Total Pageviews

Persembahan Seni Budaya Sempena Karnival Memancing Untukmu Palestin

Sesi bergambar bersama pemenang

Tasik Permaisuri Bandar Tun Razak
8 Mac 2009
0900 - 1230

Salam...
Dengan kerjasama pelbagai pihak, Lilcent telah diminta untuk menganjurkan persembahan sebagai acara sampingan kepada Pertandingan Memancing Untukmu Palestin. Pada awalnya kami cuba menyenaraikan beberapa persembahan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan penggiat budaya yang muda - muda dan baru berjinak - jinak dengan dunia persembahan. Namun, takdir menentukan yang mana akhirnya artis yang muncul sememangnya diluar jangkaan.

Sebelum menulis mengenai hari persembahan, dugaan mula muncul apabila satu persatu tawaran yang kami keluarkan tidak bersahut. Ada yang terpaksa menarik diri dan sebagainya. Namun alhamdullillah ...rezeki untuk orang lain pula nampaknya. Kesemua yang membuat persembahan pada hari itu merupakan kali pertama bekerjasama bersama kami dan mereka memang hebat!!!

Pada hari sabtu pula, semasa melawat lokasi, kami terkedu apabila melihat kanopi yang disediakan untuk kami berada dilokasi yang tidak strategik..di atas padang yang mana sukar sekali untuk mendapatkan penonton. Beberapa panggilan telefon dibuat dan seperti biasa Puan Siti Ilham ada jawapannya. Petang itu kakitangan DBKL datang mengalihkan kanopi dalam hujan yang agak lebat.

Pada hari acara, persembahan dimulakan dengan kumpulan nasyid yang didatangkan khas dari sebuah daerah yang kontroversi dengan LCCT nya..ya..Labu. Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu menampilkan kumpulan nasyidnya yang bergelar Sautun Najjah (Bunyian / Suara kejayaan). Berbakat besar..dari barisan vokalisnya sehingga pemain - pemain perkusi yang saya rasakan Akademi Nasyid mampu melonjakkan nama mereka. Harmoni dan komunikasi yang bagus ditunjukkan dalam persembahan 6 lagu itu. Terimakasih kepada saudara Zaki Rafaie yang telah membantu saya mendapatkan mereka ini.

Barisan vokalis anak muda yang berpotensi besar

Percussion unit yang mantap

Seterusnya, dari putrajaya, mereka yang baru berusia tidak sampai 2 bulan telah diberi peluang menunjukkan bakat. Dipimpin oleh Inda, bekas anak murid saya di Asrama Toh Puan Norasyikin, kumpulan gamelan dari SMK Putrajaya Presint 8 ini menunjukkan bakat dengan 4 buah lagu. Saya sempat bertemu mereka di sekolah pada jumaat lalu, dan melihat kebolehan mereka, saya boleh katakan disini yang mereka merupakan 'Fast Learner'. Lagu Wau Bulan yang saya tunjukkan tidak sampai 15 minit dapat dikuasai dengan baik dan dipersembahkan pada hari itu! Yang menariknya, saya pula dijemput untuk memainkan gendangnya...lepas juga gian main gendang ..heheheh


Kumpulan gamelan SMK Putrajaya Presint 8 (kanan sekali Inda...pemimpin kumpulan)

Seterusnya, IRFAN - sebuah kumpulan nasyid yang agak senior yang terdiri dari 4 orang pemuda yang kesemuanya bermain perkusi mempunyai alunan suara lunak dan sangat mahir menguasai pentas. Teruja dengan kecekapan permainan perkusi mereka, Irfan sempat menyampaikan 3 lagu sahaja kerana terpaksa bergegas ke majlis kahwin.

