Total Pageviews

APA YANG DINILAI OLEH BAKAL MAJIKAN DALAM SESI TEMUDUGA?



Assalamualaikum wbt.
Dalam 3 tahun kebelakangan ini saya lebih kerap menyebut perihal kesesuaian profil dalam pemilihan kakitangan untuk sesebuah organisasi. Malah dalam kajian dari pelbagai pihak membuktikan bahawa organisasi bakal menanggung kerugian yang amat teruk sekiranya mereka menggajikan orang yang salah. Dalam satu kajian dari Harvard Business School pada 2013 menunjukkan sesebuah organisasi bakal kerugian sehingga 38 kali ganda dari gaji seseorang yang mereka tersilap pilih. Kalau gajinya RM1000, maka kerugian bakal mencecah RM38000, itu kalau gajinya RM1000. Bagaimana pula kalau tersilap pilih menteri?

Baiklah, memandangkan kita sudahpun memasuki Disember 2015, saya menjangkakan ramai dikalangan kita mula berkira  -kira untuk mencari peluang kerja ditempat lain menjelang 2016. Tidak salah bertukar kerja, asalkan ianya HALAL, BAIK, BAHAGIA dan SERONOK, Oleh itu saya kongsikan beberapa perkara yang anda perlu mabil tahu mengenai:
APA YANG DINILAI OLEH BAKAL MAJIKAN DALAM SESI TEMUDUGA

1. Perawakan
Apakah perawakan? Perawakan ialah maklumat yang dizahirkan oleh diri seseorang berdasarkan rupa paras, penampilan, bahasa tubuh dan sebagainya. Secara mudahnya, berdasarkan perawakan ini, bakal majikan akan menilai
a. Susuk tubuh anda - Besar, kecil, sederhana, tinggi, rendah dan sebagainya
b. Kesesuaian profil - Ketokohan memimpin (sekiranya jawatan berkaitan kepimpinan), rupa paras (jika kerja berkaitan rupa seperti model, pramugara/i , khdimat pelanggan, penjaga keselamatan dan sebagainya) dan aspek lain yang sudah pun berada dalam senarai penemuduga.
c. Bahasa badan (posture dan gesture). Bagaimana anda bergerak sepanjang sesi temuduga amatlah diperhatikan oleh penemuduga. Mata mereka menjadi sangat sensitif dengan setiap pergerakan anda.

2. Kelayakan - Akademik dan Pengalaman
Dalam dunia maklumat dihujung jari ini, anda akan di'siasat' oleh mereka dengan pelbagai kaedah. Selain sijil - sijil kelayakan yang anda miliki dan maklumat di dalam 'resume' yang anda berikan, butiran 'timeline' anda di media sosial juga adalah sumber mudah buat mereka memahami anda. Oleh itu, muatnaik perkara yang relevan saja ke akaun media sosial anda jika anda ingin menjadi calon yang memiliki nilai kebolehpasaran tinggi dalam dunia hari ini.

3. Kemampuan komunikasi yang baik
Penemuduga hari ini juga sedar keperluan memberikan calon rasa selesa semasa sesi temuduga berlangsung. Ini adalah kerana calon yang tenang saja mampu memberikan maklumat yang baik semasa sesi temuduga. Jika calon dalam keadaan tertekan, kebolehan calon yang sebenar tidak akan berjaya dicungkil. Ketahanan mental calon ketika temuduga bukanlah ukuran kebolehan calon melaksanakan tugasannya nanti.

4. Kesesuaian calon
Kesesuaian calon di sini merujuk kepada kemampuan calon 'DI LIHAT' sesuai dengan budaya kerja sedia ada di dalam organisasi berkenaan. Ingat! Manusia akan lebih mudah tertarik kepada orang yang memiliki ciri hampir sama dengan mereka. Contohnya, jika budaya syarikat itu mementingkan ciri agama yang tinggi, maka calon yang turut memiliki ciri sama pasti akan diberi perhatian lebih.

