Total Pageviews

Sibu, Sarikei dan Bintangor

Salah satu sebab kenapa saya sangat mencintai kerja saya ialah, ia membawa saya ke tempat - tempat yang saya tidak pernah terokai dan ia memberikan pengalaman baru setiap kali. Apabila di maklumkan projek sepaktakraw Trio Impian yang pasukan saya usahakan di arahkan ke Bintangor Sarawak - kami cuba mencarinya menerusi Google pastinya. Dan bila nama tempat itu dimaklumkan kepada kami, masing - masing berpandangan tanpa sesiapa dikalangan kami tahu mengenainya.

Kami sempat menginap di Sibu selepas selesai tugas di Bintangor. Berikut ialah beberapa foto yang dapat saya rakamkan untuk tatapan semua.

Foo Chow Clan - Sangat berkuasa di Sibu


Bangunan ini di bina atas tanah yang di tambak dan kini menjadi salah satu mercu tanda Sibu

Dataran Sibu


Pesta sebegini kerap diadakan bagi menarik kunjungan pelancong domestik khususnya









Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah kewujudan pelbagai jenis pegangan Kristian di Sibu yang meraikan kepelbagaian dalam beragama. Malah, tidak kira usia muda dan tua saling rajin ke gereja dan disambut dimuka pintu dengan wajah ceria orang muda.


Pasar malam di Sibu

Buku dan poster pelbagai agama dijual oleh peniaga yang sama

Makanan istimewa ada di sini.


Pasar Sibu yang sangat besar dengan tempat letak kereta setinggi 6 tingkat






Kemudahan gelanggang badminton yang sangat elok membuatkan saya cemburu kerana tiada satu yang serupa dengannya bagi sepaktakraw di Malaysia ini

Pemandangan dari bumbung pasar Sibu






Heritage Centre yang merupakan salah satu projek gajah putih. Lokasi dan infranya bagus, tapi tiada isi di dalamnya

Selfies - Bahagian 3

Sambungan dari entri 1 dan 2


3. Sudut rakaman foto Selfie juga antara elemen penting dalam perlakuan ini. Di dapati ramai pelaku Selfies ini gemar merakam imej diri sendiri dari sudut tangan lebih tinggi dari kepala dan kamera menghala ke sisi muka yang dirasakan lebih tampan / cantik. Malah perlakuan ini konsisten apabila si pelaku mula menyedari sisi diri terbaik untuk merakam imej diri. Setiap rakaman dari pelbagai sudut ini akan dinilai oleh si pelaku agar ia memenuhi ciri dirinya yang diinginkan. Keadaan ini juga terkadang melihatkan si pelaku cuba merakam foto dalam situasi 'kononnya' dia tidak melihat kamera itu atau ada orang lain yang merakamkan aksinya.



4. Sifat ingin tahu yang tinggi - ia mendorong pelaku selfies merakam foto berkali - kali dengan pelbagai mimik  muka, pelbagai sudut dan pelbagai prop serta latar belakang. Ini membuktikan bahawa manusia memang gemar menonton aksi sendiri sama ada dalam format foto atau video. Perhatikan sahaja gelagat pelaku selfies yang akan membelek semula foto - foto yang dirakam dan tersenyum - senyum apabila menonton aksi mereka sendiri.

Persoalannya, adakah ini normal? Atau satu lagi simptom keadaan psikologi tidak normal?

Masalah Teknikal Blogger.com

Khusus untuk pelanggan MAC yang memerlukan maklumat terkini jadual saya, buat masa ini Google menerusi Blogger.com sedang berdepan masalah javascript:void untuk sebarang proses kemasukan data bagi Text Box. Oleh yang demikian saya juga tidak dapat mengemaskini jadual saya seperti biasa. Oleh itu buat masa ini saya akan memuat naik jadual terkini saya menerusi entri blog. Harap Maklum

