Total Pageviews

Royal Belum - bersambung

Aksi 'memilokan' bola sepaktakraw yang mengejutkan orang asli (hehehe tunjuk skill)


(Hari ke 2)
Salam
Selepas makan tengahari dan solat, kami merehat kan diri dengan pelbagai aktiviti masing - masing. Ada yang tidur (saya la tu) ada yang bergambar, ada yang bersembang dan macam  - macam lagi. 


Dapat merakam orang asli mudik ke hilir dengan rakit buluh

Jam 3.30 petang, kami bersedia untuk ke perkampungan orang asli di sungai kejar ini. Tidak berapa jauh dari kem kami, kami menyusur ke hilir dan setibanya di sana kami disambut dengan ketakutan!

Persekitaran kediaman orang asli

Ijat, (guide kami) telah turun dahulu ke gigi air bagi memulakan lawatan. Namun dia dikejar oleh 3 ekor anjing milik orang asli yang tidak mengenal kasihan. Kelam kabut dibuatnya sehingga mencicit lari Ijat dihadapan kami. Akibatnya, masing - masing takut hendak turun dari bot. Setelah ditenangkan oleh orang asli, barulah kami menjejakkan kami ke tanah. Sayangnya, tiada siapa dari kami merakamkan adegan tersebut.


Antara rumah yang dibuah dengan lebihan zink Taman Negeri Perak

Dengan penuh hati - hati, kami mulakan langkah mendekati orang asli. Sambil mata menjeling kepada anjing - anjing yang berkeliaran, kami mula mengagihkan cokelat, kek dan gula - gula kepada semua orang dikampung itu - ya...semua orang. Sudah menjadi satu amalan untuk memberi buah tangan kepada orang asli di sini, yang penting elakkan dari memberi wang tunai.


Bagi warga tua, cawat masih pilihan utama dalam pemakaian mereka

Sekiranya anda berhajat bersedekah kepada mereka, saya suka sarankan untuk memberi makanan harian seperti beras dan sebagainya, pakaian mahupun peralatan harian seperti baldi, gayung dan sebagainya.


Dah macam bagi kursus la pulak...

Berbalik kepada kami, pergerakan kami lebih kepada dalam kumpulan kecil dan berdiri rapat sesama sendiri kerana masih bimbangkan anjing berkeliaran. Kami menemu bual orang asli di sini dan diberitakan Tok Batin tiada kerana sudah 4 hari masuk ke hutan. Saya sendiri sibuk mengetik kamera dan sempat juga berbual dengan seorang tua yang saya lupa bertanyakan namanya.


Fairus bergambar dengan anak - anak kecil

Banyak perkara  menarik mengenai mereka yang boleh dipelajari. Melihat dari fizikal mereka, saya menjangkakan mereka dari susur galur Negrito. Suku ini dikenali sebagai Suku Jahai. Terdapat hampir 160 orang yang menghuni kampung ini. Kebanyakan mereka berkaki ayam dan gigi yang rongak - atas pelbagai sebab. Saiz badan yang kecil serta berambut kerinting dan yang paling menarik ialah, keadaan fizikal mereka seperti tidak sepadan dengan usia mereka - khususnya golongan tua. 


Terima kaseyyyy..

Saya bertanyakan usia lelaki tua yang saya nyatakan tadi, katanya 14 tahun. Sesuatu yang harus difahami ialah mereka kurang memahami nilai sesuatu nombor. Jadi adalah mustahil dia berusia 14 tahun. Saya cuba pergi lebih jauh dan bertanyakan pengalaman sewaktu komunis di Royal Belum, dan nyatanya dia tidak tahu kerana katanya dia belum lahir pada waktu itu. Ini bermaksud umurnya barangkali sekitar awal 40an atau penghujung 30an. Namun dia kelihatan seperti orang sudah berpencen.