Secara amnya, ini adalah tiga sudut besar yang akan dinilai oleh penemuduga. Meskipun senarainya hanya empat, tetapi pecahan setiap satu ini besar. Penemuduga juga akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengenalpasti calon yang sesuai. Apa juga kaedahnya, ia akan membawa kepada 4 perkara di atas.

Moga bermanfaat. Wallahu A'lam
 


Anugerah Sukan Untuk Semua WPKL - Kategori Pemimpin Lelaki 2015




Assalamualaikum wbt

Pertamanya saya panjatkan sepenuh keyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan kepada saya sama ada kecil atau besar atas kerana Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.
Dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) 2015 bagi Kategori Pemimpin Lelaki dan Kelab Terbaik bukanlah satu perkara mudah. Tahun 2014 saya dan Kelab Masyarakat Bolarotan (MBR) di minta menghantar pencalonan namun saya membuat keputusan untuk menolak kerana berasakan masanya masih belum tiba. Ini adalah kerana pencapaian sehingga 2014 bagi saya secara peribadi tidaklah begitu mengkagumkan. Maka, saya menolak dengan baik.

Bersama Pengulas Rasmi MBR Rizal Ramly dan AJK MBR Mohd Zaidi Basir

Tahun ini ketika saya memutuskan untuk menerima pencalonan bukanlah bermaksud pencapaian sudah hebat! Tetapi atas rasa penuh kerendahan hati betapa pihak lain melihat sisi baik yang telah kami buat dan bagi mereka itu sudah melayakkan untuk dicalonkan maka saya membuat keputusan untuk menerima pencalonan tersebut.
Ketika majlis penyampaian anugerah berlangsung, saya dan keluarga tiba lewat kerana baru selesai penganjuran Kejohanan Sepakraga Tuju 2015 yang kali pertama dijalankan di Bukit Kiara. Maka AJK MBR iaitu Mohd Zaidi Basir sudah pun ke atas pentas menerima hadiah bagi pihak saya. Sambil menyusup dari tepi pentas, saya di arahkan bertukar tempat dengan Zaidi dan kesannya, Pengarah JBSKL yang menyampaikan hadiah terkejut bila melihat orang lain pula di pentas!



Sejujurnya, saya terima anugerah ini dengan penuh kerendahan hati. Saya percaya lebih ramai pemimpin hebat di luar sana berbanding saya terutama berkaitan dengan sukan. Mungkin rezeki saya kali ini adalah ingatan buat diri yang lemah ini untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada. Saya percaya, anugerah ini bukanlah mengenai kelebihan atau kehebatan saya sebagai pemimpin tapi sebaliknya, Allah menutupi aib dan kelemahan saya dari dilihat orang. Pastinya jika aib dan kelemahan saya terdedah, maka tiada apalah saya di mata manusia yang lain.

Saya juga berharap dengan anugerah yang saya terima ini, akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang diluar sana untuk berusaha dengan lebih gigih. Suatu ketika dulu ketika MBR ditubuhkan, ramai saja yang memperlekeh dan mempersoal kewujudan usaha kecil dalam memartabatkan sukan sepaktakraw ini. Bukan niat untuk membuktikan tanggapan mereka salah tetapi untuk menunjukkan bahawa tiada yang mustahil dalam dunia ini apabila ianya mendapat keizinan dari Allah SWT.


Terimakasih buat isteri saya Wan Fatahhiyah Remli atas segala pengorbanan yang beliau berikan untuk saya berada ditahap sekarang. Saya sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan saya isteri sehebat beliau.

Terimakasih juga buat semua ahli MBR yang tak putus - putus berusaha memartabatkan sukan sepaktakraw khususnya. Tanpa usaha anda semua, MBR tidak akan dihormati sebegini rupa.

Terimakasih juga buat Kementerian Belia dan Sukan serta Pejabat Belia dan Sukan WPKL atas pengiktirafan ini. Insya Allah, saya akan berusaha dengan lebih gigih kerana pastinya, anugerah tidak akan hadir tanpa tanggungjawab.

Alhamdulillah!