9 - 11 Oktober2013
Teambuilding
AYAMAS
Ilham Resort PD

11 - 13 Oktober2013
Teambuilding
RHB Bank

19 - 20 Oktober 2013
KL Masters Open

21 - 23 Oktober 2013
Kerja Berpasukan
PDRM

23 - 25 Oktober 2013
Teambuilding
AYAMAS
Ilham Resort PD

29 - 30 Oktober 2013
Perundingan Berkesan
Perbadanan Putrajaya

30 Oktober - 1 November 2013
Teambuilding
AYAMAS
Ilham Resort PD

6 November 2013
Multiple Generational Employees
UITM Terengganu

13 - 15 November 2013
Kerja Berpasukan 
MOF
Telok Dalam Resort

16 November 2013
Teambuilding
Flamingo Hotel Pulau Pinang

Maka Tuhan Telah Menegurku...


Maka Tuhan telah menegurku,
Menerusi ilham yang diberi dikala khalwatku bersamanya
Ketika seluruh pancaindera ini seakan terbuka
Menerobos hijab bagai tiada dinding memagarinya

Ku perhatikan sekeliling
Bahawa Tuhan telah menegurku
Akan segala kesombonganku sebagai manusia
Terus menerus melakukan dosa hina

Ku lihat ciptaan yang Maha Kuasa
Tuhan menegur ku lagi
Dengan sindiran tajam menusuk kalbu
Membezakan ciptaannya dengan kemampuan aqal memahami

Tuhan menegur ku 
Agar segera sedar dari mimpiku
Yang hanyut kerna lena begitu asyik
Membuat diri alpa walau Azan Subuh menyapa

Maka Tuhan menegur ku lagi
Dengan apa yang ada di sekelilingku
Wajib ku syukuri seadanya
Kerana semua ini adalah yang terbaik buatku

Wahai Allah Tuhan ku
Teguran Mu sangat menusuk qalbu
Membuatkan ku resah dalam insaf
Betapa lemah diri ini sebagai manusia

Wahai Allah Maha Mengetahui
Ampunilah segala ketelanjuranku
Sucikan hati ini dari titik dosa
Jauhkan aku dari mengulangi salahku

Maka Tuhan Telah Menegur Ku

Sebelum Berhenti Kerja dan Memulakan Perniagaan

2013 menyaksikan saya ditemukan dengan agak ramai teman - teman seusia yang sudah mula ingin berubah angin - dari makan gaji kepada menceburkan diri ke alam perniagaan. Malah, mereka ini bukan calang - calang orang ketika di organisasi mereka bekerja. Ada yang pegawai kerajaan tinggi, ada yang eksekutif kanan, ada yang pengurus cawangan dan tidak kurang juga pensyarah dan guru. Saya merasakan mereka dan saya diketemukan atas kehendak Allah SWT supaya saling mendapat  manfaat, meskipun bukan semuanya berkesudahan terus melompat berniaga, ada juga yang semakin bingung selepas bertemu dan bersembang mengenai hal berniaga dengan saya.


Ya...saya bukan jutawan, saya juga belum sangat berjaya dalam berniaga. Namun saya sudah mampu berdiri sendiri selama 12 tahun.. dan ia tidak mudah. Banyak yang saya sudah tempuh, banyak juga kena tipu. Banyak kali naik dan turun, banyak kali kecewa dan murung. Banyak kali buka syarikat dan banyak kali juga saya tutup syarikat. Tapi..saya ada sebab sendiri kenapa saya Istiqamah dalam hal berniaga ini. 

Apabila berada diusia seperti saya kini, banyak perkara akan mula mencabar diri dan ego terutama lelaki. Di usia menghampiri 40 tahun, anda akan mula memerhati sekeliling dan membuat perbandingan secara tidak sengaja. Anda mula melihat pelbagai perkara yang dimiliki oleh orang lain dan berbanding dengan apa yang anda miliki. Bilangan isteri, anak, jenis kenderaan yang dipandu atau tunggang, jenis rumah yang dimiliki, bilangan hartanah, lokasi percutian, aktiviti waktu senggang dan 1001 macam lagi benda yang mula membuatkan anda rasa resah dan mula memikirkan langkah yang ada bagi mencapai perkara yang orang lain mampu nikmati. 