Antara rakit yang digunakan

Menurut Ijat, mereka kelihatan tua kerana selain dari faktor nutrein makanan yang kurang, mereka juga terkesan dari racun pokok ipoh yang digunakan sebagai peluru sumpit. Ini kerana apabila binatang yang di sumpit jatuh ke tanah dan mati, mereka hanya akan memotong bahagian yang terkena sumpit  - sebagai contoh kaki dan akan makan kawasan yang selebihnya. Secara biologinya, racun sumpit itu pastinya merebak ke jantung sebelum ia mula merebak keanggota badan lain. Maka dengan hanya memotong anggota tertentu, ia belum tentu mampu membuatkan daging binatang tersebut bersih dari racun.

Selesai kami menemuramah mereka, anak - anak muda orang asli mengambil tempat untuk demonstrasi menyumpit. Dengan menggantung beberapa belon untuk dijadikan sasaran, 2 anak muda menunjukkan kehebatan mereka. Adalah menjadi kebiasaan mereka untuk berburu menggunakan sumpit. Monyet, tupai dan burung merupakan mangsa utama mereka. Peluru sumpit juga bukan sembarangan. Matanya diracunkan dengan racun getah pokok ipoh. Cukup kuat untuk membunuh binatang kecil.


Peluru sumpit dengan racun pokok ipoh

Demonstrasi menyumpit belon

Beberapa orang dikalngan kami telah mengambil kesempatan mencuba memperagakan teknik menyumpit. Tiada yang benar - benar mencuba kerana telah diingatkan muncung sumpit itu perlu dimasukkan ke mulut...maka tiada siapa yang mahu berkongsi air liur dengan orang asli nampaknya. Saya tidak langsung berminat untuk mencuba ketika itu kerana sibuk mengetik kamera
Beberapa anak muda bermain sepak takraw tanpa mengetahui ada 'hantu' takraw 
disekitar mereka

Dalam kesibukan masing - measing melihat sumpit, beberapa anak muda telah mengeluarkan bola takraw dan menimang bola dibelakang kami. Saya yang sangat sensitif dengan bunyi bola takraw terus kearah mereka diikuti oleh Fairus dan Aura. Bob pula bermurah hati merakamkan foto menggunakan kamera saya dan bagai orang menagntuk disorong bantal terus saya serahkan kamera kepada Bob dan terus menyertai mereka bermain sepaktakraw. Masing - masing tunjuk skill sampai tergolek Fairus dibuatnya (hahaha ada gambar ketika dia jatuh, tapi tak sampai hati nak upload ke blog ini)

Selesai beramah mesra dengan orang asli ini, kami terus pulang ke kem dan melakukan aktiviti sendiri. Saya sendiri sibuk dengan berlatih kemahiran fotografi manakala yang lain memancing, mandi, sembang dan sebagainya.

Mohsen Amdan berkata: Sepaktakraw sudah semakin global..tapi mengapa pasukan Malaysia selalu kalah sahaja?

Samseng Jalanan atau Mat Rempit - Mana lebih hina?

Masjid kini hanya jadi simbol pada agama rasmi, namun tidak banyak sumbangan jelas pada masyarakat selain bersifat ritual. Masijd menjadi eksklusif sehingga orang muda lebih senang menjauhkan diri kecuali solat Jumaat dan Hari Raya

Salam
Hampir beberapa minggu istilah Mat Rempit atau Samseng Jalanan menjadi bahan debat. Bagi saya secara peribadi ini adalah sesuatu yang memualkan. Ini kerana masyarakat terperangkap dengan isu ranting yang tidak perlu digaduhkan mahupun diberi publisiti meluas.

Apakah dengan melabelkan Mat Rempit sebagai Samseng Jalanan menyelesaikan masalah?
Ini yang seharusnya difikirkan oleh pemikir dan pembuat dasar serta penguasa dinegara ini. 
Siapakah yang menjadi pemikir di negara ini?
Bagaimanakah langkah yang diambil sebelum sesuatu itu diluluskan?
Setelah berpuluh tahun mengendali negara, adakah kemunduran ini disebabkan oleh kegagalan parti yang memerintah atau penjawat awam yang gagal memainkan peranan?
Atau kerana pakar agama dari JAKIM hanya sibuk dengan isu Halal pedagang sehingga Disko lupa hendak dijaga?