Cara Mengetahui Aib Sendiri dari Imam Al-Ghazali menerusi karyanya Ihya Ulumuddin

Dengan apa yang berlaku dalam perkembangan semasa, penggunaan media sosial kini juga tidak lari dari menjadi satu alat propaganda hebat yang mana salah satu yang sering dituliskan / dimuatnaikkan / dikongsikan ialah perkara berkaitan AIB. 


Aib ialah satu sisi diri kita yang mana ia melibatkan perkara yang buruk, memalukan atau menyebabkan reputasi diri jatuh pada persepsi orang lain. Dalam perihal pendedahan aib ini, tiada siapa pun yang terkecuali di mana selagi orang disekelilingnya mempunyai akses kepada media sosial, risiko di aibkan ini bermula dari sekecil – kecil anak hinggalah kepada sebesar – besar pemimpin.

Malah, guru saya pernah berpesan bahawa kita jangan lekas bangga dengan pencapaian diri kerana apa yang berlaku sebenarnya Allah telah menutupi aib kita dari pengetahuan orang lain. Apabila aib kita diketahui orang, apa jua pencapaian sudah tidak membawa makna lagi.

Senario politik Malaysia hari ini juga kebanyakannya berkisar tentang pendedahan aib. Kisah buruk silam, dibongkar – sama ada ia berkait dengan keadaan sekarang atau tidak ia menjadi perkara kedua atau ketiga. Terkini, Perdana Menteri  Najib Razak turut menerima kesannya. Persepsi umum kepada beliau jatuh merudum apabila satu demi satu pendedahan dibuat berkaitan korupsi oleh pelbagai pihak dan nampaknya, sekuat mana pun dia menafikan ia tetap gagal memadamkan keraguan rakyat. Lihat sahaja status beliau di laman sosial, walau mengenai apa yang ditulis pasti komen negatif beribu – ribu akan masuk. Natijahnya, Najib Razak mungkin kini orang yang paling tidak nyenyak tidur di Malaysia hati ini.

Baiklah, apa yang kita perlu lakukan dalam menjaga aib kita? Saya petik dari buku besar Ihya Ulumuddin karya Imam Al – Ghazali atas kupasan mendalam oleh Sa’id Hawwa mengenai cara mengetahui aib sendiri. Amat penting mengetahui aib sendiri kerana ia akan memudahkan kita mengambil langkah segera sebelum ianya tersebar dan menjatuhkan maruah kita.  Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa adalah perlu seseorang hamba Allah itu memiliki Basirah (penglihatan dalam mata hati) yang tajam. Kerana ia kana membantu kita melihat aib diri sendiri.

Ada 4 kaedahnya.

    1.    Duduk di hadapan orang alim / sheikh yang mengetahui berbagai aib jiwa dan peka terhadap kecacatan yang tersembunyi. Sheikh / orang alim ini akan memberitahu kita mengenai aib diri kita dan bagaimana memperbaikinya. Bagaimana mencari sheikh sebegini? Pastinya kita perlu mendekati majlis ilmu terutamanya di rumah Allah. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Al Fatih yang hebat mempunyai Sheikh Aaq Syamsuddin yang menjadi sumber rujukan beliau dalam membina sahsiah diri.

     2.   Imam Al – Ghazali menyarankan kita untuk mencari seorang teman yang jujur, sangat mengetahui dan kuat beragama serta mampu menjadi ‘pengawas’ diri agar selalu memerhatikan akhlak kita. Andai ada akhlak kita yang tercela, maka sahabat inilah yang akan mula – mula sekali menegur kita. Pemimpin – pemimpin besar khususnya perlu mempunyai sahabat sebegini. Pemimpin jika hanya ramai sahabat yang fikirannya bersandarkan dunia, keseronokan, harta, maka amat mudah pemimpin ini hanyut dan lalai. Dalam hal ini, ayuh lihat senarai orang yang menjadi sahabat kita, bagaimana agaknya mereka? Adakah mereka mempunyai kekuatan menegur kita atau hanya seronok – seronok sahaja?

