Total Pageviews

Sudah - sudah lah.. Bersatu jauh lebih baik

Saya kira ramai yang sudah faham kini.
Beza bencana alam, masalah negara, masalah syarikat yang berkaitan negara mahupun syarikat milik rakyat negara kita.
Untuk kita berbalah siapa betul siapa salah ini hanya membuang masa.
Justifikasi (alasan) akan diberikan oleh sesiapa saja yang dipersalahkan.
Anda nak marah Najib?
Anda nak salahkan Anwar?
Anda nak maki Lim Guan Eng?
Ya .. Anda berhak..
Pastinya atas alasan anda sendiri
Dan pastinya mereka dan penyokong mereka akan mempertahankan tokoh kesayangan mereka.
Sedangkan beribu penyokong pasukan bola di Malaysia yang tak pernah pun ke Sepanyol, England mahupun ke Jerman bermatian menyokong pasukan bola mereka meski pasukan mereka itu pun entah peduli entah tidak tentang mereka, inikan pula penyokong parti yang rajin ke mesyuarat kawasan, mesyuarat parti dan sebagainya.


Apa yang sedang berlaku kini termasuk yang terkini pesawat Airasia hilang dari radar adalah rentetan kepada pelbagai musibah yang berlaku bukan saja kepada Malaysia malah kepada dunia yang turut berdepan dengan pelbagai musibah lain.
Apa yang perlu kita lakukan?
Pertamanya , insaflah.
Meski bukan kita jadi mangsa, insaflah juga kerana anda dan saya adalah sebahagian dari sistem ini.
Tolehlah semula kebelakang dan lihatlah betapa kita terlalu rakus mengejar dunia sehingga Allah menarik semua nikmat ini dengan sekelip mata! Walhal kita bermati - matian mengusahakannya.

Rumah hancur, keluarga meninggal, hilang harta benda dan segala macam perkara boleh di fahami sebagai petanda dari Allah atas setiap kelemahan kita.

Ingatlah bahawa diuji dengan kesusahan itu sebenarnya jauh lebih mudah dari diuji dengan kesenangan.
Apabila senang, curut mahal ditangan walhal nyatanya ia pembaziran. Ketika mewah rokok silib berganti di bibir meski di fatwa haram. Ketika susah begini, ramai saja yang mampu bertahan tanpa rokok.

Begitulah sekelumit contoh dari jutaan contoh yang kita boleh kongikan sebagai pemahaman betapa bongkaknya kita sebagai manusia.

Najib dihina sebab bermain golf bersama Obama dan ramai juga yang mempertahankannya. Sekarang apabila dia sudah ke Kelantan penyokong Najib membidas semula mereka yang menghina Najib sebelum ini. Kesudahannya?

Bersatulah.
Tinggalkan yang dilarang.
Bergeraklah ke arah kebaikan.
Nyatanya bumi ini hanya pinjaman.
Peluang menambah saham akhirat sedang terbuka luas.
Usah berlengah lagi.

Seasonal Affective Disorder (SAD) - Adakah ia wujud di Malaysia juga?

Semasa melakukan tugasan dalam kelas matapelajaran Abnormal Psychology dulu, saya membentangkan Seasonal Affective Disorder (SAD) yang menjadi sebahagian besar punca penghasilan band - band dengan genre Black Metal / Death Metal dari wilayah Scandinavia.

Kemurungan kerana perubahan cuaca yang panjang mengakibatkan orang muda menjadi pasif, tertekan dan perubahan tingkahlaku yang nyata terutama apabila menerima gelap yang panjang atau musim dingin yang lama.

Oleh itu muzik agresif membantu mereka keluar dari kebosanan dan tema - tema 'gelap' disesuaikan. Viking, Satanic, Paganisme dan pelbagai lagi tema seram dan menggerunkan menjadi pilihan mereka atas asbab budaya sebegitu amat dekat dengan masyarakat mereka.


Antara band - band popular sekitar 90an



Meskipun akan / pasti wujud pertentangan dengan idea saya berkaitan tercetusnya muzik yang dilihat penuh dengan elemen ganas, seram dan anti kristian ini, ia tetap perlukan satu sudut pandang psikologikal kenapa genre muzik sebegini terhasil dan apa yang mendorong kepada tingkahlaku sedemikian. Setiap bangsa punya ciri muzuk tersendiri dan proses sosialisasi dan pembangunan masyarakat amat berkait rapat dengan penghasilan budaya dan sub-budaya masyarakat berkenaan.

Baca lanjut mengenai Black Metal di sini

Perkaitan perkara di atas saya lihat mempunyai ciri hampir sama yang sedang berlaku di Malaysia hari ini. Cuaca yang sedang berubah kepada hujan sepanjang hari di merata Malaysia turut menyebabkan ramai menjadi pasif dan bentuk aktiviti serta komunikasi berubah. 

Hujung tahun yang mana ia adalah waktu cuti sekolah menjadi sedikit suram apabila ramai ibu bapa Generasi X terutamanya menjadi bingung apa yang perlu di isi pada cuti hujung tahun ini kerana hujan menyebabkan aktiviti luar seperti berkelah, percutian di taman tema dan sebagainya menjadi terbantut. Kesudahannya, terperap di rumah atau hanya ke pusat membeli belah dan aktiviti dalaman sahaja dapat dibuat bersama.

Dengan adanya internet, setidaknya ia membantu manusia mengekalkan interaksi berbanding 20-30 tahun dahulu yang mana ekspresi tingkahlaku lebih kuat berbanding ekspresi emosi.
Apa maksudnya?

Ekspresi tingkahlaku di era sebelum internet membuatkan masyarakat menggerakkan tubuh badan dengan lebih banyak untuk mengimbangi suasana muram. Masyarakat Malaysia sebelum internet memanfaatkan musim tengkujuh dengan pelbagai aktiviti berkaitan air dana perikanan seperti menangkap ikan di kawasan banjir dan membaiki peralatan menangkap ikan. Maka dengan adanya aktiviti sebegini, ia mengurangkan risiko SAD dikalangan masyarakat ketika itu.

Dalam suasana sekarang, ekspresi bersifat emosi lebih banyak berlaku berbanding tingkahlaku. Media sosial memberikan sokongan emosi di mana perkongsian status, perbincangan dan perbualan santai, foto dan video yang banyak turut membantu masyarakat Malaysia untuk kurang terdedah kepada SAD. Meskipun kebergantungan kepada internet bukanlah satu perkara yang sangat baik namun ia setidaknya membantu.