Mampukah Putrajaya yang indah menghasilkan idea bernas membangunkan negara?

Bagi saya, Mat Rempit atau Samseng Jalanan, ia tidak lebih teruk dari Mat Disko dan Mat Tak Solat!
Mat Disko mungkin tidak membahayakan nyawa dengan menunggang motorsikal, tetapi apabila mabuk lebih banyak kejahatan yang berlaku termasuk kemalangan jalanraya.
Mat Tak Solat pula walaupun ekonominya bagus, tetapi aqidahnya miskin. Miskin aqidah maka mudahlah mereka tersuntik dengan jarum nafsu yang menggila.
Apatah lagi mereka yang kurang duitnya tetapi bernafsu besar?
Menunggang EX5 Honda, tetapi mahu kelajuan umpama RXZ yamaha, maka apa akan dilakukan?
Naik taraf!!! ya naik taraf, tetapi mana mahu dapat wangnya? 
Usahalah! Halal atau haram tidak pasti kerana aqidahnya lemah!
Kalau curi motorsikal bisa memberikan wang, maka curi saja
Kalau ragut juga bisa berikan wang, maka ragut saja.

Mengapa tidak disekat Disko? Mengapa tidak disekat rokok dan arak?
Apabila muka depan suratkhabar perdana sibuk memperkatakan tentang gosip rumahtangga ustaz, dari mempersoalkan isu ekonomi, maka itu adalah bencana kepada masyarakat.
Apabila peguam mula membanjiri jalanraya, itu adalah tanda sesuatu yang tidak betul tentang sistem perundangan negara
Apabila daya saing negara sudah lemah, maka rakyat akan semakin terkebelakang.

Oleh itu, apa peranan anda dan saya?

Mohsen Amdan berkata: Sila berikan pendapat apa peranan yang sepatutnya dimainkan oleh anda dan saya dalam ruangan komen

Problem Solving & Decision Making Program

Senja indah di Pulau Pangkor

Berbincang dalam kumpulan

Salam...
22 - 24 Mei 2009
Teluk Dalam Beach Resort
Pulau Pangkor

Saya dijemput oleh 7 Layer untuk mengendalikan satu program seperti tajuk di atas bagi sebuah syarikat penyedia latihan selama 3 hari di Pulau Pangkor. Diadakan di Teluk Dalam Beach Resort, sebuah resort cantik yang berkonsep kampung Melayu yang menggamit rasa. Dikatakan sebagai salah sebuah resort terbesar di Pulau Pangkor ini menyediakan lokasi percutian yang hebat buat mereka yang mahu merehatkan minda.
Program yang dihadiri oleh 9 orang ini ialah sebuah public program yang terdiri dari 2 syarikat sekitar lembah kelang.
Penekanan program ini ialah teknik dan cara pengendalian masalah dan juga langkah yang diambil bagi mengambil keputusan yang strategik bagi pengendalian syarikat. Berikut ialah beberapa gambar yang sempat saya rakamkan.


Hao Xin sedang bermain layang - layang?

Aktiviti - Membina menara telekomunikasi


Tersenyum selepas menewaskan pasukan En. Zakaria

Jamun BBQ pada malam terakhir


Peserta bergembira dihiburkan oleh residen band


Band residen yang menghiburkan kami - Duo yang rocking!

Mohsen Amdan berkata: Pengendalian masalah yang berkesan boleh membantu anda melihat potensi yang ada dengan lebih baik.

Sabah yang indah bah..