    3.   Hendaklah kita memanfaatkan lisan para musuh yang mengetahui aib diri kita. Pastinya kita akan dapat lebih manfaat dari seseorang yang mengetahui aib kita dari sekumpulan kawan yang hanya tahu memuji – memuja kita melambung – lambung. Dalam hal ini, pemimpin perlu lebih bersedia mendegar kritikan dan bukannya menyekat kritikan itu sampai kepadanya. Malang sekali ramai ahli parlimen yang ponteng tugas, tidak mahu membaca maklumbalas malah ramai saja yang buat – buat tidak dengar kritikan apatah lagi rintihan rakyat.

    4.   Berusahalah berhubung dengan masyarakat sekeliling. Jangan hanya suka buat hal sendiri. Sebagaimana kita biasa mendengar kata – kata ‘Seorang Mukmin bagaikan cermin bagi Mukmin yang lain” – akhlak masyarakat juga adalah cerminan aib diri kita. Setiap keburukan yang dilakukan oleh masyarakatnya perlulah dibersihkan terlebih dahulu dari dirinya. Lihatlah sahaja hari ini masyarakat bagaikan berbangga mendedahkan aib sendiri dilaman sosial : foto, video, status Facebook yang sangat peribad dan sebagainya. Maka setelah melihat ini semua, kita perlu berusaha membaiki diri terlebih dahulu untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Semua yang tertulis di atas ini adalah perkaitan dalam perihal penyucian jiwa. Jiwa yang suci akan menzahirkan akhlak yang terpuji. Akhlak yang baik akan mampu menutupi aib diri yang tercela. Berdoalah kepada Allah agar aib kita dilindungi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Wallahu A’lam.

Ihya Ramadhan 2015 - Kereta idaman semua...

Alhamdulillah...
Ramadhan muncul lagi.
Andai kita berpeluang melalui Ramadhan 2015 ini maka bersyukurlah.
Bukan semua orang yang kenali berpeluang merasai pengalaman ini.
Namun, ini juga mungkin Ramadhan terakhir kita.
Maka, kita perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.

Sahabat semua...

Manusia hari ini ramai sekali yang memandu kereta.
Jualan kereta juga bertambah dari tahun ke tahun, lihat sahaja betapa pantas nombor plat bertukar di jalanraya.
Selera manusia terhadap kereta juga pelbagai.
Amat sukar kita menentukan apakah jenama kereta terbaik di dunia. Kalau jenama pun susah, apatah lagi jenis model keretanya.
Baru sahaja kita pasang angan - angan mahu memiliki model kereta yang itu, masuk pula model terbaru. 
Baru sahaja kita kembang hidung memandu kereta baru kita..
Esok ada pula yang memandu yang lebih baru.

Obsesnya kita terhadap kereta ini sehinggakan ramai menjadi pakar kereta tanpa perlu ke universiti.
Bermacam - macam tajuk majalah berkaitan kereta dari dalam dan luar negara yang menjadi rujukan kita.
Sebut sahaja satu perkara, sudah kita tahu buatan dan modelnya.
Sebut sahaja satu kerosakannya, sudah kita tahu apa puncanya.
Hebat sekali...
Sampaikan kita pergi mencuba pandu model - model baru..meski tidak berhajat memilikinya.
Kerana apa?
Kerana ingin tahu dan merasa...
Nah, itulah motivasi diri yang kuat terhadap kereta...ingin tahu dan merasa.

Bangga sekali kita jadi rujukan orang apabila ditanyakan perihal kereta.
Seronok jiwanya apabila dipuji cantik dan hebatnya kereta kita.

Buat manusia penggila kereta;
Ada yang mahu sound system padu,
Ada yang mahu rim kilat berkilau
Ada yang mahu ekzos sebesar longkang
Ada yang mahu enjin mengaum deras
Ada yang mahu kerusinya selesa
Ada yang mahu ia cukup luas

Apa sahaja mahumu mengenai kereta...pastikan jangan terlupa
Ada satu kereta yang punyai ciri hebat...

Kereta ini tersedia pemandunya
Kereta ini luas ruangnya
Kereta ini memainkan CD tanpa diminta
Kereta ini mengalu - alukan kita.