Cuma, keadaan cuaca sekarang ini juga kerap menimbulkan rasa bosan terutamanya jika kita tidak kreatif dalam menanganinya. Adakah anda mengalami simptom ini?
1. Pengambilan makanan berlebihan - Makan adalah antara aktiviti popular ketika bosan..setuju?
2. Perubahan mood yang kerap - Teruja merancang sesuatu tetapi ia terbantut kerana cuaca tidak menyebelahi kita.
3. Berasa kurang bertenaga - Rasa letih dan lesu serta tidak bermaya. Ia adalah kesan kepada pergerakan fizikal yang kurang aktif.
4. Masalah tidur - Jam biologi anda mengalami masalah dan akibatnya, waktu tidur anda menjadi tidak menentu. 
5. Sukar untuk fokus - Otak menggunakan 40% dari keseluruhan fungsinya untuk ketangkasan. Apabila anda lebih banyak berada dalam keadaan Dormant , maka ketangkasan menurun dan ia menyebabkan anda sukar untuk fokus terhadap sesuatu.

Jika anda mengalami simptom di atas? Hubungi saya menerusi mohsenamdan@gmail.com

Apa akan berlaku semasa kemelesetan ekonomi 2015?

Saya pernah menjalankan perniagaan sewaan sistem bunyi di kala ekonomi merudum

Ekonomi meleset sedang menanti gerbang 2015.
Apa akan berlaku? Adakah semua orang akan menerima kesannya?
Ya.. Memang semua terkesan.
Tapi bukan semuanya buruk.
Apabila ekonomi meleset, perbelanjaan isi rumah akan paling terkesan.
Nilai belian akan merudum kerana masing - masing mengikat perut menjerut kocek.
Maka apa kesan kepada industri?
Pemain industri akan segera mencari jalan keluar.
Sama ada langkah jangka pendek atau panjang, mereka perlu lakukan sesuatu.
1. Langkah penjimatan kos operasi : Ini adalah yang paling popular untuk dilakukan dengan cara mengurangkan kos perbelanjaan keraian, kos sampingan dan yang paling berkemungkinan ialah pemberhentian pekerja. Ini adalah kerana gaji dan apa saja yang bersangkut paut dengan sumber manusia biasanya akan memerlukan lebih 50% dari kos keseluruhan operasi.
2. Industri akan mula mencari jalan mempengaruhi pembeli dengan bentuk bungkusan baru, rupa produk yang baru, jualan murah penghabisan stok dan mungkin pengenalan produk baru yang lebih menarik minat pembeli yang sedang sangat berkira - kira untum berbelanja.
3. Perubahan kepada penggunaan bahan mentah oleh industri akan berlaku. Industri perlu bertindak kreatif dalam menghasilkan produk kerana pilihan bahan mentah yang lebih murah akan dapat mengurangkan kos mereka dengan drastik. Ini selanjutnya akan mewujudkan iklim inovasi industri yang lebih baik.
4. Kewujudan ramai freelancer; oleh kerana ramai yang sedang akan mengambil pelbagai skim pemberhentian secara sukarela dengan pampasan maka ia akan membuatkan pasaran freelance membesar. Ramai yang dengan kepakaran khusus akan menawarkan tenaga mereka dengan harga yang kompetetif. Industri juga akan lebih berminat dengan freelancer kerana mereka lebih mudah mengawal kos.
5. Aktiviti pemasaran akan meningkat. Dengan keadaan pembeli yang lebih memilih, industri perlu berusaha lebih untuk mempengaruhi pembeli. Ini akan membuatkan lebih banyak kempen akan muncul dan kreativiti dalam berkempen akan makin terserlah. Tambahan pula dengan adanya media sosial, ia akan semakin rancak. Ini juga waktu yang sesuai untuk melobi penajaan!
Oleh yang demikian, bersedialah mengalami suasana ini. Rancang kerjaya dan perbelajaan anda dengan baik. Lihatlah kemungkinan - kemungkinan yang ada. Sudah tiba masanya untuk kita memaksimumkan kebolehan yang sedia ada. Ekonomi pasti ada naik dan turun sebagaimana kita hidup dalam kitaran bahagia dan ujian dariNya. Maka kekalkan daya positif anda.
Seperti yang selalu saya katakan;
KESEMPITAN ADALAH ASAS KEPADA KREATIVITI

Masa sebagai modal kehidupan di dunia

Sejak kebelakangan ini saya kerap menekankan aspek waktu sebagai elemen penting dalam kehidupan. Malah hampir dalam setiap program saya, pasti saya akan kongsikan mengenai perihal waktu vs wang.
Kenapa masa / waktu itu penting?
Kerana masa / waktu itu umpama modal yang diberikan Allah kepada kita bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Orang yang beruntung dalam 'perniagaan' di dunia ini pastinya orang yang berjaya menguruskan modalnya dengan baik - dalam kata lain, manusia yang berjaya menguruskan masanya dengan baik maka dialah yang paling beruntung. 
Bagaimana menggunakan modal masa ini bagi mendapatkan keuntungan maksimum? 

Pertamanya setiap dari kita wajar sedar bahawa setiap orang memiliki modal harian yang sama banyak iaitu 24 jam sehari. Maka memaksimumkan 24jam ini dengan perkara kebaikan pastinya akan menguntungkan kerana hanya perkara kebaikan saja yang mampu membuahkan hasil untuk dibawa ke akhirat kelak.

Kedua, melipatgandakan keuntungan pelaburan modal masa seperti mana dalam perniagaan manusia dengan pelbagai teknik menggandakan wang, 
Alangkah untungnya dengan sekali ibadah dan keuntungannya berganda. Bukankah banyak bentuk ibadah yang berganda kebaikannya?
Kalau dalam perniagaan kita beriya - iya belajar cara menggandakan keuntungan, pergi berkursus dan seminar di sana sini untuk belajar menjadi jutawan, kenapa tidak kita belajar dan mencari ilmu bagaimana boleh kita gandakan pahala kebaikan yang kita laksanakan?

Kuatkanlah hati, manfaaatkanlah masa yang ada sebagai modal kita, Kalau kita bimbang kadar faedah bank naik turun akan menjejaskan kewangan kita, maka kita lebih wajib risau dengan pinjaman Allah kepada kita kerana, kita tidak pernah tahu bila tempoh pinjaman kita akan tamat.
Secara tiba - tiba Allah mengambil nyawa kita, dan apabila saat itu tiba, hanya pelaburan yang baik sahaja akan mampu menyelamatkan kita dari pembalasan Allah.
Allahu Akbar! 

VDO Terbaru - Kenapa Pantai Mendamaikan

Insya Allah, bermula 2015 nanti Blog Mohsen Amdan Berkata (MAB) ini akan dipisahkan dari Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd. Bermaksud MAC akan memiliki lamannya sendiri. Dan di dalam blog MAB akan wujud segmen khas iaitu VDO Terbaru - koleksi video idea dan pandangan saya mengenai isu semasa, psikologi, moitvasi dan analisis perkara seputar negara.

Untuk yang pertama ini, saksikan rakaman VDO Terbaru edisi sulung yang berlokasi di Tanjung Leman Johor.