Saya juga tidak terlepas dari itu. Teringin memiliki motorsikal kuasa besar, rumah selesa, kereta mewah dan lebih perit bila rakan - rakan pula dengan selesa dan mudah sahaja memiliki itu semua. Wasatiyah adalah jalan bagi menangkis semua ini. Namun sebagai insan lemah, saya juga kadang - kadang cemburu. Ada juga yang inginkan kebebasan pada usia sebegini. Tidak lagi mahu berada dalam hierarki kerja. Tidak lagi mahu sekadar menerima arahan meskipun gajinya lumayan. Ada juga yang mula rasakan ingin mencuba nasib dengan segala pengalaman yang ada..ini adalah sebahagian dari alasan mereka apabila saya tanyakan kenapa mereka ingin berhenti bekerja dan mula berniaga.

Atas apa yang telah berlaku, saya kongsikan beberapa persoalan yang WAJIB ditanyakan kepada diri sendiri sebelum anda membuat keputusan berhenti kerja dan mula berniaga. 


1. KENAPA ANDA INGIN MEMULAKAN PERNIAGAAN?
Ini adalah soalah cepu emas pertama yang perlu dijawab oleh sesiapa sahaja yang berhajat berhenti kerja dan mula berniaga.  Soalan ini sangat kritikal kerana terkadang, apabila 3 bulan pertama berlalu, anda mula kecewa kerana hasil kurang memuaskan atau rasa menyesal berhenti kerja..
Tanyakan diri anda, apa yang sebenarnya ingin anda capai dengan berniaga? Ingin jadi kaya raya? Ingin mengumpul wang berjuta - juta? Ingin lakukan kerana kepuasan diri? Atau ingin berniaga kerana apa yang bakal anda lakukan adalah satu bentuk langkah HEROIK yang mana sekiranya anda jalankan perniagaan itu ia mampu menyelesaikan salah satu masalah umat?
Ada yang pernah bertemu dengan saya meminta khidmat perundingan dengan kertas kerja / kertas konsep yang tebal dan rumit. Namun, setelah saya tanyakan soalan - soalan asas di atas, mereka berlalu pergi dengan langkah longlai..bukan kerana saya meremehkan kertas kerja mereka atau idea bombastik itu, tetapi mereka sendiri akhirnya gagal mengenalpasti kenapa mereka ingin berniaga dengan ideanya itu.
Kenapa persoalan ini berat, kerana anda sebenarnya ada 3 pilihan untuk menjana wang berjuta sekiranya itu adalah matlamat anda.
a. Perniagaan - Ini tidak semestinya berlaku dengan anda membuka syarikat sendiri. Bekerja makan gaji juga adalah satu bentuk perniagaan - anda memperdagangkan tenaga dan masa untuk dibayar gaji. Orang berniaga sendiri juga melakukan perkara yang sama bukan?
b. Kertas - Sebarang bentuk perniagaan yang menggunakan kertas sebagai medium, contohnya Wasiat, Bon, Saham Amanah, Insurans dan sebagainya. Anda tidak perlukan modal besar untuk ini dan saya kenal ramai yang sudah pun berjaya dengan kaedah ini.
c. Hartanah (Real - Estates) - Jual beli atau sewaan hartanah mampu memberikann pulangan lumayan. Malah stok emas dan perak juga sudah boleh dianggap termasuk dalam kategori ini.
Maka dengan 3 pilihan di atas, yang mana satu sesuai dengan diri anda?

2. Rakan Niaga / Kongsi
Siapa yang sepatutnya anda ajak / jemput / undang / pelawa untuk menjadi rakan kongsi? Geng tempat kerja? Rakan se Universiti? Kawan sekolah lama? Jiran? Adik beradik?
Apakah sumbangan dan peranan mereka? Adakah mereka juga akan berhenti kerja dan sama - sama turun padang atau mereka hanya menyuntik modal? Saya selalu ketawa sendiri bila saya tanyakan soalan "Apa peranan kamu dalam perniagaan ini?" dan jawapan mereka ialah "Saya bahagian Management"..dan saya akan terburai ketawa kerana saya tahu yang dia pun tak tahu apa yang dia cakap.
Jangan mempelawa terlalu ramai orang untuk memulakan perniagaan anda. Ia bakal memeningkan kepala, dan menyebabkan anda menternak ular sawa yang tak menyumbang apa - apa dan menyusahkan saja. Paling ramai pun 3 orang sudah memadai. Lagipun anda baru bermula kan? Kenapa perlu ramai macam kenduri?