Nama kereta ini ialah KERETA JENAZAH


Sahabatku yang mulia...

Sehebat mana pun kereta kita gunakan sehari- hari..
Akan tiba satu masa kita akan menaiki KERETA JENAZAH ini.
Namun bergantung jua bagaimana nasib kita.
Ada yang tidak berpeluang meskipun punya harta
Ada yang tidak sempat kerana jaraknya...
Ada yang tidak layak pun menaiki kereta ini...

Sahabatku semua,
belilah apa saja kereta yang kau mahu.
bukanlah aku menghalangnya
Namun, dalam setiap pembelianmu itu ada tanggungjawabnya.

Sahabatku yang dikasihi
Ayuhlah kita gunakan Ramadhan 2015 ini sebagai lokasi mengumpul dana
Bagi memastikan ketika kita naik KERETA JENAZAH itu nanti kita dalam keadaan yang bersedia
Dalam menuju tempat abadi, bekalannya harus mencukupi.
Usah risau mengenai minyak dan petrol untuk di isi
Kerana ketika itu sudah ada yang membayarnya
Beruntunglah naik kereta idaman secara percuma!

7 langkah meningkatkan daya kreativiti.

"Bro, kau ni macam - macam projek ya...kejap itu, kejap ini...mana dapat idea ek?"

Selalu juga saya ditanya sebegini atau yang lebih kurang maksudnya. Teringat semasa saya menerima Anugerah Belia Negara WPKL beberapa tahun lalu dalam kategori Kemahiran dan Inovasi, saya turut ditanyakan oleh soalan yang sama. Lebih aneh bila saya ke pentas unttuk menerima hadiah tanpa ada yang bertepuk tangan kerana saya satu - satunya pemenang yang bukan ahli Majlis Belia Malaysia.

Baiklah...bagaimana mahu menjadi kreatif? Ilham dan idea datang dari mana?

Sememangnya pertama sekali sandarkan semuanya pada Allah SWT. Allah yang memberi manusia ilham dan idea dalam melakukan sesuatu. Tiadalah kuasa yang lebih besar dari Allah SWT.

Nah, itu kuasa Allah, bagaimana pula dengan usaha dari kita sebagai manusia? Saya sendiri tiada teknik spesifik sejak dahulu dalam proses menjadi kreatif. Saya selalunya berpegang kepada 'KESEMPITAN ADALAH ASAS KEPADA KREATIVITI'. Namun setelah saya meneliti hasil tulisan Jenny Hare, seorang seniman profesional menerusi bukunya UNLOCK YOUR CREATIVITY, saya mula menyedari sememangnya itulah yang berlaku dalam hidup saya cumanya, ia kadangkala tidak tersusun seperti mana yang ditulis oleh beliau. 



Baiklah, saya kongsikan hasil nukilannya. Untuk membina daya kreativiti, menurut beliau terdapat 7 prinsip. 
1. Percaya bahawa anda adalah kreatif.
2. Percaya kepada kemampuan anda dalam menzahirkan kreativiti dan ia memberi mampu memberi manfaat kepada anda.
3. Secara konsisten, luahkan dan hasilkan idea kreativiti anda kepada bentuk sebenar. (Sekiranya ada ilham melukis atau menulis, maka terjemahkan ia kepada bentuk tulisan atau lukisan)
4. Teruskan sifat ingin belajar dan memperbaiki kelemahan serta kekurangan secara berterusan
5. Terbuka kepada idea - idea baru tanpa mengira sumbernya
6. Menghargai dan menghormati daya kreativiti orang lain
7. Secara konsisten menggalakkan diri anda menghargai daya dan hasill kreativiti anda dan percaya akan hasil yang telah dibuat.

Saya dapati 7 prinsip ini ada kebenarannya. PERCAYA adalah satu perkataan yang besar di mana ia adalah langkah awal dalam memaksimumkan kreativiti. Ramai yang tidak ingin melakukan sesuatu yang kreatif kerana kurang percaya kepada idea mereka sendiri. Mereka memandang rendah kepada kemampuan diri sendiri dan ini adalah satu kesilapan besar.