Munchy's Team Building Siri 2 2014

Alhamdulillah , kepercayaan pihak pengurusan Munchy's telah membuatkan MAC kembali mengendalikan siri Team Building mereka untuk tahun ke 2!. Kali ini lebih mencabar dengan perserta yang lebih ramai dan lokasi menarik di Melaka Tropical Fruit Farm.

Untuk batch kedua ini, seramai 98 orang terlibat dan majoriti mereka ialah kakitangan operasi. Yang lebih menarik ialah saya bertemu Mohsen, seorang lelaki yang sama namanya buat kali pertama dalam hidup saya!

Zombie paling seram dalam cabaran Mud - Zombie


Saksikan rakaman video ini!


Apa yang mendorong perubahan?

Perubahan adalah perkara yang berlaku setiap saat di dalam diri dan disekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Terbaru, kerajaan negeri Selangor mengalami pertukaran Menteri Besar dengan suasana penuh kontroversi, polemik dan kekeliruan. Namun perubahan ini tetap berlaku dengan Menteri Besar terbaru yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ialah YB Azmin Ali. Kalau di lihat dari dalam diri, perubahan sememangnya berlaku setidaknya pada sel - sel kita. Maka terbukti perubahan sememangnya berlaku.

Namun, satu persoalan penting yang harus ditanyakan ialah - Adakah kita hanya mengikut arus perubahan ini tanpa kita sendiri tidak mampu merubah apa - apa? Ramai yang takut untuk berubah kerana bimbang dilabel menongkah arus, tetapi jelas sekali ramai juga hanya cakap belakang apabila tidak berpuashati tentang sesuatu namun bila disuruh bertindak - masing - masing enggan mengambil peranan.

Maka, bolehkah kita menjadi agen perubahan? Jawabnya - PASTINYA BOLEH!
Oh ya..bukan sekadar omong kosong yang saya tawarkan dalam penulisan ini malah saya sendiri sudah melakukannya! Ohh..bukan untuk saya mendabik dada..tetapi sekadar berkongsi ilmu. Malah perubahan walau apapun tetap ditentukan oleh Allah SWT juga kerana atas kuasa dan kehendak Allah SWT jualah sesuatu perubahan berlaku. Jadi...apakah jalannya?

Sebelum kita mengetahui apakah jalannya melakukan perubahan itu, perlu kita tahu apakah yang memungkinkan perubahan berlaku. Berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, berikut ialah perkaranya

1. Teknologi baru : Saya perhatikan ini adalah kunci besar kepada perubahan dalam dunia hari ini. Betapa syarikat gergasi dunia kebanyakkannya dikuasai oleh pemain industri teknologi. Apple, Samsung, Google, Microsoft, Facebook, Alibaba, Amazon adalah pemain besar dan mereka membina kekayaan mega tanpa menanti sehingga 100 tahun pun. Malah ramai yang mendapat manfaat dari perkara teknologi ini. Kempen politik, pengumpulan dana, berita dan sebagainya sangat mudah mempengaruhi manusia dan menggerakkan manusia kepada perubahan. Siapalah Psy satu ketika dulu tanpa Youtube? K-Pop kegilaan dunia dan mengakibatkan perubahan fesyen dan muzik dengan drastik. Wak Doyok adalah antara contoh hebat di Malaysia. 


Bagaimana saya memanfaatkan teknologi baru dalam mempengaruhi manusia kepada perubahan? Secara spesifiknya saya merujuk kepada www.bolarotan.com pastinya. Senario sepaktakraw Malaysia mengalami perubahan drastik dengan projek Bolarotan dan Facebook Masyarakat Bolarotan. Sebelum ini berita berkaitan sepaktakraw sangat terhad, video dan foto yang sangat sedikit, pendaftaran kejohanan masih manual, telefon dan faks tetapi kini ia telah berubah, Malah berani saya katakan siapa yang menggelar diri mereka pencinta sepaktakraw tetapi tidak mengenali Bolarotan.com bermaksud dia mungkin jarang akses kepada internet atau jarang bermain sepaktakraw secara serius! Sekali lagi, ini bukan pernyataan masuk bakul angkat sendiri tetapi realiti yang harus ditelan.

Dengan adanya teknologi baru, banyak proses kerja yang akan mengalami perubahan. Mesin faks sudah tidak relevan sama anda setuju atau tidak. Tidak mahir dengan telefon pintar atau komputer bermaksud anda adalah orang buta huruf di era ini. Semakin banyak sistem baru diperkenal dan ini memaksa masyarakat mengalami perubahan ini tanpa mereka sedar. Transaksi kewangan adalah antara contoh terbesar hari ini. Anda masih beli tiket kapalterbang dengan beratur ke kaunter?

2. Pendidikan : Semakin tinggi atau luas maklumat sampai kepada masyarakat melalui pendidikan sama ada secara formal atau tidak, ia menghasilkan kakitangan, pelangggan atau masyarakat yang lebih 'demanding' kerana mereka terlebih dahulu mendapat maklumat awalan mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sebelum pergi bercuti, kita sudah pun mencari maklumat pelbagai perkara menegnai lokasi percutian. Maka natijahnya kita mengharapkan itu dan ini berdasarkan maklumat yang kita perolehi. Dan apabila apa yang dijangkakan itu tidak berlaku, maka senario pelanggan cerewet, meminta itu ini dan sebagainya terjadi. Ini adalah kerana mereka sudah pun menjangkakan itu. 

Dahulu orang tidak mudah bertanyakan pelbagai soalan kepada PM, tetapi kini pelbagai soalan, permintaan malah kritikan perlu dihadapi oleh PM kerana tahap pendidikan semakin tinggi. Adakah ia satu ancaman memiliki rakyat yang terpelajar?

Dahulunya susah untuk kita mencari orang yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Tetapi kini ianya sudah terbalik. Semakin tinggi bentuk pendidikan yang ditawarkan, perubahan menjadi lebih cepat. Bandingkan bentuk pembelajaran 50 tahun dahulu dengan sekarang. 50 tahun dahulu menuju ke awal 90an bentuk pembelajannya tidak banyak banyak berubah, tetapi apabila teknologi semakin meningkat dan akses pendidikan menjadi lebih meluas dengan tertubuhnya berpuluh IPT, perubahan menjadi lebih pantas. Dulu untuk menggerakkan rakyat bagi satu - satu isu nasional memerlukan usaha berat manipulasi media dan menyempitkan saluran berita tetapi kini, dengan pantas masyarakat memberi respon kerana kebanyakkannya sudah terdidik untuk memproses maklumat dan berita.