Ada beberapa persoalan lain untuk dicernakan..nantikan sambungan coretan ini. Moga bermanfaat untuk semua...Bi Iznillah

E - Temubual saya bersama Malaysia.my berkaitan sepaktakraw

Terimakasih kepada salah seorang penasihat ICT saya iaitu Maestro Rusdy Ahmad kerana menghalakan temubual secara online ini kepada saya di mana temubual Malaysia.my ini sepatutnya dijawab oleh beliau. Saya perlu menjawab soalan - soalan ini dalam jumlah 100 hingga 150 perkataan sahaja. Saya titipkan jawapan dalam Bahasa Melayu meskipun yang akan muncul nanti dalam Bahasa Inggeris.



1. Tell us about your connection with the sport. How did it all start, how did u get into it... 


Saya bermula ketika berusia 14 tahun. Hanya kerana ingin mengelak waktu prep pagi di asrama, saya mencuba nasib untuk pemilihan pemain mewakili Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Walaupun saya tidak tahu bermain sepaktakraw saya gagahi juga. Akibatnya, saya dimarahi guru yang memilih pemain kerana hanya membuang masanya. Saya jadi geram dan mula berhenti bermain bolasepak dan berazam mempelajari sepaktakraw dan hasilnya, saya berjaya mewakili sekolah pada tahun berikutnya dan berjaya muncul naib juara di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat dengan bermain diposisi Tekong. Selepas itu saya mula dibimbing oleh En. Hanafiah di Muar sebagai apit kanan dan bermulalah kegilaan saya kepada sepaktakraw. Bolarotan.com bermula hampir 3 tahun lalu adalah satu projek mempopularkan sepaktakraw selepas saya menyaksikan merudumnya prestasi pasukan negara dan kegagalan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika itu dalam membangunkan sukan ini.

2. How was Sepak Takraw then and how is it now? What has time brought to it? 

Dahulunya sepaktakraw merupakan sukan popular di mana orang sanggup berasak – asak menonton kejohanan ini walaupun terpaksa membayar tiket. Kejohanan pelbagai peringkat dan Malaysia adalah nama gah dan pertembungan dengan seteru utama ketika itu – Thailand adalah satu perkara yang amat dinantikan. Sepaktakraw dimainkan di mana – mana saja. Malah kategori Bukan Melayu juga wujud dalam kejohanan peringkat sekolah. Ia sukan yang diminati kerana kemahiran, seni, adab dan juga ketangkasannya. Rally panjang berbalas libasan adalah penarik utama. Hampir 15 tahun lalu, ia merudum kerana corak permainan sudah berubah. Servis Kuda membunuh seni sukan ini. Tiada lagi rally panjang, yang ada hanyalah kelajuan saja.

3. How is the younger generation reacting to Sepak Takraw?


Sejak kebelakangan ini ia kembali popular. Sejak adanya ledakan internet, sepaktakraw bagai bernyawa semula. Buktinya ramai bakat baru dikesan diperingkat sekolah rendah lagi. Kejohanan diperingkat Kementerian Pelajaran juga membantu dalam hal ini. Usaha oleh pelbagai pihak termasuk Bolarotan.com dalam menganjurkan pelbagai klinik dan program Outreach nampaknya semakin membuahkan hasil. Guru – guru pula semakin mendekati kami untuk berkongsi maklumat pelajar mereka dan semakin ramai pemain muda berbakat berani menyertai kejohanan peringkat tinggi.