Bukankah banyak idea - idea pelik kini menjadikan pemiliknya kaya raya?

Apa yang kau cari sebenarnya?



Aku punya seorang teman
Rumahnya besar berbilik 4
Bayaran bulanannya juga tidaklah murah
Namun dia hanya berada di rumahnya itu
Tidak lebih 5 jam sehari

Aku punya seorang teman
Kereta mewahnya sering mengundang pujian
Rim besarnya memukau mata melihat
Namun setiap hari dia merungut
Jalanraya teruk berlubang - lubang

Aku punya seorang teman
Jawatannya hebat pejabatnya besar
Di bawahnya berpuluh kakitangan
Mengendali setiap satu sisi kerjanya
Namun dia masih mengeluh
Tidak mempunyai masa yang cukup

Aku punya seorang teman
Dilihat bahagia beristeri rupawan
Semua memuji tuah nasib di badan
Namun seringkali sahaja
Dia terpukau gadis bukan mahramnya

Aku punya seorang teman
Suaminya tampan berkerjaya hebat
Solat sempurna wajib dan sunat
Namun sering sahaja dia
Membuka aib teman sekatilnya

Wahai teman - temanku sekalian...
Tanyakan diri kita ini
Atas setiap nikmat diberi tuhan
Adakah kita merasai dan mensyukuri
Atau kita masih tercari - cari 
Apa yang bukan tertulis buat kita
Walhal apa yang sudah ada di tangan
Jauh lebih cukup untuk digenggami

Maka kini giliranku pula
Untuk bertanya..

APA YANG KAU CARI SEBENARNYA?

Analogi Kepimpinan - Kapcai vs Superbike

Melihat kepada pelbagai krisis kepimpinan mutakhir ini di Malaysia yang melibatkan kesemua parti politik dalam pelbagai bentuk, antaranya;

1. UMNO - Tun Mahathir semakin lantang mempersoalkan kewibawaan Najib
2. Tuan Guru Haji Hadi yang dibelasah teruk oleh pelbagai pihak dan lapisan ahli PAS
3. MIC yang bercakaran pucuk pimpinannya
4. Gerakan pemimpin muda yang semakin agresif dalam MCA dan membawa haluan baru
5. DAP yang dilihat tidak tetap pendirian di dalam Pakatan Rakyat
6. PKR yang masih terperangkap dengan bentuk kepimpinan DSAI dan semakin kurang menyengat apabila DSAI ke Sungai Buloh dan hanya Rafizi di lihat kedepan.

Dan macam - macam lagi....

Analogi yang ingin saya bawakan di sini ialah berkisar dengan salah satu perkara kegemaran saya iaitu motorsikal.

Perasan atau tidak, banyak kemalangan melibatkan motorsikal berkuasa tinggi atau superbike berlaku di selekoh? Jika berlaku di laluan tegak biasanya ia adalah perkara diluar kawalan penunggang sendiri seperti kenderaan lain tiba - tiba berhenti atau ada kenderaan lain melintas secara tiba - tiba. Tetapi kemalangan di selekoh adalah selalunya atas kelemahan penunggang sendiri kecuali - jalan berminyak dan mereka tidak menyedarinya. Kemalangan di selekoh selalunya berlaku dalam keadaan superbike ini tidak berjaya melepasi selekoh itu dengan baik dan kadang - kadang terus tegak menghentam tembok! Mengapa begini sedangkan mereka adalah penunggang kapcai yang baik?

Begini..

Kuasa motorsikal kapcai yang kecil (maksimum 150cc) adalah lebih mudah dikawal dan ini dibantu dengan saiz kapcai yang kecil. Maka untuk mencelah, mencilok dan mengambil selekoh adalah mudah kerana handle kapcai yang lebih luas sudut pusingannya (lebih kurang sama macam basikal) membolehkan penunggang menyesuaikan keadaan dengan mudah. Maka untuk segera cekap dengan kapcai tidaklah memakan masa yang lama terutama buat mereka yang sudah cekap dengan basikal. 
Jelas sekali asas pengendalian kapcai ialah basikal.