3. Permintaan Pasaran : Ini tidak hanya merujuk kepada transaksi jual beli. Dalam politik sebagai contoh, pasaran kini rata - ratanya mahukan wajah baru dan segar. Maka pendekatan berbeza perlu dibawa bagi mendekati pengundi. YB Khairy Jamaluddin sebagai contoh memberikan gambaran bahawa dia tidak terlalu menekankan sentimen parti tetapi lebih kepada keterbukaan, tidak terlalu berprotokol dan mudah didekati. Ini membuatkan pasaran bergerak dan permintaan sebegini semakin banyak maka semalam muncul viral di internet wajah Selfie YB Hishamudin Hussein Onn pula menaiki kapal terbang kelas ekonomi dan ramai yang memuji. Jadi untuk mana - mana ahli politik yang sedang cuba membina laluan kerjaya ke peringkat tinggi atau cuba mempertahankan kerusi yang ada, mereka perlu memenuhi permintaan pelanggan ini - dan dalam konteks ini pelanggan ialah rakyat.


Power bank adalah antara contoh 'Market Demand' ini. dulunya pengguna tidak mempedulikan isu bateri sangat seperti sekarang, Tetapi oleh kerana penggunaan 'smartphone' semakin meluas dan kebergantungan kepada apps semakin tinggi, maka permintaan pelanggan kepada 'tenaga tambahan / sokongan' menjadi besar dan beribu jenis power bank terjual. Dan kesudahnnya, bentuk power bank mula mempengaruhi tabiat membeli kerana ia melibatkan aksesori lain seperti kable, penggulung kabel. kepala wayar pengecas, beg mengisi power bank dan sebagainya. Malah kalau dahulu perokok dengan selamba minta pinjam pemetik api atau mancis dari orang yang tidak dikenalinya, kini keadaan yang sama berlaku apabila kehabisan bateri telefon..selamba tanya orang lain ada tak power bank yang boleh dipinjam sekejap walaupun tidak mengenali mereka itu.

Ada dua lagi punca kepada perkara ini iaitu faktor PERSAINGAN dan satu lagi ialah ASPIRASI. Insya Allah kalau sempat saya tuliskan dilain masa.

Ihya Ramadhan - Menyuci Diri serta Mengelak Ujub, Ria' dan Membazir

Ramadhan kini berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum ia meninggalkan kita sekali lagi. Entah ketemu lagi atau tidak dengan Ramadhan edisi akan datang tiada siapa yang tahu. Lagu dan video viral bertema kesedihan dan kepiluan mengenai sambutan Aidilfitri sudah mula menguasai corong radio dan media sosial. Gedung membeli belah makin sesak, tiket bas dan keretapi sudah kehabisan dan motivasi ditempat kerja semakin merosot terutamanya industri yang pasif di Ramadhan ini. 

Sebagaimana biasa, berpakaian indah dan baru di pagi Aidilfitri adalah amalan sunnah yang dituntut bagi meraikan Hari Kemenangan setelah berpuasa sebulan dan ia perlu dirai dengan gembira..ya gembira. Malah laungan takbir juga sepatutnya berbunyi lantang serta bersemangat dan bukan bersuara bass dan nada sedih. 

Berbalik kepada tajuk menyuci diri, Ramadhan menyediakan kita dengan platform yang cukup luas bagi mencapai perkara ini. Meski itu bukan semata - mata tujuan berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi saya ingin memberi pandangan dalam sudut ini.

Dengan ruang doa mustajab yang banyak diberikan Allah, dengan peluang Lailatul Qadar, dengan gandaan pahala yang cukup banyak bagi setiap amal sehinggakan tidur orang yang berpuasa juga dikira ibadah, maka amatlah bertepatan peluang menyuci diri dan menghapus dosa ini sangat terbuka luas di Ramadhan setiap tahun.

Pada pemerhatian saya, banyak perkara yang berlaku di dalam Ramadhan yang boleh kita kaitkan dengan penyucian diri dan kembali kepada fitrah ini. Malah, ramai yang melakukan perkara sedemikian saban tahun dan jika di hayati, itulah contoh penyucian diri dan mengangkat motivasi diri positif apabila Ramadhan berlalu dan kita menjadi insan suci bagai baru dilahirkan.  Berikut adalah contohnya:

1. Menghias rumah dengan pembelian pelbagai benda baru - Langsir, cadar, kabinet dapur, pagar, lampu dan 1001 benda yang anda boleh masukkan dalam senarai

2. Menukar kenderaan baru / membeli aksesori baru untuk kenderaan seperti sistem audio, cat baru, tayar dan sport rim baru. Malah menggilap kenderaan sehingga kelihatan seperti baru keluar kedai juga!

3. Membeli pakaian dan aksesori baru - baju raya, jam raya, cermin mata raya...pendek kata semuanya raya!

Persoalan pokok - bagaimana 3 contoh di atas memberikan rasa kembali kepada fitrah? Rasa suci dari dosa? Apakah relevannya dengan sambutan kemenangan? 

Apa saja yang kita lakukan seperti contoh di atas, pastikan buang dulu : Ujub - Ria' - Membazir.
Sekiranya 3 perkara itu hadir, maka matlamat penyucian diri susah untuk tercapai.

Pergi beraya dengan kereta baru pastinya lebih seronok kerana perjalanan lebih selesa dan lancar. Tapi jika yang hadir selepas itu rasa bangga kerana kereta kita paling baru, hebat dan bergaya, audio lebih padu dan sport rim kita paling besar berbanding saudara mara yang hadir berziarah..maka kita jauh menyimpang dari suci diri.

Jika kita berasa tudung kita paling vogue berbanding orang lain di pagi Syawal..Ujub sudah mula menguasai diri..awas.

Bila bermegah kerana hiasan rumah kita dipuji melambung - melambung oleh tetamu..awas..kita ditebing berbahaya.

Jadi salahkah beli benda baru menyambut Syawal? Tidak..nyatanya tidak salah asalkan tidak menerbitkan Ujub, Riya' dan Membazir.

Maka, bagaimana benda - benda baru ini mampu meningkatkan motivasi diri pasca Ramadhan dan memberikan rasa suci diri? Proses kita melakukan 'pembaharuan' ini perlu dihayati terlebih dahulu..jika tidak amat mudah kita terjerumus kepada Ujub, Ria' dan Membazir.

Saya gunakan analogi mengecat pagar rumah agar memudahkan pemahaman kita. Bayangkan pagar rumah kita yang sudah mula diselaputi karat dan warna pudar. Samakan keadaaan pagar itu dengan diri kita sebelum Ramadhan : berkarat dan pudar kerana terdedah kepada panas dan hujan. Diri kita pula berkarat dan pudar kerana terdedah kepada maksiat dan dosa.

Apa langkah kita dalam mengendalikan pagar berkarat ini? Bolehkah terus cat saja dengan cat baru? 
Apa langkah kita dalam mengendalikan diri berdosa ini? Bolehkah terus tukar saja dengan baju baru agar nampak lebih muslim / muslimah?