4. What challenges does the sport face to be more globally recognised?


Sukan baru dan lebih ‘hype’ seperti Futsal, Dodgeball , permotoran dan sebagainya muncul dengan pakej komersil yang lebih baik. Ini sangat mudah menarik penaja besar dalam mempromosikan sukan ini. Sukan ini juga didominasi oleh Thailand dalam segenap segi menyebabkan negara lain mula berasa ia satu pelaburan yang agak kurang menguntungkan. Pulangannya (ROI) agak lambat kerana proses membentuk pemain kelas tingginya memakan masa yang panjang. Menggabungkan beberapa elemen berlainan dalam mempromosi sukan ini adalah perlu sebagai contoh makanan popular, syarikat penerbangan terkenal ataupun TELCO akan mempercepatkan proses ini. Sentimen budaya perlu dikecilkan seperti mana bolasepak moden bukan lagi milik orang Inggeris.

5. Your thoughts on the future of Sepak Takraw as a sport and cultural significance to Malaysians.



Sepaktakraw adalah sukan yang sangat berpotensi untuk diketengahkan. Gabungan elemen yang pelbagai sebenarnya satu bentuk USP (Unique Selling Proposition) yang boleh dikembangkan. Usaha pelbagai pihak perlu dalam mempopularkan lagi sukan ini. Malaysia masih boleh terus berharap sepaktakraw sebagai penyumbang pingat bagi Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya malah ia mampu menjulang nama Malaysia di mata dunia kerana sukan ini semakin diminati. Dalam bentuk budaya pula, agensi yang terlibat perlu lebih proaktif dalam mengangkat sejarah sukan ini kerana secara sejarahnya sukan ini bermula dengan sepakraga dan dimainkan di mana – mana sahaja. Malah secara tidak langsung mampu membantu industri  kraf khususnya rotan kerana bola yang asal diperbuat dari rotan. Demonstrasi pembuatan bola rotan, jualan produk berkaitan, demonstrasi dan perlawanan pertunjukan mampu menjadi tarikan pelancong. Saya sendiri pernah bermain sepakraga di dalam KL Hilton Hotel untuk menghiburkan tetamu di Grand Ballroom mereka yang mana tetamu asing begitu teruja dengannya. Siapa kata orang asing tidak minat dengan budaya kita kan?

Selfies (Bahagian 2) - Bukan sekadar potret diri

Salam
Bersambung lagi dalam siri artikel psikologi yang mengupas isu Selfie atau merakam foto diri sendiri. Pada artikel yang lalu saya menyentuh ciri Narcissism yang wujud dalam proses Selfies sama ada ia berkaitan atau tidak. Kali ini saya akan mengupas perkaitan tingkahlaku Selfie ini dengan konsep potret dan garis masa (Timeline).

Potret Monalisa karya Leonardo Da Vinci adalah merupakan potret yang paling popular didunia sehinggakan ia difilem, dilagukan, ditiru dan pelbagai lagi bentuk penghayatan keatasnya dibuat oleh pelbagai pihak. Malah ia dikaji dengan penuh mendalam kerana Leonardo adalah seorang yang genius dalam penghasilan apa juga karyanya dan ini menimbulkan banyak tanda tanya.


Potret diri dengan tiadanya kecanggihan kamera pada zaman dahulu pastinya memerlukan proses yang remeh dan memakan masa. Anda mungkin perlu berposisi statik untuk satu tempoh panjang supaya pelukis dapat menyiapkan lakarannya. Ini dipermudahkan dengan terhasilnya teknologi kamera digital dan apabila kamera bersatu dengan telefon...ia mempermudahkan lagi proses ini.

Kenapa orang melukis potret? Kerana ia satu bentuk rakaman  bersifat sentimen masa dan keadaan. Ia menjadi maklumat penting kepada masa akan datangnya dalam menggambarkan keadaan yang sedang dilalui merentasi usia ketika potret itu disiapkan dan ia juga satu bentuk luahan rasa.

Berbalik kepada Selfie, adakah yang dirakamkan dan disiarkan itu bersifat potret? Nampaknya tidak semua Selfie bersifat potret. Ini boleh dilihat dari beberapa sudut.