Berbanding superbike, daya kekuatan yang jauh lebih besar, saiz dan berat yang berganda dan sudut handle yang lebih kecil memerlukan bentuk latihan yang berbeza. Kedudukan badan yang betul membantu mengurangkan kelenguhan malah daya agakan perlu lebih sensitif. Untuk melayan 'corner' dengan baik penunggang perlu tahu bagaimana menggunakan berat badan untuk membolehkan badan superbike turut turun bersama meleper di jalanraya.

Nah..mari bandingkan kedua - duanya : Motorsikal dan Kuasa kepimpinan


Kuasa motorsikal umpama kuasa kepimpinan. Makin besar kuasa motorsikal maka makin berpengaruhlah seseorang pemimpin. Penunggang superbike lebih diperhati orang berbanding penunggang kapcai kan? Makin kecil kuasa kapcai makin selalu tertinggal di belakang. Makin kecil kuasanya makin kurang menarik perhatian. Maka cara kapcai menarik perhatian antaranya ialah dengan memasang ekzos yang lebih bising. Meski tidaklah meningkatkan kelajuan sangat tetapi bisingnya menarik perhatian! Faham sekarang kenapa ada sesetengah pemimpin kecil cuba menonjolkan diri dengan berbuat 'bising' meski yang dibisingkan itu tidak relevan?



Dengan kuasa yang kecil, lebih mudah mengawal motorsikalnya. Nak 'brake' pun mudah atau nak mengimbangkan pada laluan sempit pun mudah. Begitulah dengan kuasa, semakin besar kuasa semakin sukar mengendalikannya. Kalau orang berkuasa besar tersilap langkah maka kesannya juga lebih buruk. Mengimbangi kuasa yang besar tidak mudah kerana lebih besar kelompok yang perlu dijaga maka kemahuan mereka juga lebih bervariasi.

Untuk melayan 'corner' dengan kapcai lebih senang, tanpa perlu merendahkan badan motor sudah boleh meleper. Superbike perlu merendahkan badan untuk motor turut sama meleper. Pemimpin tinggi perlu membawa diri lebih rendah untuk dihormati; semakin merendah diri makin disayangi rakyat bukan?

Penunggang superbike mestilah bermula perlahan, Kuasa yang besar pada motor itu perlu dikuasai sedikit demi sedikit. Jika tidak alamatnya ke temboklah mereka. Begitulah pemimpin, fahami kuasa yang dimiliki dan gunakannya sedikit demi sedikit. Jangan main belasah sahaja.

Nah...perhatikan setiap motorsikal yang lalu di mata anda dan buat sendiri perbandingan antara motorsikal dan kuasa! Pastinya ada banyak lagi yang boleh dipelajari dari itu.

Siri Motivasi - Teori Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow (Bahagian 1)

Antara teori berkaitan motivasi yang sering disebut dalam pelbagai program motivasi oleh beribu - ribu motivator ialah Theory Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow. Teori yang sangat dominan ini sering menjadi rujukan dan tak kurang juga menerima kritikan. 


Untuk berkongsi dengan anda, saya akan bawakan pencerahan mengenai teori ini dalam format video dan juga tulisan di blog ini. Setiap video akan saya rakamkan dalam durasi kurang dari 3 minit setengah bagi mengelakkan anda bosan menontonnya. Tapi kenapa pula perlu maklumat sebegini?

Pertamanya kerana dunia semakin mencabar. Dengan perlaksanaan GST sebagai contoh ramai yang mengalami tekanan dan kesannya. Ramai sekali bercerita mengenai apa yang mereka alami tetapi sedikit saja yang memikirkan apa yang perlu mereka lakukan bagi menangani hal ini. Dalam kata lain - kita perlu mencari rangsangan untuk bangkit dan memperkemaskan gerak kerja agar lebih berhasil.

Keduanya, ramai orang yang ingin berusaha, tetapi tidak pasti di mana dia harus bermula. Dengan dorongan yang betul, pelaburannya akan berbaloi. Tetapi bila terjumpa orang yang salah, graf MOTIVASI nya pasti akan menurun. Ada rezeki ia akan melambung semula, kalau tidak..dia akan hanyut.