KIKIS


Pagar itu perlu dikikis dahulu..karatnya perlu dibuang terlebih dahulu. Begitu juga kita, dosa - dosa sedia ada itu perlu dikikis dahulu. Caranya? Mulakan dengan berazam Taubat dan melakukan taubat. Tinggalkan segala kejahatan dan maksiat yang kita lakukan sebelum ini. Di bulan lain kita mungkin tidak segan melakukan maksiat - buka aurat, menghisap rokok, meninggalkan solat dan sebagainya. Maka di bulan Ramadhan kita berusaha berhenti melakukan perkara tersebut bukan? Mula bertudung atas alasan cliche MENGHORMATI RAMADHAN - jangan lagi beri jawapan sebegini. Bukankah yang perlu dihormati itu ialah Allah dan bukannya Ramadhan? Kita mengurangkan menonton perkara tidak senonoh dan bercakap mengenai perkara Laghah. Kita merubah perbuatan maksiat dengan mula membuang perbuatan itu dulu. Maka pagar itu pun dikikis..berteraburlah cat lama dilantai dan karat - karat pun terbang ditiup angin. Begitulah gugurnya dosa kita apabila kita mula mengikis amalan maksiat kita dan memohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun.

CAT ASAS


Setelah pagar dikikis, kita mengecatnya pula dengan warna asas. Putih atau Hitam adalah pilihan selamat ramai orang supaya warna yang dipilih sebagai warna sebenar mudah melekat rata dan cantik.
Dalam proses mengecat asas ini, kita kan mula nampak di mana sudut pagar yang banyak karat, yang mana mula kemek, senget dan segala macam kekurangan pada pagar itu. Ia akan sangat nyata di mata kita kerana kita akan mula memerhati setiap inci pagar tersebut. Begitu juga diri kita. Asas diperkukuh di bulan Ramadhan. Waktu solat mula dijaga dengan baik. Kita lebih cakna dengan masuknya waktu solat. Mula rajin memegang Al - Quran. Peluang berjemaah pula dimanfaat sebaik mungkin. Pengisian agama dengan pelbagai sumber semakin dekat dengan kita. Solat Terawih di masjid dan surau semakin mendekatkan kita dengan asas ummah iaitu hidup berjamaah. Solat berjamaah mengukuhkan hati kita sebagai muslim. Seperti pagar yang diperhati setiap inci, diri kita juga akan mula kita perhatikan setiap sudut asasnya kerana banyak perbandingan wujud disekitar. Bila kita berjemaah, kita mula perhatikan orang lain dan ia memberikan refleksi kepada diri sendiri. Melihat orang rajin solat sunat, kita yang jarang solat sunat akan mula ingin baiki diri. Indah bukan?

CAT HIASAN
Setelah selesai dengan cat asas, kita mula memilih warna cat untuk dijadikan warna hiasannya. Bergantung kepada selera, cat luar ini sememangnya akan menambat hati sekiranya pilihan warnanya sesuai. Jika tidak, maka membuang karat dan cat asas akan jadi sia - sia. Malah akan ada komen dan sindiran yang bakal diterima apabila warna tidak sesuai. 
Begitu juga diri kita, akhlak adalah cat hiasan diri. Apa saja perbuatan kita akan jadi nilaian orang lain terhadap kita. Akhlak yang baik semasa Ramadhan perlu diamalkan - berbuat baik kepada orang lain, sedekah, kata - kata yang baik, serta pelbagai lagi Akhlak terpuji yang mana ia perlu selaras dengan asas agama yang diterapkan dalam proses terdahulu. Menutup aurat tapi tak solat.. tak selari bukan? Tutup aurat tapi merepek meraban di bulan Ramadhan..pastinya tidak secocok.

PELINDUNG LUAR
Setelah selesai mengecat dengan warna pilihan, ia perlu dilindungi dengan pelindung luar. Cecair tanpa warna (syelek) perlu disapukan dikeseluruhan pagar bagi melindungi dari sinaran matahari dan kekotoran. Ini membolehkan cat baru kekal lebih lama dan pagar lambat rosak.
Maka diri kita juga perlu dilindungi dengan pelindung agar iman dan akhlak kita terjaga. Bagaimana kita melindungi diri dari ancaman maksiat dan dosa?

Kita mengekalkan momentum ibadah di bulan Ramadhan. Kekal menutup aurat, kekal solat berjemaah, meneruskan bacaan Al-Quran, terus berusaha mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kita dengan orang yang baik - baik, bersedekah dan macam - macam lagi.
Istiqamah dengan contoh di atas akan membantu kita melindungi diri dari mengulangi kesilapan lampau. Ini mampu mengekalkan iman dan akhlak baik sepanjang Ramadhan yang kita lakukan bagi tempoh yang lebih panjang.

Ramai yang berbuat baik bagai tuhan hanya wujud dalam Ramadhan. Ini pendekatan yang tidak betul. Kalau di bulan Ramadhan kita boleh berhenti merokok, apa alasan kita untuk kembali merokok bila tibanya Syawal?

Setelah selesai proses mengecat pagar, apakah yang kita rasa? Pastinya kita rasa seronok melihat perubahan pada pagar kita. Kita rasa lebih suka memerhati pagar setiap kali kita membuka dan menutupnya. Kita akan mula perhatikan kalau - kalau ada silap dalam mengecat, terkupas atau tercalar bukan?

Begitulah pada diri kita. Dengan diri kita yang baru selepas Ramadhan, kita akan lebih mengambil berat dengan diri kita. Dan ini hanya akan berlaku apabila kita menghayati proses perubahan itu.

Dengan baju baru di pagi Syawal, kita rasa lebih bersemangat untuk keluar solat dan berhari raya. Baju baru akan buat kita gembira. Jadi kenapa perlu bersedih pilu di pagi raya?

Dengan kereta baru kita akan lebih bersemangat berziarah. Bukan kerana kereta kita lebih hebat dari kereta orang lain tetapi kerana perjalanannya lebih lancar dan kita menyambut hari gembira dengan suasana baru. Ingat..kereta baru mampu memberikan suasana baru..bukannya untuk berlagak kereta kita lebih hebat.

Langsir dan hiasan rumah baru juga sebegitu sifatnya. Memberikan kita rasa baru. Bagai mendapat rumah baru, diri kita juga rasa baru kerana proses penyucian diri telah berlaku sepanjang Ramadhan. BARU akan membuat rasa gembira..jadi mengapa perlu bersedih di pagi Syawal?

Ayuh bangkit dengan semangat baru...hari esok kita masih lagi suci untuk kita jalani dengan penuh bermakna!