Pelancong luar negara sering menjadikan Sabah sebagai destinasi utama di Malaysia

Salam..
dah lama saya nak tulis entri ni tapi asyik tertangguh saja.
Dalam entri yang lalu ada saya titipkan program insan cemerlang yang berlangsung di Sabah untuk Kementerian Pelajaran Malaysia.
Saya tidak berkesempatan untuk jalan - jalan kerana jadual padat ketika bekursus. Tambahan pula tiada kenderaan untuk saya pandu berjalan - jalan
Namun hari terakhir di Sabah, kami di bawa bersiar - siar seketika di bandar Kota Kinabalu - dalam perjalanan ke lapangan terbang. Pemandu pelancong kami ialah Khairul, sepupu kepada kawan adik ipar saya - Yussuf. Khairul telah membawa kami ke salah sebuah lokasi terkenal iaitu Pasar Filipina. Yaaaa...sesuai kepada kaum hawa kerana mereka pasti rambang mata melihat barangan yang dijual di sana khususnya perhiasan.

Saya pernah ke pasar itu ketika bersama arwah abang saya - Dr Yusoff Amadan. Ketika itu kami sedang transit hendak ke Lahad Datu. Seingat saya pada tahun 2003 atau 2004. Keadaan jauh berbeza kini dengan susun atur lebih kemas dan menarik - cuma bahang panasnya tetap sama.


Tukang jahit yang bersusun di dinding pasar Filipina

Isteri saya membeli beberapa gelang mutiara, Tshirt dan ole - ole lain. Saya pula sibuk dengan lensa mengetik apa saja yang menarik di mata saya. Dalam perjalanan pulang ke kereta Khairul, kami membeli kuih cincin yang terkenal serta keropok bebola ikan. Keropok testing pekedai tu banyak kali saya ulang jamah. Sedap la pulak.....

Namun, yang paling menarik mata dan lensa saya ialah kehidupan di tepi lautan ini. Masyarakat yang membanting tulang mengingatkan saya betapa bertuahnya saya kerana tidak perlu bekerja sehebat mereka. Saya tidak mampu melakukan tugasan berat seperti mereka. 


Pemandangan biasa bagi mereka yang membanting tulang di sini

Sabah merupakan negeri yang memiliki pelbagai sumber domestik yang mampu membuatkan mereka berdiri sendiri tanpa perlu bernaung di bawah nama Malaysia pada hemat saya. Dari pulau yang cantik, sumber hutan yang banyak, sumber marin dan sebagainya mampu membuatkan Sabah lebih maju. Malangnya kepimpinan yang bobrok menyebabkan rakyat yang sepatutnya dapat menikmati kekayaan dengan lebih baik, lunyai dimamah kroni sang pemerintah. Kasihan rakyat

Mohsen Amdan berkata : Masa bertunang dulu, kenduri dirumah saya masak kari daging 'Payau'. Sedap.....terimakasih orang Kalabakan yang sudi menangkap Payau untuk saya

Royal Belum lagi


Salam...
Tadi saya baru berbual panjang dengan salah seorang guide di Royal Belum. En. Ridzuan telah bertugas di sana sejak 1989. Namun perkara ini hanya diketahui oleh team Flipsio sesudah keluar dari hutan itu. Semasa kami ke sana, En. Ridzuan hanya bertindak sebagai Chef. Inilah kata pepatah jangan disangka air yang tenang tiada buaya. Banyak sungguh pengalaman beliau.

Sebelum bercerita mengenai butiran perbualan kami, saya mahu sudahkan tulisan mengenai Royal Belum. 

Hari Kedua
Kami bermula dengan persiapan diri, solat subuh dan bersarapan. Enak juga tidur malam tadi kerana beralaskan lantai wakaf; bukannya tanah.

Saya menyertai geng Royal Belum Outdoor Adventure mudik ke hulu untuk merakamkan gambar menarik di kala subuh. Pelawaan Hilmi tidak saya siakan - maklumlah mereka jurugambar senior. Aura awal lagi telah melabuhkan jorannya.