IRFAN...siap dengan berbaju melayu lengkap

Kontroversi turut melanda pertandingan memancing hari itu dan menyebabkan persembahan tergendala seketika. Seekor ikan pacu seberat 4.8 kg menggemparkan suasana. Beberapa peserta memprotes kerana mengatakan sipemancing itu menipu...mengeluarkan ikan dari beg dan sebagainya. Pasukan Marshall terpaksa menyiasat bagi membuktikan tangkapan itu. Kelam kabut juga dibuatnya dan yang terserlah ialah sikap dengki, iri hati dan busuk jiwa manusia yang digelar bangsanya sebagai MELAYU. Terbukti tangkapan itu sahih dan dia diisytihar pemenang.
Inilah dia Ikan Pacu 4.8kg yang kontroversi

Persembahan disambung semula oleh saudara Saiful - penggiat teater yang sering muncul di Istana Budaya. Beliau menyampaikan puisi yang bertajuk AllahuAkbar sambil diiringi bunyi latar yang membangkitkan rasa insaf, taubat dan ihsan. Memang mengesankan sehingga seorang kanak - kanak melopong dan duduk ditengah panas untuk menghayati persembahan itu. Sejurus selepas itu, Mel - bekas vokalis rock legenda Wings muncul menghangatkan acara. 2 lagu dari projek terbarunya yang mempunyai mesej ketuhanan mengalun lunak mengubat rindu peminat.
Saiful..dengan gaya tersendiri

Perhatikan anak kecil yang khusyuk tidak menghiraukan cuaca panas
Gaya Mel yang mempunyai suara unik (berisi sikit nampaknya)

Usai Mel, Noor Hayati Remli pula mengambil tempat dengan puisi Sunyi Untuk Mu Palestin diiringi petikan gitar akustik oleh...saya! heheh lebih gian beb!!! Dah lama juga tidak main gitar untuk mengiringi puisi...seingat saya masa zaman di UIAM dan juga Rumah Pena.

Noor Hayati Remli dan dibelakangnya gitaris yang cas -cas maut

Kami juga turut mengundang anak muda dari Kedah untuk persembahan Shuffle. Menamakan diri mereka sebagai Hard Style Genesis, mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun menunjukkan kemahiran Shuffle. Ini merupakan kali pertama saya menyaksikan Shuffle live dan apa yang saya boleh simpulkan, ia satu aktiviti fizikal yang baik dan menyihatkan badan. Lagu kedua dan ketiga mereka menyaksikan penyertaan dari penonton dan membakar lagi ruang tari dengan persaingan skil individu. Berpeluh sakan nampaknya mereka.

Hard Style Genesis

Mas Adeki...satu nama besar yang dikenali oleh khalayak seni puisi dimana kebetulan beliau ada di program kami dan menawarkan diri untuk menyampaikan satu gurindam bertajuk Hargai Ibu Tersayang dan beliau meminta saya mengiringi gurindam itu dengan petikan gitar. Unik gurindam ini kerana melodinya adalah berasaskan zikir Subhanallah Walhamdullillah Wala Ilaha Illallah WallahuAkbar. Menarik bait - baitnya dan penuh nasihat.

Mas Adeki atau Hj Mohamad Sidek Mohamad Dollah

Selesai Mas Adeki, hon dibunyikan menandakan sesi memancing tamat. Ikan Pacu 4.8kg ditabalkan juara. Wang tunai RM3000 dibolot pemenang dan suara sumbang masih kedengaran semasa penyampaian hadiah. Susah betul bila orang iri hati dan dengki ini berlegar dalam masyarakat.

Jadi, itulah sedikit sebanyak laporan kali ini, terimakasih kepada semua yang terlibat dan kepada sesiapa yang inginkan perkhidmatan kami untuk pengurusan acara, sila hubungi kami.

Mohsen Amdan berkata : Seni dan Budaya sentiasa berkembang, yang lama harus sedia menerima yang baru dan yang baru harus menghormati yang lama.

2 comments:

Syamsulfaiz said...

wahh saudara Mohsen sudah mula bermain gitar ala-ala Eddie Vedder.

Ada shuffle tuu..hahah

Mohsen Amdan said...

Syam...ala - ala Vedder takpe jangan ala - ala Eddie Lentok