Total Pageviews

Memahami masalah dalam keluarga

Sejak kebelakangan ini semakin kerap saya mengendalikan persoalan berkaitan masalah keluarga berbanding persoalan berkaitan kerjaya seperti biasanya. Saya mula menyedari senario ini sejak Oktober lalu. Secara kebetulan satu demi satu yang menghubungi saya menerusi pelbagai cara berkongsi pelbagai permasalahan dalam keluarga.

Tiada siapa yang tidak dilanda masalah. Itu adalah satu lumrah di mana manusia itu sendiri hidup dengan melalui pelbagai masalah. Malah masalah juga sering menggerakkan kita ke arah sesuatu. Sama ada baik atau buruk, ia bakal ditentukan melalui jalan apa yang dipilih dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi mengenai satu senario yang di panggil The Elephant In The Living Room Syndrome atau dalam Bahasa Melayu disebut Sindrom Gajah Di Ruang Tamu. Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom ini?


Bayangkan situasi ini - di ruang tamu rumah anda ada seekor gajah sedang berdiri di situ, manakala semua ahli keluarga anda melihatnya dan tahu mengenai kehadirannya tetapi tiada siapa pun mahu berbicara mengenainya. Dalam keadaan ini ..semua orang menafikannya dalam diam walaupun semua orang tahu masalah itu wujud. Keliru? Saya jelaskan dengan satu contoh.

Malam tadi ibu dan bapa bergaduh dengan begitu teruk sekali. Nenek dan adik - adik anda juga menyaksikan pergaduhan tersebut. Anda yang pulang kerumah dihujung minggu duduk semeja dengan semua ahli keluarga ketika makan malam tanpa mengetahui apa yang berlaku malam tadi. Tetapi apa yang menghairankan anda semua orang di meja makan berwajah sugul. Apabila anda bertanyakan kepada adik - adik, tiada siapa yang memberitahu perkara sebenar begitu juga dengan nenek anda - adakah anda faham dengan contoh yang saya berikan?

Dalam sindrom ini, masalah keluarga biasanya menjadi terpendam dan membusuk. Seseorang dalam keluarga melakukannya dan tiada siapa mengambil apa - apa tindakan mengenainya. Bukan sekadar tidak mengambil tindakan bahkan tidak langsung mahu membicarakannya dengan harapan ia akan selesai dengan sendirinya. Persoalannya, bolehkah ia selesai dengan sendirinya? Jawapannya ialah TIDAK.

Apakah contoh masalah keluarga yang sering terlibat dalam sindrom ini? Sila rujuk di bawah
1. Ketagihan Alkohol
2. Ketagihan dadah
3. Curang
4. Perceraian
5. Sumbang Mahram
6. Rogol
7. Salah laku korporat
8. Rasuah
9. Pelacuran
10. Curi
11. Kemiskinan
12. Hutang
13. Homoseksual
14. Aktif dengan jenayah
15. Penguguran kandungan
16. Bankrap
17. Dan pelbagai lagi

Sindrom Gajah Di Ruang Tamu ini mengakibatkan banyak keluarga menjadi tidak bahagia, kacau bilau, hidup dalam ketidakpastian, perasaan tidak selamat dan terancam dan sebagainya. Ia juga sebenarnya bukan hanya terhad kepada istitusi kekeluargaan malah begitu juga di dalam pejabat. Anda pernah menghadapi situasi sebegini? Apa yang boleh dilakukan? Nantikan sambungan siri artikel ini.

2 comments:

Shahrulmiza said...

Macam mana nak menangani masalah ni yek?

Mohsen Amdan said...

Ada beberapa langkah pendekatan. Akan saya kongsikan nanti