Total Pageviews

Analogi Kepimpinan - Kapcai vs Superbike

Melihat kepada pelbagai krisis kepimpinan mutakhir ini di Malaysia yang melibatkan kesemua parti politik dalam pelbagai bentuk, antaranya;

1. UMNO - Tun Mahathir semakin lantang mempersoalkan kewibawaan Najib
2. Tuan Guru Haji Hadi yang dibelasah teruk oleh pelbagai pihak dan lapisan ahli PAS
3. MIC yang bercakaran pucuk pimpinannya
4. Gerakan pemimpin muda yang semakin agresif dalam MCA dan membawa haluan baru
5. DAP yang dilihat tidak tetap pendirian di dalam Pakatan Rakyat
6. PKR yang masih terperangkap dengan bentuk kepimpinan DSAI dan semakin kurang menyengat apabila DSAI ke Sungai Buloh dan hanya Rafizi di lihat kedepan.

Dan macam - macam lagi....

Analogi yang ingin saya bawakan di sini ialah berkisar dengan salah satu perkara kegemaran saya iaitu motorsikal.

Perasan atau tidak, banyak kemalangan melibatkan motorsikal berkuasa tinggi atau superbike berlaku di selekoh? Jika berlaku di laluan tegak biasanya ia adalah perkara diluar kawalan penunggang sendiri seperti kenderaan lain tiba - tiba berhenti atau ada kenderaan lain melintas secara tiba - tiba. Tetapi kemalangan di selekoh adalah selalunya atas kelemahan penunggang sendiri kecuali - jalan berminyak dan mereka tidak menyedarinya. Kemalangan di selekoh selalunya berlaku dalam keadaan superbike ini tidak berjaya melepasi selekoh itu dengan baik dan kadang - kadang terus tegak menghentam tembok! Mengapa begini sedangkan mereka adalah penunggang kapcai yang baik?

Begini..

Kuasa motorsikal kapcai yang kecil (maksimum 150cc) adalah lebih mudah dikawal dan ini dibantu dengan saiz kapcai yang kecil. Maka untuk mencelah, mencilok dan mengambil selekoh adalah mudah kerana handle kapcai yang lebih luas sudut pusingannya (lebih kurang sama macam basikal) membolehkan penunggang menyesuaikan keadaan dengan mudah. Maka untuk segera cekap dengan kapcai tidaklah memakan masa yang lama terutama buat mereka yang sudah cekap dengan basikal. 
Jelas sekali asas pengendalian kapcai ialah basikal.

Berbanding superbike, daya kekuatan yang jauh lebih besar, saiz dan berat yang berganda dan sudut handle yang lebih kecil memerlukan bentuk latihan yang berbeza. Kedudukan badan yang betul membantu mengurangkan kelenguhan malah daya agakan perlu lebih sensitif. Untuk melayan 'corner' dengan baik penunggang perlu tahu bagaimana menggunakan berat badan untuk membolehkan badan superbike turut turun bersama meleper di jalanraya.

Nah..mari bandingkan kedua - duanya : Motorsikal dan Kuasa kepimpinan


Kuasa motorsikal umpama kuasa kepimpinan. Makin besar kuasa motorsikal maka makin berpengaruhlah seseorang pemimpin. Penunggang superbike lebih diperhati orang berbanding penunggang kapcai kan? Makin kecil kuasa kapcai makin selalu tertinggal di belakang. Makin kecil kuasanya makin kurang menarik perhatian. Maka cara kapcai menarik perhatian antaranya ialah dengan memasang ekzos yang lebih bising. Meski tidaklah meningkatkan kelajuan sangat tetapi bisingnya menarik perhatian! Faham sekarang kenapa ada sesetengah pemimpin kecil cuba menonjolkan diri dengan berbuat 'bising' meski yang dibisingkan itu tidak relevan?



Dengan kuasa yang kecil, lebih mudah mengawal motorsikalnya. Nak 'brake' pun mudah atau nak mengimbangkan pada laluan sempit pun mudah. Begitulah dengan kuasa, semakin besar kuasa semakin sukar mengendalikannya. Kalau orang berkuasa besar tersilap langkah maka kesannya juga lebih buruk. Mengimbangi kuasa yang besar tidak mudah kerana lebih besar kelompok yang perlu dijaga maka kemahuan mereka juga lebih bervariasi.

Untuk melayan 'corner' dengan kapcai lebih senang, tanpa perlu merendahkan badan motor sudah boleh meleper. Superbike perlu merendahkan badan untuk motor turut sama meleper. Pemimpin tinggi perlu membawa diri lebih rendah untuk dihormati; semakin merendah diri makin disayangi rakyat bukan?

Penunggang superbike mestilah bermula perlahan, Kuasa yang besar pada motor itu perlu dikuasai sedikit demi sedikit. Jika tidak alamatnya ke temboklah mereka. Begitulah pemimpin, fahami kuasa yang dimiliki dan gunakannya sedikit demi sedikit. Jangan main belasah sahaja.

Nah...perhatikan setiap motorsikal yang lalu di mata anda dan buat sendiri perbandingan antara motorsikal dan kuasa! Pastinya ada banyak lagi yang boleh dipelajari dari itu.

1 comment:

Unknown said...

Analogi yang menarik...superbike berkuasa tinggi,berkualiti,kuantiti sedikit...kapcai berkuasa rendah,kualiti ikut jenama,kuantiti banyak...kualiti vs kuantiti.
Syabas Saudara Mohsen..