Usai sarapan, kami bersiap untuk masuk ke hutan bagi melihat lagi beberapa sira dan tempat menarik. Sesi warm up diketuai oleh Ijat dan kami cuba bersungguh - sungguh. Saya dan Fairus mula terasa kesan saiz badan yang bertambah menyukarkan sesi warm up kami...hehehe jangan obes sudah...

Sesi warm - up yang menyeksakan perut kami - sampai terjelir lidah nak angkat kaki

Selesai warm - up, kami memulakan langkah. Memakai vest keselamatan dengan hati bersemangat. Sudahnya, kami menaiki bot untuk menyeberang sungai sahaja. Ingatkan jauh sangat. Kami memulakan trekking dengan disambut pacat - ya... pacat yang banyak, Tidak sampai 5 minit berjalan beberapa orang sudah menjadi mangsa. Mujur saya mengenakan tight - fit serta minyak Kursani. Alhamdulliah tiada seekor yang berjaya mengenyangkan diri dengan darah saya. Kami mula mendaki dan melihat jenis pohon yang pelbagai. Ijat memberi penerangan tentang pelbagai spesis yang boleh dijadikan ikhtiar hidup ketika di dalam hutan.


Salah satu spesis halia

Ijat menerangkan tentang pokok gaharu

Kami ditunjukkan dengan pokok gaharu, yang menjadi sumber lumayan kepada pencarinya. Ini termasuk penceroboh dari Siam yang mendapatkan manfaat dari harga yang mahal. Sebelum sampai ke poko yang pertama lagi kami telah berhenti entah berapa kali kerana pacat yang menggila di setiap kaki kami. Sampai Ijat yang sudah lali dengan hutan pun tak tahan.


Kubang babi hutan

Perjalanan diteruskan ke sira binatang yang lebih jelas kali ini. Kami terserempak dengan kubang babi hutan (Tiada kena mengena dengan selsema babi yaa!). Pokok pelbagai spesis turut kami temui termasuk Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. 


Setelah agak lama berjalan, kami singgah di sebuah jeram untuk melepaskan lelah. Setelah meniti balak yang tumbang, kami merehatkan diri Seperti selalu, sesi mencabut pacat berlangsung. Saya kira tidak kurang dari 20 ekor sudah kekenyangan dari beberapa kaki peserta. Hilmi dan Zul pula memulakan sesi mengetik gambar semahunya. Saya juga tidak melepaskan peluang belajar sedikit sebanyak dari mereka. Air jeram yang jernih dan sejuk menenangkan kami seketika.


Pemandangan yang menyejukkan mata

Fairus dan Bob di atas kayu balak (lama sangat duduk sampai bertukar warna ke hitam putih)

Hampir setengah jam disitu, kami meneruskan perjalanan. Kali ini ke sira gajah. Pemandangan yang pelbagai menggamit kami termasuklah kesan geselan badan gajah ke batang pokok. Barulah saya tahu bahawa kesan lumpur pada batang pokok adalah kesan laluan gajah.

Kesan geselan badan gajah pada batang pokok (Perhatikan kesan tanah)

Sampai di sebuah permatang (bukan permatang pauh yaa..) kami berhenti merehatkan badan. Dakian yang agak curam kali ini benar - benar melelahkan. Bob sudah tidak tertahan lagi dan terus merebahkan diri ke perdu pokok tanpa mempedulikan pacat yang sedang menjamu selera.

Bob yang tumbang

Si pemegang kamera pantas mengetik merakam pelbagai aksi mencabut pacat.

Selepas berehat, kami teruskan langkah ke satu kawasan yang sering menjadi tumpuan burung Enggang. Ijat memberitahu yang spesis Enggang di sini lebih banyak dari Sarawak!! Tetapi hajat kami melihat Enggang dikawasan itu tidak kesampaian kerana bunyi bising yang dihasilkan oleh kami sendiri. Kecewa....

