.
Semoga apa yang telah M.A.C Sdn Bhd sampaikan kepada para pelajar SMK Damansara Damai 1 akan terkesan dihati kecil mereka dan kecemerlangan kini menjadi matlamat utama mereka di dalam kehidupan.

Allahyarham Afrizal Ramlan - Hilang yang tidak terganti

Saya memiliki ramai rakan pelbagai peringkat usia, namun saya suka menyukat pencapaian diri ini dengan mereka yang hampir seusia saya. Salah seorang yang sering menjadi kayu pengukur saya ialah Allahyarham Afrizal Ramlan. Beliau baru saja menghembuskan nafas terakhir kira - kira 3 jam yang lalu (berdasarkan masa saya menulis entri ini).

Arwah bersama saya di Kolej Komuniti Selayang baru - baru ini. Inilah kali terakhir saya bertemu beliau. Facebook adalah medium terakhir saya berkomunikasi bersamanya

Beliau merupakan teman sebilik saya di UIAM sejak tahun pertama lagi kami di Gombak. Walaupun beliau mengambil jurusan Komunikasi dan saya Psikologi, namun kami sering memilih kelas yang sama sekiranya berpeluang terutama bagi subjek dalam Kulliyah yang sama iaitu Sains Kemanusiaan. Di pusat matrikulasi Lembah Pantai kami tidak rapat barangkali kerana latar berbeza. Beliau lebih elit berbanding saya yang hanya penghantar makanan Mc Donalds dan penggunting rambut saja. Malah beliau lebih menonjol kerana berada di antara pelajar yang mengenakan tali leher untuk ke kelas walaupun ianya bukan pakaian seragam kami ketika itu!

Mahallat Ali  - 5A G1 adalah nombor bilik kami. Selain saya dan Afrizal, Naeman Bestow adalah penghuni tetap bilik kami. Norman Ismail, Mohd Iqbar Othman dan Rudy Irwan ialah penghuni yang bertukar ganti di bilik kami ini. Terlalu banyak perkara suka duka yang terlintas di kepala saya ketika ini membabitkan kami semua. Dari kisah Liga Mulut Emas sehinggalah ke giliran beli lauk setiap hari, kenangan bersama arwah tidak dapat saya lupakan.

Pencapaian akademik beliau hebat, pencapaian kerjaya nya juga cemerlang sekali. Pada usia 33 tahun beliau telah pun mengecapi tangga kerjaya hebat di sektor kerajaan. Melanjutkan pengajiannya di UKM, dalam bidang sains politik, kajiannya menjurus kepada senario semasa politik Malaysia iaitu Isu Lompat Parti.

Saya dan beliau selain dari sebilik, kami juga bermain gamelan di UIAM. Beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Kelab Gamelan dan saya sering bertelagah dengannya mengenai halatuju gamelan sehingga tertubuhnya Dewangga Sakti! Ahhh mana mungkin saya melupakan semua itu. Perbalahan kami yang teruk sebenarnya telah mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kami. 

Pemikirannya kritis dan mendalam terhadap sesuatu perkara membuatkan buah fikirannya sering menjadi  perbualan. Suka mencari bukti hujahan, malah rajin membaca mengukuhkan lagi buah fikirannya. Tidak salah rasanya pilihan Datuk Shaziman Abu Mansur melantik beliau sebagai SUSK nya dahulu. 

Saya sering berkata padanya "Zal - aku sangat yakin salah seorang dari kawan - kawan aku yang bakal mendapat pangkat Datuk atas pencapaian hebat ialah kau!" Malangnya...hajat saya tidak kesampaian. 

Arwah membawa rakan - rakan Gilera nya untuk meraikan program saya di Berjaya Times Square satu ketika dahulu

Saya tidak tahu susunan tulisan saya kali ini. Saya hanya menulis mengikut hati yang sedih. Saya sangat sedih di atas pemergian sahabat baik saya ini. Dia sering menasihatkan saya dahulu supaya berhati - hati mengunggang motorsikal. Manakan tidak. Setiap kali kami duduk dengan orang lain, pastinya dia akan ceritakan pengalamannya membonceng bersama saya. Saya melakukan aksi 'corner baring' di Bulatan Pahang bersama dia dan dia akan berulang - ulang menceritakan pengalaman seramnya itu. Namun kali ni, motorsikal juga menjadi punca pemergiannya. Saya pasrah dengan ketentuan Allah, Allah lebih menyayanginya. 

Kepada rakan - rakan yang mengenalinya, mahupun peserta program Kerjaya yang pernah mengikuti ceramah beliau, 16hb Mei 2011 jenazahnya akan disemadikan di kampungnya  - Sesapan Kelubi Beranang lebih kurang pada jam 11 pagi. 

Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin, dedikasi pada tugasan bersemangat tinggi. Saya membayangkan beliau bakal memegang jawatan tinggi di negara ini berdasarkan kemampuannya. Namun, Allah lebih mengetahui....

Afrizal Ramlan - kaulah sahabat, kaulah teman, kaulah kawan...Semoga roh mu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang terpilih 

Kursus Kepimpinan Pengawas - SMK Darul Ehsan Selayang


Laporan oleh Mohd Harmizi

Pada 25 April 2011 yang lalu, Mohsen Amdan Consultancy (M.A.C) telah mengendalikan Kursus Kepimpinan Pengawas 2011. Kursus yang dijalankan dengan anjuran dan usaha sama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang. Kursus selama sehari itu disertai seramai 164 orang pengawas dari tingkatan 2 hingga 5. Kursus ini dikendalikan oleh Pakar Runding M.A.C, En. Mohsen Amdan dan dibantu oleh 3 orang fasilitator iaitu Mohd Lukman, Mohd Fikri dan Mohd Harmizi.


Program ini dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan ucapan dari Encik Zainal Bin Rashid, Pengurus Bahagian Pengurusan Program Yayasan Pelajaran Mara dan seterusnya dirasmikan oleh Datin Sharifah Salmah Syed Agil, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Gombak.


Sesi suai kenal atau ‘ice-breaking’, Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menunjukkan komitmen dan minat untuk menyertai program ini. Pada permulaan, pelajar diberi ruang untuk mengenali antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk meningkatkan keberanian mereka menyuarakan pandangan sesama mereka.Peserta telah diberi pendedahan mengenai konsep kepimpinan disekolah.Pecahan kumpulan dilakukan bagi memudahkan aktiviti yang akan diadakan sepanjang hari dan melihat kerjasama mereka dalam kumpulan.


Setelah sarapan pagi, program bersambung didahului dengan modul kepimpinan melalui tauladan. Pelajar telah dipertontonkan video ‘Hakka’. Melalui modul ini, para pelajar diuji tahap kepimpinan, kerjasama, kesefahaman dan kesepakatan di antara ahli kumpulan. .Setiap kumpulan telah ditugaskan untuk mempersembahkan ‘Hakka’ mereka dihadapan pelajar yang lain. Dapat dilihat mereka begitu kreatif dan setiap mereka menonjolkan kebolehan kepimpinan seperti memberi idea untuk beraksi dan melaksanakan keselarasan gerakan semasa persembahan. Modul ini bertujuan bagi memberi inspirasi kepada pelajar untuk meningkatkan keupayaan dalam kepimpinan. 


Ianya memberi mereka contoh pemimpin yang agresif dalam mempengaruhi orang lain. Perlunya semangat yang tinggi dalam memimpin kumpulan dan memberi inspirasi kepada orang lain dalam melakukan sesuatu. Ianya juga membantu dalam menunjukkan ketegasan dalam memimpin kumpulan.


Selepas waktu makan tengah hari dan solat Zohor, program diteruskan dengan Modul ke-2, ‘Kopitiam SMK Darul Ehsan’. Sesi ini berjalan sebanyak tiga pusingan bagi melihat dan menggerakkan mereka berfikir untuk memimpin dan menangani masalah yang dihadapi oleh badan pengawas sekolah.


Sesi 1 ‘Kopitiam’ ini dijalankan bertujuan untuk memberi penjenamaan semula pengawas di SMK Darul Ehsan. Di sini mereka terbuka menceritakan kelamahan dan kekurangan dalam badan pengawas. Pada Sesi 2, para pelajar perlu mengenal pasti masalah utama badan pengawas. Setiap kumpulan mengemukakan permasalahan yang paling utama mereka hadapi sepanjang menjadi pengawas sekolah.



Pada akhir sesi ‘Kopitiam’, para pelajar seterusnya diberi peluang untuk membentangkan masalah dan cara penyelesaian yang efektif bagi memberi nafas baru bagi meningkatkan prestasi badan pengawas. Dapat dilihat mereka mempunyai daya inisiatif yang tinggi dan mencurahkan kreativiti bagi menangani masalah dan kekurangan yang wujud didalam badan pengawas. Kebolehan ini penting dilengkapkan untuk mereka menjadi pemimpin dan mempunyai daya usaha yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dan menjadi pemimpin yang cemerlang.


Modul terakhir didalam kursus ini ialah aktiviti ‘Time Challenge’. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan fokus mereka dalam kerja berpasukan dan menunjukkan bagaimana mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Di dalam aktiviti “Time Challenge” ini, dapat dilihat mereka bersungguh-sungguh menamatkan kiraan dalam waktu terpantas. Seorang ketua ditugaskan untuk meningkatkan semangat pasukan agar tidak hilang fokus disamping dapat menamatkan kiraan dengan jayanya. Aktiviti ini dapat membentuk mereka menepati masa dan meningkatkan tahap kerjasama dalam kerja berpasukan.