1. Masa rakaman dan muatnaik foto itu dilakukan - Ia biasanya berlaku dengan bersifat menunjukkan garis masa. Apa yang sedang berlaku disekeliling individu berkenaan, dengan siapa dia berada dan jam atau waktu yang bagaimana. Ada orang yang memuatnaik Selfie di setiap kali dia mengenakan pakain baru atau ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan atau mahupun setiap kali tiba disatu lokasi yang dirasakan signifikan untuk dimuat naik ke laman sosial. Signifikan di sini perlu dibaca sebagai ia memberi rasa 'Cool', hebat, menarik atau lain dari lain berdasarkan persepsi si pelaku, bukannya pembaca. Sebab itu, setiap Selfie mendapat reaksi yang berbeza dari pembaca. Pelaku selalunya mengharapkan respon dari pembaca dalam bentuk KOMEN STATUS atau LIKE pada foto atau status berkenaan. Masa rakaman dan muatnaik ini telah menjadi begitu penting kerana media sosial seperti Instagram, Facebook atau Twitter bersifat 'Real-Time' dan proses update berlaku begitu kerap kerana ia boleh diakses menerusi Smart Phone. Kelajuan internet menjadi begitu penting dalam hal ini kerana si pelaku mahukan foto Selfie ini dimuatnaik pada ketika itu juga untuk memberitahu orang lain apa yang sedang berlaku dalam hidupnya.

2. Ekspresi perasaan - Manusia secara dominannya memiliki 8 emosi yang paling menonjol, Marah, Gembira, Sedih dan kecewa adalah diantaranya dan menunjukkan emosi ini menjadi begitu penting dalam dunia hari ini kerana kecenderungan untuk menarik perhatian orang disekeliling (baca - manusia dalam jaringan digital) dan mendapatkan respon yang setimpal. Emosi yang lain dari lain akan mengundang jumlah respon yang tinggi dari pembaca. Ia bagaikan papan iklan perasaan dan foto gembira lebih menarik perhatian kerana ia adalah emosi yang mudah ditunjukkan dan mudah di fahami orang.

Bersambung...

Merakam foto sendiri - Narcissism? Apa itu Selfies?



Narcissism adalah perkataan yang muncul dari mitos Greek mengenai Narcissus, seorang jejaka tampan yang akhirnya jatuh cinta dengan wajahnya sendiri apabila menghabiskan masa yang lama merenung refleksi wajahnya di kolam air. Narcissism adalah satu bentuk masalah psikologi personaliti yang mana ia melibatkan hampir 1% populasi dunia. Antara kesan masalah ini ialah ia membawa kepada perkara berikut
1. Terlalu yakin kepada kemampuan / kebolehan diri sendiri sehingga menolak pertolongan / usaha orang lain sehingga di lihat sangat mementingkan diri sendiri
2. Terpesona dengan diri sendiri sehingga terlalu memuji / mengangkat diri sendiri dan mengakibatkan orang lain menjadi jengkel dengan kenyataan yang keluar dari mulutnya.
Apa yang ingin saya kupas di sini adalah perkembangan dari Narcissism iaitu Selfies iaitu merakam foto diri sendiri dan memuatnaik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Adakah ini juga merupakan sebahagian dari Narcissism? Adakah ini salah satu bentuk masalah psikologi personaliti?