Proses menjadi MARAH - Wanita Peugeot dan Pengunci Steering

Sejak semalam..video viral yang berlegar di media sosial mengenai seorang wanita mengamuk dengan pengunci steering kereta akibat dari pelanggaran kecil di antara 2 buah kereta. Malas saya mahu titipkan video itu di sini kerana saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara itu. Malah troll yang dasyat sedang berlegar kereta ini meski ia kelihatan lucu, tapi ia adalah sebahagian dari kenyataan yang kita perlu telan hari ini - iaitu, ramai saja yang sangat rajin berusaha melakukan suntingan itu dan ini bagi menarik minat pembaca dunia maya dan langsung menjadi troll panjang,


Entah apa nasib wanita itu kini, saya pasti dia dan keluarganya pasti sangat terkesan. Namun itulah hukum dunia, buat baik di balas baik ...buat jahat anda akan kena troll.

Saya lebih suka mengupas mengenai apa yang berlaku dari sudut psikologi tingkahlaku utama dalam video itu iaitu mengenai MARAH.

Tiada manusia yang akan secara tiba - tiba jadi MARAH. Anda tidak akan mungkin tiba - tiba bangun dari tidur dan terus MARAH tanpa sebab dan sekiranya ia berlaku, pastinya anda mengalami masalah mental.

Marah juga memiliki prosesnya..perhatikan foto di bawah;


Marah akan bermula apabila seseorang sakit hati. Sebab itu, banyak status di Facebook ketika musim pilihanraya, musim bola dan sebagainya digunakan dengan menulis status sinikal, menyindir atau mengutuk. Ia bertujuan membuatkan pembaca yang ditujukan status itu sakit hati. Kenapa perlu membuatkan orang itu sakit hati? Kerana ia akan mengundang respon yang setimpal. Komunikasi adalah perkara yang perlu dipuaskan, maka selagi pihak yang satu lagi tidak respon, orang yang ingin membuatkan pihak satu lagi sakit hati akan terus berusaha menulis sesuatu yang pada hatinya bakal mengundang rasa sakit hati pembacanya.

Maka, apa yang kita boleh perhatikan dalam bentuk tingkahlaku ialah, sesuatu pertengkaran atau pergaduhan itu perlu memiliki elemen menyakitkan hati terlebih dahulu. Aksi wanita dalam video itu menggunakan pengunci steering untuk memukul kereta lelaki berkenaan, meninggikan suara, menggugut dengan menyebut status kereta baru; ini semua adalah tingkahlaku cuba menimbulkan rasa sakit hati. Kenapa? Kerana dia sendiri sudah sakit hati keretanya di langgar dan dia turut mahu lelaki itu merasai apa yang dia rasa..iaitu sakit hati. Jadi , apa yang membuatkan wanita itu sakit hati pada awalnya sehingga dia bertindak demikian?

Ada banyak teori yang anda boleh kemukakan...antaranya
1. Dia sudah kelewatan untuk ke suatu lokasi dan dia mungkin sedang di marah kerana kelewatannya itu
2. Dia mungkin memandu kereta yang bukan miliknya dan dia bimbang untuk dipertanggungjawabkan.
3. Keadaan yang kurang selesa dialaminya - sakit / kepanasan / mental tidak stabil atas pelbagai masalah peribadi
Dan pelbagai teori lagi yang anda sendiri boleh kemukakan.

Apabila wanita itu sakit hati, apa yang berlaku dalam proses seterusnya ialah dai jadi MERADANG. MERADANG adalah keadaan di mana nada suara menjadi tinggi dan menjerit - jerit. Pergerakan mundar mandir yang kerap dan hayunan tangan melebihi paras dagu untuk mengukuhkan mesejnya. Fasa ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik akan mengakibatkan proses ini memasuki fasa seterusnya iaitu BERANG. Maka apa yang anda saksikan tingkahlaku memukul kereta itu dengan pengunci steering itu sebenarnya bukan dalam fasa MERADANG tetapi BERANG.

Degupan jantung pantas mengakibatkan darah dipam ke seluruh anggota badan dengan kuat. Ini menghasilkan tenaga dan seperti hukum fizik yang anda pelajari - Tenaga tidak boleh hilang begitu saja tetapi ia akan bertukar bentuk. Dari degupan pantas ke aliran darah laju, tenaga perlu dilepaskan maka tangan adalah anggota paling mudah bergerak dalam keadaan ini. Hayunan pengunci steering itu adalah fasa BERANG maka proses MARAH itu menjadi lengkap.

Oleh itu, sekiranya anda merasai HATI DISAKITI - uruskanlah segera agar tidak memasuki fasa seterusnya. Apabila tidak terkawal dan anda menjadi BERANG..segalanya akan terlambat dan bersedialah untuk dimalukan secara TROLL!

Bila bersedeqah juga menjadi kesalahan...



Pengumuman Tengku Adnan baru - baru ini mengenai satu pendekatan baru akan diambil bagi memastikan kesejahteraan Wilayah Persekutuan ialah dengan mengawal pengemis dan pemberi sedeqah dengan mengenakan tindakan undang - undang serta denda kepada kedua - duanya. Respon awam terutamanya media sosial dilihat sangat menghentam tindakan ini dan dilihat kejam, tidak toleran dan zalim. Malah Tengku Adnan sendiri dalam responnya terhadap hal ini turut mengakui dia bakal menerima kecaman dan dia rela.

Persoalannya - adakah tindakan ini tidak wajar?

Sentiasa ada 2 bahagian dalam setiap sesuatu - ada baik..ada  buruknya. Mendahulukan apa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik di mata orang lain. Seperti konduktor sebuah orkerstra, dia perlu membelakangkan penonton bagi menghibur mereka bukan? Adakah saya bersetuju dengan tindakan Tengku Adnan ini?

Saya rasa masalah utama dalam isu ini ialah PEMAHAMAN ORANG AWAM

1. Istilah Tindakan Undang - undang kepada PEMBERI SEDEKAH sangat mudah disalah erti. Sebagaimana maklum, Sedekah /Sadaqah adalah istilah yang lebih kuat menjurus kepada nilai Islam malah istilah itu merujuk kepada pemberian atas tujuan kebaikan yang digunakan oleh Islam sahaja. Agama lain tidak menggunakan istilah Sedekah malah kalau ada sekalipun ia adalah istilah yang dipinjamkan. Maka sebagaimana biasa tahap sensitiviti umat Islam di Malaysia ini amatlah tinggi dan apabila di umumkan sedemikian rupa pada Ramadhan Al - Mubarak yang mana amalan Sadaqah amatlah digalakkan, maka pastinya ia bagai mencurah petrol ke dalam bara. Malah tindakan mengarahkan Soup Kitchen berpindah juga dilihat amatlah zalim. 