Program “Kursus Kepimpinan SMK Darul Ehsan” ini berakhir pada jam 5 petang dan ribuan terima kasih buat semua guru-guru dan pengawas terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ini.

Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd.


M.A.C atau Mohsen Amdan Consultancy Sdn Bhd akhirnya berjaya ditubuhkan. Syukurnya yang amat sangat kerana Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk bertahan dalam industri ini. Selepas bertarung, bertungkus lumus dan menyesuaikan diri, M.A.C di wujudkan dengan slogan M - Meransang, A - Arif dan C - Cemerlang. 

Takdirnya pula hati ini tergerak untuk mengambil 3 pelajar UNISEL untuk bersama saya bagi tujuan Latihan Industri mereka. Harmizi, Luqman dan Fikri adalah di antara mereka yang bersama melakar sejarah M.A.C. 

Kalendar M.A.C pula setakat ini amat menggalakkan. Terimakasih kepada Fikri yang berjaya meyakinkan YPM Realties untuk memberi peluang kepada M.A.C mengendalikan program tajaan mereka. Selain itu, M.A.C juga akan cuba menceburi industri nuklear dengan langkah awal melibatkan diri dengan kempen kesedaran nuklear - pendidikan, prospek dan peluang. Semoga usaha ini berjaya.

Logo M.A.C pula nampaknya mendapat respon yang baik dari rakan - rakan. Ini merupakan hasil kerja tangan Pengarah Kreatif Flipsio Resources Sdn Bhd iaitu Fairus yang juga rakan kongsi saya. Konsep 'Simple, Trendy & Inspiring' menjadi asas kepada penciptaan logo itu.

Semoga langkah kanan  M.A.C ini mendapat sambutan yang baik dan menerima sokongan dari semua pihak. M.A.C juga berazam memberikan yang terbaik kepada mereka yangterlibat secara langsung atau tidak dengan M.A.C

Kematian Osama Laden dan implikasi politik tempatan dan dunia

Kematian Osama Laden mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat dunia. Spekulasi ke atas kebenaran berita kematian ini tidak berjalan seperti zaman sebelum wujudnya Facebook, Youtube dan Twitter di mana 3 medium komunikasi sosial ini nampaknya sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi berita yang sampai kepada masyarakat.


Ada yang percaya, ada yang tidak. Malah ada yang bersorak gembira dan tidak kurang juga yang meratap. Perdana Menteri Malaysia dan Menteri KDN sendiri mengeluarkan kenyataan berbau gembira dan pro Amerika apabila mengatakan kematian Osama ini bakal membawa keamanan kepada dunia. Adakah Osama yang bertanggungjawab kepada ketidakstabilan keamanan dunia? Saya tidak faham dengan pernyataan seperti ini. Dan pada hemat saya ini tidak lebih dari menunjukkan sokongan kepada Amerika. Adakah ini berlaku atas nasihat APCO?

Satu perkara yang juga menghairankan ialah harga pasaran minyak dunia menurun apabila berita kematian Osama ini tersebar. besar sungguh pengaruh Osama dalam pasaran minyak mentah dunia rupanya - Lucu sungguh!

Tersebar pula kononnya pihak pelampau dan pengganas dari Asia Tenggara lebih banyak terlibat dalam hal keganasan ini. Adakah ini benar? Atau satu lagi lesen merobek negara - negara yang mempunyai sumber yang pelbagai?

Mayat ke laut? Wajah mayat hasil sentuhan Photoshop? Apa yang berlaku sebenarnya? Saya menonton sidang media wakil pertahanan US dan saya dapati pegawai tersebut gagal dalam menyembunyikan maklumat interpersonalnya. Bola mata, kening dan dahi menunjukkan sebaliknya berbanding apa yang dituturkan. 

Apakah keuntungan yang diraih dari pembunuhan ini (sekiranya benar) dan apa pula kesan kepada masyarakat dunia? Pada hemat saya perkara sebegini mungkin berlaku

1. Kesan domino terhadap persepsi negatif masyarakat bukan muslim kepada muslim. Pembunuhan ini seolah - olah mengesahkan penganut ajaran Islam memiliki sentimen ganas dan jahat.
2. Pergerakan anti  - Islam mungkin akan mengukuh kembali
3. Lebih banyak tekanan kepada minoriti Muslim seluruh dunia atas nama keganasan
4. Wahabi dan Syiah akan bersaing lebih hebat untuk meraih sokongan sebagai penggerak Islam tulen.

Dan pelbagai perkara lain yang mungkin berlaku, lebih malang lagi ialah apa saja yang berlaku Muslim akan menjadi mangsanya. Apa yang boleh kita lakukan bagi membantu kepada penambahbaikan perkara ini? Kongsikan pandangan anda ke ruangan komen.