Apakah yang dimaksudkan dengan Selfies? Berikut ialah petikan dari UrbanDictionary.com
1. Pictures taken of oneself while holding the camera at arms length. also known as being camera raped, where one person takes many pictures of them self on another camera
"Dude, Margaret raped my camera last night she took so many selfies!"
2. An act usually carried out by girls aged 12-21, the act involves taking photos of ones self while posing. If the act is carried out by a man, he is usally seen as being gay.
"Yo man, I seen you put selfies up on Facebook... You gay cunt!"
Anda pernah merakam foto sendiri? dengan beberapa snap anda pun melihat kembali semua rakaman itu di Phot Album telefon / kamera anda dan mula memilih untuk yang mana satu perlu dimuat naik? Mula terdetik - "Haa..yang ini aku nampak hensem / cun / cantik"
Atau
"Ala..tak best..tak best..sekali lagi la.."
Dari dua penjelasan Urban Dictionary di atas, ia kedengaran seperti agak negatif. Seolah - olah selfies adalah satu tingkahlaku yang agak janggal. Namun, beleklah akaun sosial anda sendiri hari ini, berapa banyakkah foto selfies yang dapat anda saksikan? 
Bagaimana pula dengan mereka yang langsung tidak pernah merakam gambar sendiri? Adakah mereka mengalami 'Low Self-Esteem' atau kurang keyakinan diri?
Adakah jumlah tertentu yang boleh dikira ok untuk merakam selfies dan memuat naik dalam sehari? Bagaimana pula dengan aksi remaja yang merakam pelbagai sudut wajah dengan mimik muka pelbagai ragam. Adakah ia di kira abnormal?
Perkembangan dunia skrin ke 4 iaitu telefon pintar telah mengubah lanskap psikologi manusia terhadap diri sendiri. Pada awal era Facebook, ramai yang janggal dengan tingkahlaku 'update status', merakam foto sendiri di setiap lokasi malah merakam foto makanan setiap kali ingin makan. Namun oleh kerana tingkahlaku sebegini telahpun melepasi jumlah 9 kali di mata dan minda kita, maka ia dilihat sebagai satu perkara yang boleh diterima, boleh ditiru dan ia dilihat 'cool'. Generasi Y memulakan perkara dengan agresif dan kini, Baby Boomers juga berasa OK dan tidak janggal untuk berbuat demikian.
Ini merupakan satu perkembangan psikologi yang menarik dan tidak ada ramai pakar lagi dalam segmen ini!
Saya akan cuba menulis mengenai Selfies ini dalam bentuk yang lebih mudah difahami dalam entri akan datang. Nantikan update dari saya OK..Jom rakam foto sendiri!

Ihya Ramadhan - Iftar di Masjid


Assalamualaikum wbt. Ramadhan mula memasuki hari kedua untuk edisi 2013 ini dan rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan kepada pembaca semua Ramadhan Kareem dan Selamat menjalani ibadah Puasa.

Tahun lalu, saya dan keluarga berjaya belajar mendisplinkan diri kami dengan 1/3 Ramadhan kami gunakan untuk mendekati Masjid , secara spesifiknya Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya di mana kami cuba hadir awal untuk bertahlil, Iftar, Maghrib dan Isya' dan seterusnya solat sunat Tarawikh dan Witir. Benar, tiada apa yang ingin dibanggakan di sini cuma sekadar ingin berkongsi pengalaman dan usaha kami memperbaiki diri dengan harapan ada dikalangan pembaca yang mungkin mendapat inspirasi dari tulisan ini. Untuk makluman, jarak rumah kami dan Masjid Besi bukanlah dekat sangat di mana saya tinggal di Kajang. Namun, bagai digerakkan hati ini untuk mendekati rumah Allah membuatkan jarak bukan lagi isunya. Kesan dari usaha kecil kami tahun lalu, membolehkan setiap hari Khamis, kami akan ke sana untuk berjemaah dan bacaan Yaasin sekiranya saya tidak berada diluar kawasan.

Maka tahun ini kami sekeluarga berazam untuk memperbaiki lagi usaha kami tahun lalu dengan cuba menghadirkan diri ke Masjid sepanjang Ramadhan ini. Moga Allah memudahkan urusan kami.

Tujuan saya menulis artikel ini adalah sebagai cuba menjawab beberapa pertanyaan mengenai apa yang saya dan kebanyakan orang lain lakukan iaitu, apa rasanya berbuka atau Iftar di Masjid ketika Ramadhan? Jawapan yang bakal saya tuliskan ini bukanlah dari mana - mana guru agama tetapi semata - mata dari pemerhatian insan kerdil seperti saya sahaja.

Pada pengamatan saya, Iftar di Masjid khususnya di bulan Ramadhan ini memiliki terlalu banyak kelebihan yang mana satu ketika dulu, saya juga tidak ambil pusing. Barangkali kerana kematangan fikiran bertambah dan Allah memberi ruang fikir yang baik, maka saya semakin jelas mengenai kelebihan - kelebihan ini.