Selepas meninjau keadaan panaroma yang mengasyikkan, kami di bawa ke sebuah jeram...laaa...jeram yang saya dok mandi dengan HIlmi dan kawan - kawan jurugambar. Apa lagi ber debusshhhh la kami. Rupanya geng yang tidak menyertai trekking telah lebih awal berdebuush dulu. Sambil mandi ni ramai juga yang asyik mencabut pacat. Tetapi berita tidak seronoknya, ahli kami yang paling muda iaitu anak En. Zaini di timpa kemalangan. Duri tajam telah menusuk antara kuku dan isi....Adduuussss..kita melihat pun tak sanggup inikan pula budak usia 14 tahun. Kasihan.

Usai mandi, kami berangkat ke kem semula. Tetapi kami yang dihujung ini terpaksa menyusur tebing kerana air cetek. Meremang juga bulu roma kerana lalang setinggi pinggang. Macam - macam ada beb..risau si tedung menyelinap pula. Terjumpa pulak lubang seakan sarang tedung lebih merisaukan saya. 


Tapak apa pulak ni?
Hampir ke gigi air, kami terpaksa menginjak batu besar dan saya yang dibelakang sekali ternampak satu kesan tapak kaki yang tidak dikenali...aaaa sudah..apa pulak ni...

Bersambung

Mohsen Amdan berkata : Istana Bukit Chandan bukan sahaja terkenal dengan kontroversi DUN tetapi rupanya ada menyimpan sejarah ADUKA..apakah ADUKA? Nantikan...

Program Pembangunan Insan - Kementerian Pelajaran Malaysia



Salam...
3 - 6 Mei 2009
Beringgis Beach Resort Papar Sabah

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjemput Lilcent untuk mengendalikan program Pembangunan Insan Cemerlang bagi kakitangan sekitar Sabah untuk kelompok gred N1.
Program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam ini menumpukan aspek pembangunan diri bagi kakitangan sokongan di sekolah.


Pada mulanya saya agak bimbang masalah bahasa pertuturan yang bakal sukar mereka fahami. Maklumlah saya tidak cekap berbahasa telo Sabah ditambah pula saya sering bertutur dalam keadaan yang agak laju. Namun, segalanya berjalan lancar. Peserta yang pada mulanya agak malu - malu akhirnya menitiskan air mata dihari terakhir. Bukan kerana kesan pertuturan atau ceramah saya rasanya, tetapi kesan dalam diri yang dirasai oleh peserta. Bukanlah air mata menjadi ukuran namun ia turut menjadi penanda kepada sesuatu telah menyentuh hati nurani mereka.


Roslan sedang menulis pembentangan

Salah seorang peserta yang paling ceria, saudara Roslan telah diuji Allah dengan kematian ibunya, di malam terakhir kami berkursus. Keadaan menjadi sugul kerana dia merupakan watak penting dalam kursus kami.


'Bos', 2 dari kiri merupakan seorang penternak ayam berjaya dikampungnya 

Apapun, Lilcent ingin mengucapkan ribuan terimakasih kepada pihak KPM kerana sudi memberi peluang kepada kami mengendalikan program ini. Semoga semua yang terlibat mendapat manfaat dari pengisian yang diberikan.


Berikut adalah sebahagian dari testimoni peserta terhadap program ini

Paling terbaik dan berpuashati dengan penceramah”.Zainuddin B. Ebin@Tibin

Saya akan memaklumkan kepada yang berminat bahawa kursus ini amat berkesan dan dapat memberi panduan bagaimana untuk menjadi seorang insan yang cemerlang”. Dabnah

Kalau boleh pihak penganjur teruskan program ini dan menghubungi semula agar kami sentiasa diberi pendedahan berhubung perkara ini”. Nora Nicholas

Satu program yang amat berkesan”. Admian Bin Kasinan (Billy)

Perkara utama yang akan saya katakan kepada rakan sekerja ialah saya telah sedikit sebanyak mendapat perubahan sikap serta cara saya bekerja selama ini dan mendapat ilmu yang banyak”. Rosia Nora Bakilauh