MOTIVASI adalah perkataan yang besar : ada yang sudah bosan, ada pula yang tercari - cari.

Memahami teori Maslow setidaknya akan memberikan kefahaman yang lebih dengan apa yang sepatutnya mendorong kita. Saksikan edisi sulung ini.


Kemahiran? Kemahiran apa?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, dengan pelbagai berita mengenai ketidakstabilan syarikat besar, mata wang menyusut dan GST yang memeningkan ramai orang, ramai yang cuba mencari jalan keluar dari belenggu kewangan yang mencengkam. Senario ini turut menggalakan pelbagai skim ponzi sama ada dalam atau luar negara berleluasa. Tidak kurang juga pelbagai jenis perniagaan atas talian dari ubat seks sampailah ke emas semakin kerap muncul bersilih ganti.

Ada juga rakan - rakan yang bertanya, apa yang dibuat sekarang? Syarikat yang dulunya stabil sudah mula desas - desus ingin mengecilkan saiz operasi malah tak kurang juga mula mengambil langkah penjimatan dan malangnya ia termasuklah kebajikan kakitangan.

Ketika ini, orang yang berkemahiran dilihat / dikatakan akan mempunyai kelebihan untuk terus kekal berjuang melawan arus cabaran ekonomi. Ini boleh difahami dengan secara tiba - tiba graduan universiti semakin teruk bersaing dengan pelajar Politeknik yang dilihat lebih berkemahiran. 

Rakan - rakan yang bekerja juga sering menanyakan soalan yang sama - apa yang perlu dibuat? Maka bila ditanyakan kembali mengenai kemahiran mereka, jawapan yang sama sering diberikan kepada saya iaitu : "Kemahiran? Kemahiran apa?"

Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran? Atau lebih berat lagi adakah dengan kemahiran kita boleh kekal bersaing?

Sebelum menjawab apa itu kemahiran, mari saya beratkan lagi fikiran saudara semua dengan perkataan ini : KECEKAPAN

Bayangkan anda ialah majikan. Anda mahu kakitangan yang cekap bukan? Maka apakah yang dimaksudkan dengan KECEKAPAN itu?

Memahami KECEKAPAN tidaklah susah. Formulanya begini;
KECEKAPAN = KEMAHIRAN + ILMU

Anda faham ILMU? Jika faham maka anda hanya perlu faham apakah KEMAHIRAN bagi melengkapkan formula KECEKAPAN.

Apakah KEMAHIRAN? Saya definisikan KEMAHIRAN sebagai berikut ;
Kebolehan melakukan sesuatu dengan tepat dan jitu secara berulang - ulang bila dan di mana saja ia diperlukan.


Kemahiran bukan seperti berjudi : ikut nasib. Kemahiran memerlukan proses pembelajaran dan pengulangan secara praktikal bagi menajamkan agar tepat tindakannya serta membolehkan penyesuaian berlaku walau apapun keadaannya. Orang yang mahir menjual barangan akan mudah saja mengendalikan apa juga jenis produk dan profil pelanggan yang berbeza. Pemain bolasepak berkemahiran tinggi bisa saja menyesuaikan diri dengan mana - mana pasukan dan bermain menentang siapa saja, stadium berbeza atau cuaca berbeza sekalipun.

Nah...duduk sebentar, tenangkan fikiran dan tarik nafas dalam - dalam.
Fahami diri sendiri, renungkan apakah bentuk kemahiran yang anda miliki dan bagaimana kemahiran itu boleh ditukar dengan wang. 
Anda mahir membuat kertas kerja, bertukang, menjahit, mengacarakan majlis atau apa saja yang boleh dimuatkan dengan definisi KEMAHIRAN itu tadi...maka ia pasti boleh ditukarkan dengan wang. Apabila sudah dikenalpasti, langkah seterusnya ialah BAGAIMANA MEMASARKAN DAN MENJUAL KEMAHIRAN ITU?