Pertama, sebagaimana yang kita tahu bahawa Ramadhan ialah bulan pendidikan. Maka salah satu kelebihan besar yang saya perolehi ketika Ramadhan ini ialah DISIPLIN DIRI. Oleh kerana jarak rumah yang agak jauh dari Masjid, kami sekeluarga perlu bersiap awal dan hadir awal ke Masjid. Ini bermaksud persediaan pakaian, perjalanan dan tugasan berlaku lebih teratur.


Kedua, Iftar di Masjid mendidik kami sekeluarga dengan rasa SYUKUR dan MERENDAH DIRI. Walau sehebat atau kaya bagaimana sekalipun seseorang itu, di Masjid makanan yang terhidang adalah sama untuk semua orang. Sedap atau tidak bukan lagi isunya. Kita redha sahaja dengan rezeki yang diberikan Allah pada hari itu. Banyak atau sikit bukan lagi perkara pokok. Malah beberapa biji kurma dan air segelas sudah pun memadai untuk bingkas bangkit menunaikan Solat Maghrib. Usai Maghrib, kita berbaris beramai - ramai mendapatkan makanan yang lebih berat untuk mengalas perut. Ia mendidik rasa SABAR dan MENYERAH DIRI kepada Allah kerana kita juga tidak tahu masihkah ada makanan untuk kita walaupun kita berbaris panjang.

Ketiga, Iftar di Masjid juga mendidik kita untuk lebih menjadi SENSITIF dengan sekeliling. Ada yang membawa juadah sendiri dari rumah atau dari belian di Bazaar Ramadhan. Ketika duduk beramai - ramai untuk Iftar, ada yang mengeluarkan juadah yang agak mahal atau lebih lazat dari orang lain yang akibatnya mereka sendiri jadi serba salah untuk makan kerana orang disekeliling hanya menjamah makanan biasa sahaja. Ini lebih jelas bila makanan yang dibawa dalam kuantiti sedikit dan sukar untuk dikongsikan dengan orang lain. Kesannya ialah esok orang sebegini akan mula menjamah apa yang ada saja sama seperti orang lain.

Keempat ialah mengenai MENYEGERAKAN SOLAT. Sejak kecil, berbuka dirumah pastinya menyeronokkan dengan juadah yang terhidang. Air pelbagai rasa yang sejuk dan sedap pastinya mengundang beberapa gelas ke mulut dan selalunya akan membuatkan perut penuh dan mula timbul rasa kurang selesa. Maka sedikit masa di ambil untuk meredakan keadaan sebelum boleh bingkas bangun untuk solat. Itu belum lagi mengambil kira jumlah makanan yang masuk ke perut. Tersandar kekenyangan selalunya membuatkan kita tidak terus bangun bersolat. 

Kelima ialah TIMBUL KEINGINAN BERIBADAT DENGAN LEBIH - Mereka yang pernah hadir ke program kendalian saya biasanya tahu mengenai MODEL KULIT BAWANG. Tingkahlaku kita di Masjid lebih mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Apabila orang lain bangkit menunaikan solat sunat, kita juga biasanya tergerak untuk bangkit sama meskipun bukan kebiasaan kita. Ini selalunya timbul atas rasa malu - apabila orang lain buat maka kita juga buat atau atas rasa mengisi kekosongan diantara Azan dan Iqamah.
Berbanding dirumah, godaan lebih banyak kerana ada pelbagai perkara menarik perhatian kita, mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, menonton televisyen dan macam - macam lagi.

Ini adalah sebahagian saja dari kebaikan yang saya lihat dan banyak lagi yang saya rasa pembaca juga dapat perhatikan. Sila kongsikan pandangan anda mengenai hal ini di ruangan komen. Semoga Ramadhan kali ini dapat kita penuhi dengan amalan baik dan meningkatkan mutu ibadat kita serta dapat diteruskan di bulan - bulan akan datang Insya Allah.