Program ini sangat baik dan seseorang tidak rugi mengikuti program ini kerana banyak ilmu kita dapati. Contohnya, seseorang itu akan bertrampilan, keyakinan diri, cekap bekerja dan berani, berkomunikasi dengan orang lain.”. Dayang

Program ini memberi kesan dan manfaat yang sangat dalam dan bermakna kepada yang mengikuti program ini.Maka dengan itu sertailah.” Inawaty Abd Ghani

Semoga peserta program ini akan mengaplikasikan segala yang dipelajari bagi membantu perkembangan diri. Selamat Maju Jaya

Mohsen Amdan berkata: Lunaskan tugasan anda sebaiknya tidak mengira apa status jawatan anda sekalipun

Program Jom Jadi Usahawan - Jabatan Belia dan Sukan Seputeh

Fairuz (kiri) dan Asri - antara usahawan muda yang perlu dijadikan contoh

Salam...
2 - 3 Mei 2009
Kompleks Rakan Muda Klang

Lilcent Telah diamanahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Kawasan Seputeh untuk mengendalikan satu program keusahawanan. Kami telah diberi kebebasan untuk menentukan halatuju program ini. Maka kami melihat perlunya program yang telah sekian banyak begini diadakan diberi nafas baru. Maka Jom Jadi Usahawan ini pun diilhamkan.

Pendekatan yang digunakan ialah memberi inspirasi kepada golongan muda menceburi bidang usahawan ini. Tidak kira apa juga bentuk perniagaan yang bakal diusahakan yang penting mereka berasa terpanggil untuk merancakkan ekonomi semasa.

Program dimulakan dengan kehadiran 39 pelajar UIAM dengan ditemani oleh Fellow Mahallah Hafsa yang juga isteri kepada teman baik saya saudara Suhaimi Salam. Jangkaan awal peserta bakal mencecah 80 orang tetapi takdirnya hanya 43 sahaja iaitu pertambahan 4 orang peserta dari kawasan Seputeh. Hikmahnya ialah, bilik latihan kami agak kecil maka lega juga hati saya.
Kawasan Kompleks ini juga memberi semangat kepada saya kerana keadaan dan kemudahannya jauh lebih baik dari Kompleks Belia di Kampung Pandan mahupun Bukit Kiara.


Sesi awal dikendalikan oleh saya sendiri di mana saya memberi taklimat awal serta mind setting kepada laluan program ini. Jam 11.30 pagi sesi disambung oleh founder Symbian di Malaysia iaitu saudara Asri Al - Baker yang banyak berkongsi maklumat menarik dengan peserta khususnya dalam industri ICT - secara spesifiknya dunia mobiliti. Peserta kelihatan teruja kerana ramai yang berlatarkan kejuruteraan dan sains komputer.


Sesi petang disambung pula oleh saudara Fairuz Md Akir - Pengarah Edaran Arif Medik yang merupakan lulusan dari UIAM bidang komunikasi dan kini usahawan berjaya dalam perniagaan berkaitan perubatan. Satu transformasi yang hebat (lagi hebat dari Akademi Fantasia) yang semakin mengujakan peserta tambahan apabila ditunjukkan ulat - ulat peliharaan beliau yang digunakan untuk rawatan luka akibat kencing manis.


Bengkel - Mengenalpasti sektor berdaya maju

Sesi petang hingga ke malam peserta dikendalikan oleh saya sendiri - menyentuh pilihan perniagaan yang ada serta keperluan mengenalpasti sektor yang berdaya maju. Sesi pada malam itu berakhir sekitar 11 malam. Saya terpaksa bergegas pulang kerana keesokkan harinya saya perlu berangkat ke Sabah.

Sesi 3 Mei dikendalikan oleh sahabat saya Kamarul yang juga graduan UIAM. Sesi pagi dimulakan dengan Cik Huraizah  - Pegawai MARA Daerah Klang yang berkongsi maklumat berkaitan peluang perniagaan dan pembiayaan menerusi MARA. Sesi selanjutnya oleh Kamarul dan petangnya, sahabat saya Zaki Rafaie pula mengambil alih dengan simulasi pelaburan.