2. Pemahaman orang awam tentang penerima sedekah , pengemis dan gelandangan amatlah terhad. Penerima sedekah ini cukup luas malah bayangkan kalau kita bertindak lebih ekstrim dengan mengambil tafisran secara literal bahawa Senyum adalah sedekah, adakah orang yang senyum kepada orang lain juga akan didakwa? Pastinya ia tidak se ekstrim itu tetapi jika budaya 'troll' diambil kira, maka Tengku Adnan perlu bersedia melayani kutukan seperti itu. 

3. Definisi Pemberi Sedekah dan penerima perlu diperjelas. Andai ia merujuk kepada orang yang memberi kepada pengemis kaki lima, pengemis berlakon buta di gerai makan maka saya juga sokong kerana ini adalah sebahagian besar sindiket yang meraih keuntungan atas rasa kasih rakyat Malaysia yang sangat gemar membantu orang susah dan bersimpati kepada orang lain. Sindiket sebegini meraih beribu ringgit dan mengakibatkan suasana bandaraya jadi selekeh, hilang keselesaan ketika makan di gerai dan menyebabkan orang luar melihat Malaysia sebagai negara yang sangat teruk (Persepsi buruk turut diterima India dan Indonesia dengan jumlah pengemis yang ramai)

4. Tindakan kepada NGO - Ini juga perlu diperhalusi. Persatuan Bulan Sabit Merah diberi amanah memasak untuk gelandangan yang menginap di Anjung Singgah yang terletak ditengah - tengah bandaraya Kuala Lumpur?. Adakah mereka ini juga akan tersabit dengan undang - undang itu? 

Persoalan utama untuk dihadamkan dalam hal ini sebelum kita menjatuhkan hukum:

1. Kenapa wujudnya kelompok pengemis / penerima sedekah / gelandangan ini di bandaraya?
2. Siapa mereka dan dari mana datangnya?
3. Kenapa NGO lebih suka tertumpu ke bandaraya untuk berbakti?
4. Apa usaha kerajaan membantu orang miskin dari hidup melarat?
5. Kenapa semakin ramai orang miskin?

Saat ini 10 tahun yang lalu...

Saat ini 10 tahun yang lalu di Masjid Taman Selasih Kulim...
Saya sedang menunaikan solat Asar dalam keadaan hati berdetap ..jantung berdegap degup...
Seusai solat Asar saya mula mengambil tempta di satu sudut masjid..sambil memerhati orang yang hadir. Terlihat di satu sudut lain seorang gadis dengan berpakaian serba keemasan dikelilingi keluarga dan sahabat handainya.

Saya dipanggil untuk duduk di atas kusyen mengadap seorang lelaki yang sudah sangat berusia. Beliau ialah Imam Besar Masjid Taman Selasih yang juga merupakan rakan sekelas Yang Di Pertuan Agong sekarang.

"Nak tanya buleh ka ni?" tanya pak imam kepada saya.
"Ehh..Buleh..dia pandai cakap!" Sambut bakal pak mertua saya dan diikuti dengan saya menelan air liur
"Baguih la tu..."
"Ok..bagi 10 sebab pasai apa hang nak menikah?" tanya pak imam kepada saya
Tangan memegang mikrofon mula berpeluh..seluruh masjid akan mendengar suara saya. 10 sebab kenapa hendak bernikah setahu say atidak di ajar di dalam kursus kahwin walau di mana sekali pun.


"Err..pertama ..."
Saya pun mula menjawab satu persatu..entah betul entah tidak jawapan saya itu pun saya sendiri tidak pasti..semuanya kerana gugup!

Sampai sahaja sebab ke enam, Pak imam mencelah..
"Haaa..cukup lah tu..baguih la hang dah tau pasai apa nak menikah!" hadirin yang hadir turut tertawa..

Kemudiannya saya dinikahkah oleh Allahyarham ayah mertua saya. Dengan sekali lafaz, kami pun selamat diijabkabulkan.


Kini..10 tahun berlalu..saya menjadi suami yang sah kepada isteri saya yang tersayang Wan Fatahhiyah Remli. Setakat sejarah ini ditulis, kami dikurniakan 3 cahaya mata Nur Batrisya Wafa, Nur Basyira Wafa dan Muhammad Evan Miqael. Isteri saya juga sedang mengandung anak ke 4kami yang kini sudah pun masuk minggu ke 33. 


Semoga jodoh kami berkekalan sehingga ke akhir nyawa.

Kepada isteri saya Wan Fatahhiyah Remli, kanda amat menyayangi dan mencintaimu sepenuh jiwa raga, Moga kita menjadi pasangan bahagia dan menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Semoga kita berjaya membesarkan anak - anak dan keluarga dengan penuh kasih sayang dan atas landasan Islam dengan baik!

SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN KITA YANG KE 10!

Hidup Mesti Berani!

Orang yang penakut itu sebenarnya ialah orang yang PEMALAS, pemalas untuk berani.

"Ishh..tak mau la..nanti takut salah"
"Kau percaya ke? aku takut dia tipu je"
"Ah..tak mau la..takut rugi je nanti"

3 dialog di atas adalah antara dialog lazim yang dituturkan oleh orang yang PEMALAS. Kenapa digelarkan PEMALAS? Kerana mereka ini sebenarnya MALAS untuk BERANI. Malas untuk BERANI menanggung risiko, malas untuk berani bertanyakan soalan, malas untuk berani mencari maklumat dan mereka ini hanya RAJIN mengenai satu perkara - RAJIN MEMBERI ALASAN.

Sebagaimana biasa, ALASAN ialah perkara yang senantiasa BETUL! Betul yang bagaimana? BETUL KEPADA SI PEMBERI ALASAN ITU SENDIRI.


Hakikatnya, hanya orang yang berjaya menangani cabaran dan dugaan dengan berani sahaja akan digelar juara, pemenang, orang hebat dan segala macam gelaran yang mengangkat statusnya sebagai orang berjaya walau apa pun lapangannya. Maka kata kunci di sini untuk menjadi hebat dan berjaya, seseorang perlu BERANI keluar dari zon selesanya dan menggunakan keBERANIannya untuk mendepani cabaran yang mendatang.

Salahkah menjadi orang yang biasa - biasa sahaja? Mengikut semua sistem yang disediakan, buat apa yang disuruh dan perlu sahaja setiap hari...salahkah begitu?

Jawabnya tidak salah. Tetapi jika kita memilih jalan sebegitu, usah pertikaikan kenapa orang lain lebih sukses dari kita. Usah pula kita mengadu mengenai nasib yang hanya semuanya biasa - biasa sahaja. 

Apa yang kita perolehi adalah dari apa yang kita usahakan. Maka jika usahanya sedikit, mana mungkin hasilnya lumayan bukan?

Oleh yang demikian sahabat pembaca sekalian. Apa jua yang kita lakukan saban hari, lakukanlah ia dengan berani. Berani mengambil keputusan, berani memikul tanggungjawab, berani mencari maklumat dan beranilah bertanya. Berani ini penting kerana ia adalah cerminan iman. Orang yang berani memiliki daya kebergantungan kepada Allah SWT yang sangat tinggi! Hidup Mesti Berani! 