Secara keseluruhan program ini berjalan lancar walaupun terdapat beberapa kekurangan yang InsyaAllah boleh di atasi di lain masa. Semoga peserta mendapat manfaat dan semakin teruja untuk menceburkan diri dalam bidan keusahawanan ini.

Mohsen Amdan berkata: Terimakasih kepada semua yang terlibat dan semoga ketemu lagi. Selamat Maju Jaya

Pulau Pinang - masih menyerlah di bawah PR

KOMTAR kekal menjadi mercu tanda Pulau Mutiara

Salam..
9 Mei 2009 
Kami sekeluarga ke Pulau Pinang lagi - kali ini dengan tujuan menziarahi saudara yang ditimpa kemalangan di mana anaknya disyaki menjadi mangsa kelalaian pusat jagaan kanak - kanak. Kami yang bertolak tengahari sememangnya menjangkakan jalan sesak kerana hari cuti menjadikan Pulau Pinang antara destinasi tumpuan pelancong.

Saya mengambil keputusan menaiki feri untuk ke pulau kerana ingin memberi peluang pada anak - anak saya menikmati pemandangan laut serta bercadang merakamkan beberapa foto yang cantik.
Seperti dijangka, laluan ke feri sesak teruk. Hampir 20 minit barulah tiba giliran kami menaiki feri.

Bot - bot nelayan kecil yang masih beroperasi

Marina yang masih menerima kunjungan kapal dan bot mewah

Setiba di jeti pulau, jam sudah pun menunjukkan jam 2.15 petang, maka waktu melawat di hospital Pulau Pinang telah pun tamat. Kami mengambil keputusan untuk makan dahulu lantas saya menghubungi Azeli - wartawan hebat Kosmo yang bertugas di pulau. Dengan maklumatnya, saya menghala ke salah sebuah kedai nasi kandar yang terkenal di sini iaitu Kedai Nasi Kandar Line Clear. Layanan yang sangat mesra, dengan tag line Line Clear yang selalu diulang - ulang oleh kakitangan kedai membuatkan orang ramai suka makan di sini. Walaupun kedainya terletak di celah lorong, tetapi aspek kebersihan dan kemudahan dijaga rapi.


Laluan masuk ke Line Clear

Orang kuat Line Clear...macam hip - hop duo pun ada juga

Ketika mata sedang asyik mencari tempat melabuhkan punggung, saya terpandang satu wajah yang amat saya kenali. Mula - mula macam segan nak tegur, tapi saya memberanikan diri.

"Abang ni abang Hisham kan?"
"Ya saya, kau kenal aku ke?"
"Mahunya tidak, tukar tiub ye tak?"
"hahahahaha...kau pun baca blog aku?"

Tuan punya tukartiub.blogspot.com - gaya dari Jemapoh ke Manchestee barangkali

Itu sebahagian dialog saya dan Hishamuddin Rais - satu watak penting dalam lanskap politik negara. Walaupun beliau tidak bertanding dalam mana - mana parti, tetapi tulisan dan pandangannya sering menarik minat ramai. Tak sangka pula yang saya dapat ketemu dengan beliau di Line Clear ni. Dapat juga saya merakamkan fotonya. Usai perbualan, saya dan keluarga terus memesan makanan. Puas juga makan dengan pelbagai pilihan.

Kami teruskan perjalanan dan apa yang dapat saya simpulkan ialah, Pulau Pinang masih dalam keadaan baik walaupun ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Walaupun pelbagai isu kedengaran namun ia merupakan lumrah sesuatu pentadbiran kerajaan. Pelancong masih ramai dan perniagaan masih dalam keadaan baik.

Mohsen Amdan berkata: Memang kari di sini power...sampai balik rumah pun tangan masih bau kari