Ada Beran?

Manusia hidup dengan harapan

Apa yang menggerakkan kita untuk berusaha setiap hari? Jawapanya ialah HARAPAN

Anda terus bekerja dengan HARAPAN
- Dapat kumpul duit untuk itu dan ini
- Dapat naik pangkat itu dan ini
- Dapat berbakti untuk itu dan ini
- Dan macam - macam itu dan ini..

Anda berusaha memenangi hati pasangan dengan HARAPAN
- Dapat memilikinya untuk itu dan ini
- Dapat mencintainya dan dicintai itu dan ini

Anda berusaha ke sekolah dengan HARAPAN
- Dapat mencapai keputusan itu dan ini
- Dapat belajar itu dan ini
- Dapat mencari itu dan ini

Apa jua yang kita lalui saban hari, HARAPAN adalah perkara yang selalu menggerakkan anda untuk melakukan sesuatu. Kita melihat sesuatu hasil positif akan berlaku atas usaha yang dicurahkan dan anda akan terdorong melakukannya. HARAPAN memainkan peranan besar dalam hidup ini. 

Wajar difahami bahawa meletakkan HARAPAN dan BERGANTUNG HARAP kepada Allah itu adalah jalan terbaik. Kita berusaha sebaik mungkin yang termampu dan kemudiannya menyerahkan kepada Allah untuk keputusannya. Atas kita sedar bahawa kita berHARAP Allah akan membantu kita mencapai apa yang dihajati maka Redha dengan keputusan yang kita usahakan akan lebih manis. Ia mampu mengurangkan perit menanggung kecewa.

Memberikan kata - kata semangat bagi meransang orang lain juga amalan yang baik. Ini mampu membuatkan mereka melihat sesuatu itu dengan lebih positif dan meletakkan harapan atas apa yang mereka usahakan.

Prasangka buruk sering menyebabkan manusia tidak berusaha. Kita jadi takut, bimbang, negatif dan suka untuk melihat perkara itu gagal, lingkup, dan tidak berjaya walhal kita tidak pun berusaha melakukannya.

"Kalau salah macamana?" 'Kalau tak boleh nanti siapa rugi?" "Kalau kalah siapa malu?"

Dialog di atas adalah sebahagian dari dialog Prasangka buruk yang kerap dituturkan oleh kita saban hari. Dengan terucapnya dialog sebegini, kita sudah pun mencuri lebih separuh dari harapan itu. Pemikiran adalah umpama biji benih. Apa yang kita fikirkan maka itulah hasil yang lebih mudah untuk muncul.


Semalam, saya sempat meluangkan masa dengan adik - adik pemain sepaktakraw Sekolah Menengah Agama MAIWP untuk sesi perlawanan persahabatan dan perkongsian ringkas sebelum mereka bertanding pagi ini. Melihat permainan mereka, pastinya terlalu banyak ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan. Melihat dari realiti atas kertas pula, bukan tugas mudah untuk mereka memenangi kejohanan kali ini tetapi keyakinan yang ditunjukkan itu membuatkan saya rasa sangat positif tentang pasukan mereka.

Sempat juga saya dan beberapa teman seperti Ust Ahmad Husni dan Ust Abdul Razak dari PPZKL berkongsi tips bagi mereka melalui kejohanan kali ini. Dengan didikan agama yang kuat, saya yakin mereka sangat positif dengan kemampuan diri mereka.

Yakinlah dengan apa yang anda usahakan. Sejauh mana ia berhasil, serahkan sahaja kepada Allah. Semakin kuat kita berusaha, semakin tinggilah kita meletakkan HARAPAN kepada Allah. Dengan Izin Allah jua...

Program Pengukuhan Pasukan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah

Sudah agak lama saya tidak meletakkan entri mengenai program yang saya kendalikan bersama krewa MAC. Kali ini saya kongsikan pengalaman program team building bersama warga Lembaga Biasiswa Negeri Kedah yang berlangsung pada 11 hingga 13 April 2014 di Sedim Vista Kulim.

Mungkin saya agak teruja untuk berkongsi mengenai program ini kerana sudah agak lama saya tidak berprogram di dalam hutan dan menikmati deruan air sungai berbatu yang sangat mengasyikkan. Malah, LBNK juga sangat unikm untuk saya kerana halatuju mereka kini amat membuka mata saya dan gerak kerja mereka yang sangat dinamik. 

Saksikan rakaman program ini.


Mencari kekuatan diri

16 Mac 2014 yang lalu saya mengendalikan satu program bertajuk Program Keusahawanan BE YOUR OWN BOSS untuk pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idirs di kampus baru mereka. Hampir 100 orang pelajar yang menyertai program berkenaan dan ianya pengalaman baru buat saya kerana itu merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke UPSI. Namun saya agak terkilan kerana terlupa untuk berkongsi dengan mereka mengenai satu perkara penting iaitu - Bagaimana mencari kekuatan diri. 


Mencari kekuatan diri adalah satu perkara penting dalam menggerakkan anda ke satu destinasi baru. Melihat dari konteks program saya itu, seorang pelajar universiti pastinya perlu mengetahui apakah kekuatan mereka sebelum menceburkan diri dalam sesuatu bidang baru apabila bergelar graduan kelak dan bukan hanya hanyut di bawa pengaruh persekitaran.

Oleh yang demikian, entri kali ini saya tujukan buat anda yang masih tercari - cari apakah kecenderungan minat atau kebolehan atau juga kekuatan diri. Sekiranya anda masih belum jumpa, cubalah lakukan perkara ini:

Carilah 5 orang yang anda kenali dan mereka juga sangat mengenali anda dan tanyakan soalan berikut; Mintalah mereka menjawab dengan sejujur mungkin.

1. Apakah perkara pertama yang mereka fikirkan apabila terfikir mengenai anda?
2. Apakah perkara paling menarik dari pandangan mereka mengenai anda?
3. Pada pandangan mereka, apakah pencapaian terbaik yang pernah anda hasilkan?
4. Apakah yang paling mereka hargai dari diri anda?
5. Pada pandangan mereka, apakah kekuatan anda yang terhebat?

Anda boleh bertanyakan soalan di atas lebih dari 5 orang sekiranya anda mahu. Dengan soalan di atas, anda akan sedikit demi sedikit melihat dimensi baru dalam diri anda sekiranya anda masih belum cukup mengenali kekuatan atau kebolehan diri anda sendiri.

Anda mungkin segan atau malu untuk bertanyakan soalan di atas tetapi percayalah, anda akan berasa teruja betapa orang lain melihat anda dari sisi yang mungkin anda sendiri tidak pernah jangka. Percayalah setiap seorang dari kita adalah UNIK!

Selamat mencuba!